1. PAS Pulau Pinang tetap berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, sama seperti penegasan yang dibuat oleh Presiden PAS sebelum ini. PAS Pulau Pinang menasihatkan supaya semua pihak khasnya rakyat negeri Pulau Pinang dan kaum keluarga Ketua Menteri P.Pinang supaya bertenang dalam menghadapi situasi begini.
Tiada apa yang perlu digusarkan sekiranya benar Ketua Menteri Pulau Pinang tidak bersalah. Beliau perlu diberi hak untuk tampil membela diri menjelaskan kepada mahkamah berhubung isu yang menyentuh integritinya sebagai pemimpin utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
2. Sekalipun Lim Guan Eng dan sekutunya sering menyerang PAS dengan pelbagai tohmahan dan fitnah, namun PAS tetap bertindak selaras dengan ajaran al-Qur'an supaya berlaku adil dengan semua pihak termasuk musuh. Islam mengajar bahawa sebelum penghakiman dibuat, maka seseorang itu masih tidak bersalah.
3. PAS Pulau Pinang juga meneliti beberapa kenyataan yang dibuat oleh pimpinan pembangkang yang menyatakan bahawa isu ini adalah pendakwaan terpilih oleh pihak SPRM. Perlu diingatkan bahawa kuasa pendakwaan bukanlah kuasa SPRM, sebaliknya ia adalah kuasa pihak Peguam Negara (AG).
Kepercayaan perlu diberi kepada SPRM yang menjalankan tugas untuk menyiasat dan mengemukakan kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara, samada dalam isu Lim Guan Eng ini mahupun isu 1MDB sebelum ini. Oleh itu, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada SPRM, sama seperti pendirian pembangkang yang pernah menyokong SPRM ketika berhadapan dengan isu pertukaran pegawai tinggi SPRM dalam kes siasatan skandal 1MDB tahun lalu.
Jika sokongan kepada SPRM atau agensi-agensi penguatkuasa yang lain hanya diberikan ketika keadaan yang menguntungkan politik sesetengah pihak, maka jelaslah sokongan itu hanya bertujuan mengaut keuntungan politik murahan semata-mata, bukannya berdiri atas prinsip kebenaran. Pendirian yang tidak berprinsip seperti ini wajar ditolak.
4. Bagi meningkatkan keyakinan parti-parti politik dan rakyat terhadap proses pendakwaan, pihak Peguam Negara juga harus bertindak terhadap kertas-kertas siasatan isu-isu korupsi nasional melibatkan pemimpin-pemimpin negara.
Jika wujud prima facie (beban membuktikan) terhadap kertas siasatan tersebut, Peguam Negara bertanggungjawab untuk mendakwa individu berkenaan di mahkamah. Sebaliknya jika kes tersebut didiamkan, maka bersedialah untuk didakwa di mahkamah Allah SWT kelak.
Sekian, terima kasih.
MOHD FAUZI YUSOF
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang
25 Ramadhan 1437H / 30 Jun 2016
No comments:
Post a Comment