Thursday, May 12, 2016

Rompakan RM70,000 Letupkan ATM. Didik Perompak Dengan Hukum Potong Tangan?


Kakitangan bank mengambil gambar mesin ATM yang dibom oleh perompak di Beaufort, Sabah semalam.

BEAUFORT – Tiga penjenayah hanya memerlukan masa selama 10 minit untuk menebuk sebelum meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam kejadian di sebuah bank di Membakut di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.40 pagi itu, sejumlah RM70,000 wang tunai berjaya dilarikan kumpulan penjenayah itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort, Asisten Superintendan Wan Kim Guan berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan tiga suspek yang datang ke premis berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.
Katanya, dua daripada suspek itu yang lengkap bertopeng dan memakai penutup kepala memasuki ruang yang menempatkan mesin ATM, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.


SEKUMPULAN perompak meletupkan sebuah mesin ATM milik sebuah bank di Pekan Jitra, Kedah pada 26 April lalu sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM300,000.

Wabak jenayah bom mesin ATM


KUALA LUMPUR: Modus operandi yang mudah, hasil lebih lumayan dan hukuman yang ringan menjadi penyebab utama kes rompakan serta mengebom mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank-bank di seluruh negara yang menjadi trend membimbangkan pada masa kini.
Sepanjang lima bulan tahun ini sahaja, terdapat sekurang-kurangnya 12 kes rompakan mesin ATM dilaporkan di seluruh negara melibatkan kerugian mencecah RM1,691,390.
Pengarah Institut Jenayah Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar (gambar kecil) berkata, penjenayah hari ini mula beralih daripada cara lama merompak di dalam bank kepada melarikan atau mengebom mesin ATM kerana risikonya yang rendah.
“Ada tiga sebab pencurian mesin ATM kerap berlaku. Pertama, motivated offender yang ingin mencuri untuk mendapatkan kesenangan dengan cara mudah.
“Kedua, suitable target kerana ada lebih 10,000 buah mesin ATM di Malaysia dan akhir sekali, absence of guardian iaitu tiada penjagaan keselamatan yang ketat.
“Tambahan pula, hukuman mencuri wang mesin ATM masih dianggap ringan iaitu penjara antara tujuh hingga 20 tahun, berbanding jika penjenayah merompak dan mencedera atau membunuh orang sewaktu merompak bank,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sindiket palsukan penyata KWSP


PETALING JAYA – Polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang digunakan untuk membuat pinjaman peribadi di beberapa bank selepas tertangkapnya empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di USJ 12, Subang Jaya, Isnin lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas dua buah bank gagal menerima bayaran ansuran pinjaman yang dilakukan peminjam sebelum membuat laporan polis pada 4 dan 5 Mei lalu berhubung penipuan membabitkan pemalsuan dokumen.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, bertindak atas risikan, polis menahan dua lelaki yang merupakan peminjam semasa sedang berurusan menggunakan penyata palsu terbabit di sebuah bank pada Isnin lalu.
Katanya, polis kemudian berjaya menahan dua lagi suspek di sebuah pusat beli-belah di USJ 12 di sini pada hari sama.
“Kita dapat menyelesaikan dua kes membabitkan kerugian berjumlah RM27,800 dengan tertangkapnya empat suspek berusia antara 21 hingga 45 tahun itu. Bagaimanapun, pihak polis percaya mereka ada membuat pinjaman lain.
“Selain itu, kita juga merampas sebuah mesin fotokopi, 15 helai penyata KWSP asli milik beberapa individu, empat helai penyata yang telah dipotong untuk diubah suai serta sembilan helai salinan penyata yang telah siap diubah suai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya semalam.
Komen Weblog IbnuHasyim

Hari ini saja sekurang-kurangnya terdapat 3 berita rompakan atau curi wang seperti di atas. Apakata kalau digunakan undang-undang untuk penjenayah yang lebih berkesan. Merompak, menyamun, mencuri, perlu dididik dengan hukum potong tangan di khalayak ramai, seperti yang dilakukan di beberapa negara Islam. Lihat kejayaannya, begitu juga boleh disaksikan dalam sejarah Islam.

Apa Hukum Mencuri Dalam Islam.?

Masyarakat kita sekarang ini berhadapan dengan suasana yang cukup parah. Jenayah berlaku berleluasa, tanpa dapat disekat dan dihapuskan. Setiap hari akhbar arus perdana menceritakan kes rompakan, peras ugut, ragut, pecah rumah dan mencuri. Walaupun pihak berkuasa mengenakan hukuman yang lebih berat, meningkatkan rondaan dan pengawasan yang lebih banyak.

Puncanya adalah kerana hukuman bagi pesalah yang melakukan jenayah ini dihukum tidak mengikut hukum-hukum Allah SWT, akibatnya jenayah ini tidak dapat dibendung ataupun dikurangkan. Penjenayah hanya dihukum penjara dan di dalam penjara boleh makan, minum dan berehat dan tidak merasai  kerugian pada dirinya.

Dalam zaman Nabi SAW dan para sahabat hanya terdapat beberapa kes saja melibatkan jenayah mencuri yang berlaku dan pesalah telah dijatuhkan hukuman had iaitu dipotong tangan.

Nabi SAW pernah berpesan yang bermaksud..
  • "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalah mukmin."
Maknanya , ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan mencuri. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Dalam Islam salah satu daripada jenayah yang dikenakan hukum hudud adalah mencuri. Mencuri adalah mengambil harta orang lain termasuk dengan jalan diam-diam diambil dari tempat penyimpanannya. Mencuri adalah satu perbuatan mungkar dan berdosa besar. Sesiapa sahaja yang mencuri, cukup bukti-buktinya dan memenuhi syarat ditetapkan syarak akan dikenakan hukum hadd iaitu dipotong tangannya.

Firman Allah SWT maksudnya : 
  • "Lelaki  yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Maidah ayat 38)
Apabila ia mencuri untuk yang pertama kalinya, maka dipotong tangannya yang kanan pada bahagian pergelangan telapak tangan. Bila mencuri untuk yang kedua kalinya, dipotong kaki kirinya dari tuas tumit. Mencuri untuk yang ketiga kalinya dipotong tangannya yang kiri dan yang keempat dipotong kakinya yang kanan. Kalau dia masih juga mencuri, dipenjarakan sampai ia taubat.

Syarat hukum mencuri :
  1. Pencuri tersebut sudah baligh, berakal dan melakukan pencurian itu dengan kehendaknya.
  2. Barang yang dicuri itu sedikitnya sampai 1/4 dinar. (harga semasa 1 dinar = 4.25 gm emas = RM 688.00 oleh itu 1/4 dinar bersamaan RM 172.00)
  3. Barang itu bukan kepunyaan si pencuri dan tidak ada jalan yang menyatakan bahawa ia berhak atas barang-barang itu.
Sekiranya orang yang mencuri harta bapanya, atau salah seorang suami isteri saling mencuri, orang miskin mencuri dari Baitul Maal tidak dipotong tangannya. Apabila telah nyata ia mencuri dengan ada saksi atau mengaku sendiri, selain tangannya wajib dipotong, ia pun wajib mengembalikan harta yang dicurinya.
Dalil-dalil lainnya:

Pertama:
  • Dari Ibnu Umar r.a berkata, “Baginda (Rasulullah SAW) memotong tangan pencuri kerana mencuri perisai (baju besi) seharga 3 dirham” (Hadis Riwayat Bukhari dalam Al Hudud no.6796 dan Muslim dalam Al Hudud no.1686/6)
Kedua:
  • Dari Aisyah r.a, Nabi SAW bersabda, “Tangan harus dipotong kerana  mencuri ¼ dinar atau lebih” (Hadis Riwayat Bukhari dalam Al Hudud no.6789)
Ketiga: 
  • Hadis Riwayat Muslim dalam Al Hudud no.1684/2, “Tangan pencuri tidak dipotong melainkan karena mencuri ¼ dinar atau lebih.”
Keempat: 
  • Nabi SAW bersabda, “Potonglah kerana  mencuri ¼ dinar, dan jangan potong kerana  mencuri kurang dari itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dalam Al Hudud no.6791)
Kelima:
  • Dari Rafi’ bin Khudaij mengatakan, “Aku mendengar Rasulullah bersabda: "Tidak ada hukum potong kerana mengambil buah-buahan, begitu pula tandan kurma.” (Hadis Riwayat  Ahlus Sunan, Abu Dawud dalam Al Hudud no.4388, dan At Tirmidzi dalam Al Hudud 1449).
Keenam: 

Dari Amr bin Syu’aib dari ayahnya, dari datoknya, ia mengatakan, “Aku mendengar dari Muzainah bertanya pada Rasulullah. Katanya, “Wahai Rasulullah, aku datang kepadamu untuk bertanya tentang unta yang tersesat.

Baginda menjawab: "Unta itu membawa sepatunya dan membawa tempat minumnya, ia memakan dedaunan dan meminum air. Biarkanlah ia (jangan diambil) sampai orang yang mencarinya mendapatkannya."

Ia bertanya: "Bagaimana dengan kambing-kambing yang tersesat?"

Baginda menjawab: "Untukmu, untuk saudaramu, atau untuk serigala. Kumpulkan kambing-kambing itu sehingga orang yang mencarinya datang."

Ia bertanya: "Lalu bagaimana dengan hewan yang diambil dari tempat gembalaannya?"

Baginda menjawab: "Ia harus membayarnya dua kali lipat dan dihukum cambuk. Sedangkan apa yang diambil dari tempat derum unta, maka ia harus dipotong. Apabila yang diambil mencapai harga perisai (1/4 dinar).  

Ia bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana hukum buah-buahan dan apa yang diambil dari tangkainya?"

Baginda menjawab: "Barangsiapa yang mengambil darinya dengan mulutnya dan tidak mengantonginya, maka tidak ada hukuman atasnya. Dan barangsiapa yang membawanya, maka ia harus membayarnya dua kali dan dihukum cambuk. Apa yang diambil dari penjemurannya (tempat pengeringan biji kurma dan gandum), maka ia dipotong apabila yang diambil mencapai harga perisai. Bila tidak mencapai harga perisai, maka ia membayar denda dua kali lipat dan beberapa kali cambukan.”

(Hadis Riwayat Ahlus Sunan, tetapi ini hadis riwayat an-Nasa’i, Abu dawud dalam Al Hudud no.4390; dan an-Nasa’i dalam Qath’ as-Sariq no. 4959.)

Hukum Hudud

Hukum hudud yang dijalankan adalah bersumber dari al-Quran dan Al-Hadis dalam pelaksanaannya merupakan sebahagian dari ibadah kita kepada Allah SWT.

Hukumnya juga lengkap, seperti yang dijelaskan diatas, dari bagaimana keadaan barang yang dicuri, berapa nilainya, kepemilikannya, hingga keadaan si pencuri. Hukum hudud hanya akan dijalankan apabila tidak menimbulkan syak atau keraguan. Jika bukti-bukti meragukan hukum tersebut  tidak akan dilaksanakan kepada orang yang dituduh. Begitu adilnya hukum Islam, segala perlaksanaannya akan dilaksanakan dengan seadil-adilnya tidak mengira siapa saja samaada pemimpin, orang kaya, orang miskin atau rakyat jelata.

Perlu diingatkan bahawa Allah SWT menurunkan hukum hudud adalah bukan untuk menzalimi manusia tetapi ianya adalah sebagai peringatan yang tegas. Tarbiah, kesedaran dan dakwah harus berjalan terlebih dahulu sehingga hati dan jiwa manusia merasai  takut kepada seksaan Allah SWT di hari akhirat maka dengan perasaan takut ini melahirkan iman dan takwa dan akan menghalang daripada melakukan kemungkaran dan jenayah yang membawa kepada dosa.

Salah satu tujuan dijatuhkan hukuman kepada pesalah jenayah hudud adalah supaya pelaku kejahatan  tidak akan mengulangi perbuatannya lagi. Dan pastinya, seseorang yang sudah terkena hukuman potong tangan pastinya sudah sedar dan menyesal di atas perbuatannya yang lalu, jika tidak sedar juga maka memang layaklah dia dihukum dengan hukuman yang lebih berat lagi.

Kenapa 1/4 dinar? Kerana Rasulullah SAW pernah memberikan sedekah kepada seorang miskin untuk makannya dan keluarganya. Maksudnya ukuran 1/4 dinar adalah ukuran yang cukup untuk memberi makan satu keluarga.

Jadi sudah jelas bahwa Islam itu tidak kejam. Maka jangan percaya jika ada berita tentang pelaksanaan hukum potong tangan terhadap anak kecil yang mencuri sepotong roti, kerana dapat dipastikan bahawa anak tersebut belum baligh dan sepotong roti tidaklah sampai dengan 1/4 dinar. Dizaman khalifah Umar bin al-Khattab pernah ditangguhkan hukuman potong tangan kerana zaman kemarau dan seseorang mencuri kerana kelaparan dan tidak dibayar gaji oleh tuannya.

Dan perhatikan bahawa Rasulullah tidak menetapkan hukum jenayah kecuali setelah baginda Hijrah ke Madinah dan mengadakan perjanjian dalam Piagam Madinah yang merupakan  persediaan untuk menegakkan Daulah Islamiyah. Hukum-hukum Islam hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya apabila tertegaknya Daulah Islamiyah, proses kearah itu perlu diusahakan oleh setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan rukun-rukun iman yang lain.

Hukum Islam akan bersesuaian dengan perkembangan zaman. Zaman perlu disesuaikan dengan hukum-hukum Islam bukannya hukum-hukum Islam disesuaikan dengan zaman atau mengikuti perkembangan zaman. Rasa keadilan itu  tidak bergantung pada zamannya, tetapi sebenarnya hawa nafsu manusia yang enggan menuruti hukum-hukum Islam. Maka hukum yang adil seharusnya terlepas dari hawa nafsu manusia, dan perlaksanaannya sesuai  pada setiap zaman.

Hukum Islam berlaku bagi semua muslim, samaada lelaki, wanita, tua ataupun muda, orang hartawan atau bangsawan, pemimpin atau pun rakyat jelata.

Seorang wanita di zaman Rasulullah SAW sesudah fathu (pembukaan) Mekah telah mencuri. Lalu Rasulullah memerintahkan agar tangan wanita itu dipotong. Usamah bin Zaid menemui Rasulullah untuk meminta keringanan hukuman bagi wanita tersebut. Mendengar permintaan Usamah, wajah Rasulullah langsung berubah. Baginda lalu bersabda : "Apakah kamu akan minta pertolongan  untuk melanggar hukum-hukum Allah Azza Wajalla?" 

Usamah lalu menjawab, "Mohonkan ampunan Allah untukku, ya Rasulullah."

Pada petang harinya Nabi SAW berkhutbah setelah terlebih dulu memuji dan bersyukur kepada Allah. Inilah sabdanya : "Amma ba'du. Orang-orang sebelum kamu telah binasa disebabkan bila seorang bangsawan mencuri dibiarkan (tanpa hukuman), tetapi jika yang mencuri seorang awam (lemah) maka dia dijatuhkan dengan hukuman. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya. Apabila Fatimah binti Muhammad mencuri maka aku pun akan memotong tangannya." 

Setelah bersabda begitu baginda pun kembali menyuruh memotong tangan wanita yang mencuri itu. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari sini terlihat jelas adanya persamaan di dalam perlaksanaan hukum (tidak ada sesiapa yang boleh terlepas daripada hukuman) tanpa memandang pangkat, jawatan dan kedudukan.

Jika hukum potong tangan dapat dijalankan dalam negara umat Islam maka sesiapa sahaja yang berniat ingin mencuri akan berfikir 10 kali sebelum melakukan perbuatan tersebut. Dia akan menpertaruhkan tangannya jika dia masih nekat ingin melakukan jenayah tersebut. Masyarakat akan lebih merasa aman . Kejadian pecah rumah, rompakan bersenjata, ragut ditengah jalan dan kecurian barang-barang berharga tidak akan berlaku. Jika masih berlaku juga mungkin dalam kadar yang cukup kecil.

Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Dia memberi taufik dan hidaya-Nya  kepada kita semua dan diberi-Nya kefahaman tentang Islam dan dapat melaksanakan semua suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Wallahu 'Alam bissawab.

[Rujukan : Fiqh Islam karangan H.Sulaiman Rasjid (Bab hudud -hukum mencuri)]

No comments:

Post a Comment