SHAH ALAM: PAS sudah boleh bersedia untuk PKR tidak lagi menjadi rakan politiknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir.
Pandangannya itu bersandarkan sikap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang semakin berani menyindir dan mengugut kepimpinan PAS secara terang-terangan.
Azmin pada Jumaat dilaporkan menyatakan rasa simpatinya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana 'tidak tahu apa-apa' yang berlaku dalam parti dan tidak diberikan maklumat yang secukupnya oleh orang kanannya berhubung rundingan agihan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Jun ini.
Azmin juga didedahkan Ketua Penerangan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali sebagai sah memberi kata dua kepada tiga Exco PAS supaya meletakkan jawatannya jika parti Islam itu tetap mahu bertanding di kerusi berkenaan.
"Kalau kita nak berbaik dengan seseorang, kita tak akan ugut dan tak hina orang yang kita nak berbaik. Kita takkan tuduh orang tu tak tahu apa-apa pasal parti. Ia mengguris hati. Pada saya, Azmin tak patut cakap macam itu. Nampaknya dia sudah terlepas cakap.
"Saya nampak mereka cuba untuk bersatu semula demi kejayaan tapi susah sebab PAS rasa tertekan dan terhina dengan tindakan DAP (bekas rakan politik) dan PKR sebelum ini," ujar Dr Salawati ketika dihubungi Antarapos.
PAS, PKR dan DAP sebelum ini mengadakan tahaluf siyasi menerusi Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 yang menyaksikan pembangkang menang besar pada PRU ke-12.
Gandingan tiga parti itu pada awalnya menggerunkan Umno Barisan Nasional (BN). Namun ternyata keutuhan gabungan itu hanya bersifat sementara.
Tidak sampai dua penggal bersama, PAS tidak dijemput untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas parti itu dan DAP putus hubungan hanya kerana tidak sependapat bersabit isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Namun hubungan politik PAS dan PKR masih berjalan hingga kini demi memastikan kerajaan negeri pimpinan Azmin di Selangor tidak tumbang.
Mengulas lanjut, Dr Salawati berkata, sikap Azmin yang semakin kritikal kepada PAS bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Saya sudah pernah beritahu Azmin adalah ahli politik yang sangat licik. Azmin akan sentiasa mahu dilihat suci dan mulia di pandangan orang dan saya rasa dia tak mahu memburukkan situasi walaupun dia telah beri kata dua kepada (Exco PAS Selangor) tetapi dia menafikan depan wartawan. Tapi bila PAS sendiri bukak ceria jadi dia tak boleh lari.
"Kita boleh nampak org macam Azmin ini susuah juga sebab dia pentingkan matlamat politik dan parti. kalau perlu dia bunuh orang lain, dia akan bunuh. Sebab itu saya kata dia diam, tapi dia tahu bagaimana nak ambil kesempatan. Kadang-kadang orang lupa dia, tapi di belakang...dia sangat menjalar," ujarnya.
Dr Salawati dalam pada itu memberitahu, sentimen pengundi Parlimen Sungai Besar masih condong kepada Umno BN.
Justeru katanya, jika Umno BN ingin mempertahankan kerusitersebut parti itu perlu meletakkan calon yang setanding dengan penyandangnya, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.
PRK Sungau Besar akan diadakan serentak dengan Parlimen Kuala Kangsar.
Dua PRK ini terpaksa diadakan selepas Noriah dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lalu.(IH/Antarapos)
No comments:
Post a Comment