28/4/16 – Pada hari ini, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Muslimat PAS Negeri Selangor dan Geng Ustaz membuat laporan polis secara serentak terhadap pesta arak bersempena dengan ‘Emma Hewitt Forever Summer Beach Festival 2016’ yang akan diadakan di Sunway Lagoon Subang Jaya Selangor pada 30 April.
Konsert Emma Hewitt, artis dari Australia yang ditaja oleh syarikat arak Asahi dan Summerby dikhuatiri mengundang implikasi buruk kepada masyarakat khasnya di Selangor.
Laporan dibuat di Balai Polis Bandar Sunway Subang Jaya pada jam 3.00 petang tadi.
"Dewan Pemuda dan Muslimat masing-masing diwakili oleh Ustaz Hanafi Zukapli, Naib Ketua Pemuda PAS Selangor dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor,” lapor Ustaz Muhammad Najhan Halim, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor.
Sementara itu, aktivis Bangkit, Eddy Casmady, turut membantah program tersebut.
“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamad) Azmin Ali dan Kerajaan Negeri Selangor harap jangan tidur dan pentingkan kredit politik semata-mata. Buatlah kerja sikit dalam menjaga maruah agama Islam. Maruah agama Islam bukan dijaga dengan membina kubah masjid jutaan ringgit semata-mata.
“Ketua Polis Subang Jaya diharap bertegas jika benar ingin menjaga keharmonian kaum dan masyarakat di kawasan ini. 100 peratus penduduk Melayu dan Bumiputera MEMBANTAH DENGAN KERAS penganjuran program ini.
“Begitu juga dengan YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya yang bertanggungjawab beri permit penganjuran kepada penganjur. Pesan saya janganlah kita nak jaga hati minoriti, kita sanggup ‘tendang’ kepentingan majoriti,” katanya. (IH)
1 comment:
Kemungkaran dan kesesatan manusia mengundang kemurkaan dan bala dari Allah. Walaupun Malaysia tidak berada dalam Lingkaran Api Pasifik tetapi gegaran-gegaran gempa bumi telah mulai dirasai di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu ! Adakah manusia mahu gempa bumi berlaku di hadapan mata mereka baru mereka mahu bertaubat?
Wahai manusia insaflah, bertaubatlah dan kembalilah kepada Allah dan RasulNya!
Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).(Al-Israa':58)
Post a Comment