New Delhi – Polis India menahan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket pembekal haram buah pinggang yang dijual penduduk miskin kepada hospital terkemuka negara itu.
Menurut polis, T Rajkumar Rao yang ditahan di Kolkata semalam, dikehendaki berkaitan penjualan organ itu di negara berkenaan dengan sindiketnya memujuk penduduk miskin menjual organ tertentu, terutama buah pinggang dengan harga murah sebelum menjualnya kepada pesakit dengan harga mahal.
Sindiket itu memalsukan dokumen kononnya ‘penderma’ terbabit adalah saudara pesakit yang menjalani pemindahan organ di rangkaian hospital Apollo.
Polis juga menahan tiga ‘penderma’ organ, termasuk satu pasangan yang menjual buah pinggang mereka dengan harga 700,000 rupee (AS$10,500) untuk membayar pinjaman membiayai kos perubatan anak mereka.
Lima kakitangan hospital berkenaan juga ditahan.
Menurut laporan Daily Mail tahun lalu, orang ramai menjual buah pinggang dengan harga sekitar AS$5,000 kepada sindiket yang kemudian menjualnya dengan harga AS$200,000.
Hospital Apollo menafikan pembabitan dalam kes itu dengan menyatakan ia menjadi ‘mangsa sindiket yang menipu pesakit serta hospital’ dan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat.
Pada 2008, polis menahan dua doktor di sebuah hospital di Gurgaon, pinggir New Delhi yang terbabit dalam sindiket pemindahan 500 buah pinggang yang dibeli dari penduduk miskin dan dijual kepada pesakit kaya.
Menurut pertubuhan penderma organ India, negara itu memerlukan 500,000 penderma buah pinggang setahun tetapi hanya menerima 3,000 penderma setiap tahun. – AFP/myMetro Online.
No comments:
Post a Comment