Saturday, May 14, 2016

Fathia Latiff: Bertudung, Dalami Nilai Sebenar Muslimah..













Fathia berterima kasih kepada peminat yang banyak menegurnya di laman Instagram. Bagaimanapun, keputusan untuk bertudung bukan disebabkan kritikan orang ramai tetapi disifatkan sebagai kesedaran semula jadi.
HALAMAN HIBURAN

PELAKON Fathia atau nama lengkapnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 27, percaya apa yang dikecapi hari ini adalah rezeki daripada Allah SWT kepada dirinya yang semakin mencuba untuk mendalami nilai sebenar menjadi seorang Muslimah.

Semasa disogok lagi pertanyaan mengenai kehadiran rezeki yang meluas sejak memutuskan untuk bertudung penuh April lalu, dia tersenyum dan menghela nafas panjang menandakan seperti ada sesuatu yang ingin diperbetulkan dalam kenyataan tersebut.
Balas Fathia: “Sebenarnya bagi saya, bukan hanya sebab bertudung rezeki saya semakin murah atau kemenangan berpihak kepada saya. Saya tidak pernah terfikir sampai ke arah itu.
“Saya percaya apabila saya kejar Allah, segala kebaikan di dunia akan datang kepada saya. Dengan imej bertudung, saya berasa semakin selesa dengan apa yang saya lakukan dalam hidup.”
Dalam lancar mengatur bicara, pelakon drama popular Ariana Rose itu menambah bahawa keputusannya untuk berhijab bukan disebabkan terpengaruh dengan kata-kata orang ramai, sebaliknya ia ditunjangi kesedaran semula jadi terhadap kebesaran Ilahi.
“Saya bertudung bukan kerana manusia tetapi ia adalah kerana Allah. Saya amat berterima kasih kepada orang ramai yang banyak menegur cara pemakaian saya serta mengharapkan saya untuk bertudung di Instagram.
“Saya ambil teguran mereka dan Alhamdulillah kini saya telah bertudung tetapi niat untuk bertudung datang secara semula jadi. Sebelum ini saya banyak menggayakan imej bertudung dalam lakonan, lama-kelamaan apabila sudah terbiasa, saya rasa segan tidak menggayakan tudung di tempat awam,” akuinya tanpa berselindung.
Istiqamah, terus belajar. Dalam usaha murninya untuk terus mendekatkan diri kepada Ilahi, terluncur kata bahawa masih banyak dalam ruang dalam dirinya yang perlu diperbaiki. 

Dia akan melancarkan jenama fesyen Muslimah miliknya bersempena dengan musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi. Memperkenalkan jenama Dara By Fathia Latiff, sebelum ini dia tidak mempunyai perancangan langsung untuk mempunyai jenama fesyen sendiri, sebaliknya idea untuk berbuat demikian hadir secara semula jadi.
Ditebak persoalan stigma klise masyarakat mengenai kebanjiran selebriti wanita yang telah berhijrah dengan bisnes pakaian Muslimah mahupun tudung, Fathia mempunyai jawapan tersendiri.
“Saya bertudung bukan kerana fesyen. Kalau ada ruang untuk memberi manfaat kepada saudara muslim lain dan ia menjurus kepada perubahan positif diri sendiri, saya rasa ia tidak salah,” balasnya menutup bicara.

Demikian disaring dari Kosmo!. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails