Friday, June 03, 2016

Al-Shabaab Tawan Hotel Lagi.. 10 Terbunuh.













BEBERAPA lelaki membawa mayat seorang mangsa yang terbunuh dalam serangan itu. - AFP
MOGADISHU – Sekumpulan lelaki bersenjata menawan sebuah hotel di tengah ibu negara Somalia, Mogadishu selama lebih 12 jam dalam serangan terbaharu kumpulan militan Al-Shabaab kelmarin yang mengakibatkan se­kurang-kurangnya 10 orang terbunuh.
Satu serangan bom kereta berlaku di hadapan Hotel Ambassador setinggi enam tingkat di Mogadishu yang menandakan permulaan sera­ngan itu petang kelmarin.
Ia disusuli kejadian berbalas tembakan yang berterusan hingga pagi semalam apabila Kementerian Ke­selamatan Somalia mengisytiharkan serangan itu telah berakhir.
“Semua lelaki bersenjata ini telah dibunuh oleh pasukan keselamatan. Setakat ini, lebih 10 orang disahkan mati dan ramai mangsa lain cedera,” kata Menteri Keselamatan Somalia, Abdirizak Omar Mohamed.
Menurutnya, anggota-anggota penyelamat masih mencari mangsa-mangsa yang terselamat dan mayat di dalam bangunan hotel itu yang rosak teruk.
Sumber keselamatan dan perubatan memberitahu lewat kelmarin bahawa sekitar 40 orang diketahui cedera dalam kejadian itu.
Kumpulan militan Al-Shabaab mengakui bertanggungjawab mela­kukan serangan itu. Al-Shabab sebelum ini kerap menyasarkan hotel yang popular dalam kalangan kakitangan kerajaan dan hartawan Somalia.
Tentera Misi Kesatuan Afrika di Somalia(AMISOM) pula menyatakan, dua anggota Parlimen Somalia, Mohamud Mohamed dan Abdullahi Jamac merupakan antara mereka yang terbunuh.
AMISOM berada di Somalia untuk melindungi kerajaan yang disokong masyarakat antarabangsa dan membantu memerangi Al-Shabaab.
Beberapa saksi kejadian berkata, letupan itu dipercayai dilakukan oleh seorang pengebom bunuh diri dengan merempuh kenderaannya ke dalam hotel itu.
“Letupan besar memusnahkan seluruh kawasan itu,” kata seorang saksi, Mohamed Elmi.
Sebilangan lelaki bersenjata kemudian memasuki Hotel Ambassador sebelum kejadian berbalas tembakan tercetus. Al-Shabab yang beroperasi sejak 2012 berjuang untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam di Somalia – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails