Seorang rakyat Indonesia berpakaian Santa Claus sambil membawa kanak-kanak tempatan menjelang sambutan Krismas. - Foto AFP
JAKARTA - INDONESIA. Usaha Majlis Ulama Indonesia (MUI) bakal melarang umat Islam berpakaian melambangkan agama lain bertujuan memelihara kesucian agama tersebut yang dianuti kira-kira 88 peratus populasi penduduk di negara itu.
Menurut ketua bahagian fatwa Huzaemah Tahido Yanggo, pertubuhan Islam itu kini sedang menyediakan fatwa untuk mewajarkan larangan tersebut, yang dijangka diumumkan bulan depan.
Katanya, pasukan MUI telah menemui hadis sahih yang boleh digunakan sebagai asas undang-undang untuk inisiatif tersebut.
"Hadis berkenaan diperiksa MUI dan ia mengesahkan bahawa umat Islam diharamkan untuk memakai sebarang jenis pakaian memaparkan simbol agama lain seperti pekerja runcit yang menyarung kostum Santa Claus untuk sambutan Hari Natal.
"Hadis menyebut; untuk kamu, agama kamu dan untuk saya, agama saya. Ia adalah asas undang yang membuktikan orang Islam tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan agama mereka," katanya.
MUI berkata, memakai pakaian agama lain terutamanya menjelang perayaan agama berkenaan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada kepercayaan mereka. - Jakarta Post
1 comment:
Ada hadis juga rasanya yg tak bleh menyerupai pakaian atau lambang agama lain tp tak pasti pula
Post a Comment