Sunday, May 15, 2016

IS Serang Kafe Kelab B/Sepak Real Madrid. 14 Maut 20 Cedera.














 ORANG ramai kelihatan bertumpu di kafe penyokong kelab Real Madrid yang diserang militan IS di Balad, Iraq kelmarin. - REUTERS
SUKAN
BALAD, Iraq – Sebanyak 14 orang maut, manakala 20 lagi cedera apabila militan Islamic State (IS) me­lakukan serangan ke atas sebuah kafe penyokong kelab bola sepak Real Madrid di bandar Balad, utara Iraq kelmarin.
Serangan membabitkan antara lima hingga enam lelaki bersenjatakan AK-47 tersebut berlaku pada waktu tengah malam ketika kira-kira 50 orang berkumpul di kafe berkenaan yang sememangnya terkenal dalam kalangan penyokong kelab Sepanyol itu.
Poster-poster logo, pemain dan jurulatih kelab itu, Zinedine Zidane kelihatan tergantung pada dinding kafe terbabit yang disimbahi darah akibat serangan berkenaan.
“Anggota kumpulan IS masuk ke kafe dengan bersenjatakan senapang K-47 dan bom tangan lalu menembak secara rambang ke arah semua orang di dalam­nya,” kata Timbalan Gabenor wilayah Salaheddin, Ammar Hekmat al-Baldawi.
Katanya, empat daripada penyerang terbabit meletupkan diri dalam serangan berkenaan yang turut menyebabkan beberapa anggota polis dan militia Syiah terbunuh.
Presiden kelab penyokong Real Madrid Iraq, Ziad Subhan berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa militan IS tidak sukakan sukan bola sepak dan menganggapnya sebagai tidak Islamik.
Sementara itu, kerajaan Sepanyol dan kelab Real Madrid dalam satu kenyataan mengecam serangan berkenaan.
Pasukan berkenaan juga memutuskan semua pemainnya akan memakai kain lilit lengan berwarna hitam semasa perlawanan terakhir menentang pasukan Deportivo dalam penentuan merebut gelaran juara La Liga selepas cuma mengatasi kelab Barcelona dengan hanya satu mata.
IS dalam kenyataannya pula berkata, serangan terbaharu itu adalah kempen bagi memperingati pemimpin nombor dua kumpulan itu, Abdel Rahman Mustafa al-Qaduli yang terbunuh dalam satu serangan pada Mac lalu. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails