BAITULMUQADDIS – Kumpulan pejuang Palestin di Genting Gaza membedil bom mortar ke arah Israel pagi semalam, kata tentera Zionis sekali gus meningkatkan ketegangan antara sempadan untuk hari ketiga.
“Mortar dibedil ke arah tentera berhampiran sempadan Gaza. Tiada kecederaan dilaporkan,” kata satu kenyataan tentera semalam.
Seorang jurucakap tentera memberitahu AFP bahawa tiada serangan balas segera daripada pihak Israel.
Kelmarin, kereta kebal Israel yang membedil sasaran pejuang Hamas membunuh seorang wanita Palestin di rumahnya di Gaza ketika pertempuran terburuk antara tentera Israel dan Hamas selepas perang pada 2014.
Sejak pertempuran yang bermula Rabu lalu, Hamas dan beberapa kumpulan pejuang lain telah membedil sekurang-kurangnya 10 mortar melepasi sempadan, manakala tentera udara Israel melakukan sekurang-kurangnya tiga serangan udara terhadap Gaza.
Kereta kebal Israel yang ditempatkan di sempadan juga membedil berulang kali ke arah kawasan sasaran Hamas.
Pada petang kelmarin, bedilan kereta kebal yang diikuti dengan serangan mortar dari kawasan Khan Yunis di selatan Gaza membunuh Zeina Al-Amour, 54, menurut hospital Nasser yang mengesahkan kematiannya.
Seorang penduduk berusia 21 tahun turut tercedera dalam serangan terbabit.
Serangan oleh Palestin pula menyasarkan tentera Israel yang berkawal di sepanjang sempadan dan berada pada jarak 100 meter di dalam kawasan Gaza.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang telah dilaksanakan sejak peperangan selama 50 hari itu menyebabkan 2,251 penduduk Palestin dan 73 warga Israel terbunuh. – AFP
No comments:
Post a Comment