Wednesday, April 13, 2016

Pengurusan FELDA Mesti Ikut Syarak, Ini Salahnya.. -PAS


SHAH ALAM, 13 APRIL: PAS menyarankan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membetulkan sistem pengurusan supaya mengikut kehendak syarak Islam dalam menjalankan urusan dengan peneroka, pembelian sawit mahupun pengurusan.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berkata, peneroka berhadapan jumlah hutang tidak diketahui apabila melakukan tanam semula dengan FELDA.
Katanya, peneroka sekadar akur dengan jumlah hasil dipotong setiap bulan ekoran hutang berkenaan tanpa mengetahui nilai tanggungan.
“Dari sudut syarak, pemiutang berhak mengetahui jumlah hutang mereka dan menjadi kesalahan apabila FELDA gagal menjelaskan jumlah hutang dan baki hutang peneroka.
“Akibatnya ramai waris peneroka yang terkejut bila berlaku kematian, barulah mereka dimaklum ada hutang yang masih berbaki.
“Sebagai langkah pembetulan, pihak FELDA wajib memaklumkan jumlah hutang ditanggung peneroka dan bentuk hutang terbabit. Malah, penyata tahunan perlu dihantar kepada peneroka atau satu mekanisme baru perlu diwujudkan bagi mempermudahkan peneroka menyemak baki hutang mereka,” katanya.
Selain jumlah hutang, peneroka juga tidak dimaklumkan bentuk perlindungan ansuran ladang hasil pembiayaan melalui potongan hasil menerusi khidmat agensi digunakan FELDA.
Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini, banyak peneroka masih gagal mendapat pampasan bagi ladang yang musnah dari syarikat ansuran kerana tiada mekanisme jelas.
“Sebagai langkah pembetulan, agensi ansuran atau pihak FELDA mesti memaklumkan kepada peneroka bentuk perlindungan yang dihakkan kepada ladang mereka dan mekanisme tuntutan jika berlaku kemusnahan ladang mereka,” katanya.
PAS turut menyarankan FELDA membeli buah sawit berdasarkan jumlah tan sawit yang dihantar ke kilang, bukan berdasarkan kadar perahan minyak.
“Jika ia terus berdasarkan kadar perahan, FELDA mesti membayar semua hasil milik peneroka kerana dari sudut syarak kerana ia masih menjadi hak peneroka.
“Manakala dengan menggunakan kaedah pembelian buah sawit, dari sudut syarak, semua buah sawit tersebut akan menjadi hak FELDA,” katanya. -AA-
 Hj Nasharudin bekas Pengurus Felda Awah disarungkan T-Shirt Kembara Oren oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mazlan Aliman

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails