Sunday, June 19, 2016

Fadillah Bintang Muay Thai Negara. Lihat Pakaiannya..

 NUR FADILLAH berazam mahu menjadi petinju Muay Thai No. 1 negara pada masa hadapan.

SUKAN

KEPENATAN berpuasa serta sibuk dengan rutin hariannya di sekolah tidak menghalang seorang gadis remaja, Siti Nur Fadillah Ailul Hailan, 14, untuk berlari lebih tiga kilometer dan berlatih lebih sejam pada sebelah malam bagi memenuhi impiannya menjadi petinju Muay Thai No.1 negara pada satu hari nanti.


Latihan intensif itu perlu kerana Nur Fadillah bakal mewakili negara ke kejohanan Muay Thai Remaja Antara Sekolah-Sekolah Peringkat Dunia di Bangkok, Thailand pada November depan.
Pada kejohanan itu nanti, dia bakal berdepan petinju hebat dari Amerika Syarikat, Rusia dan Filipina selain wakil tuan rumah, Thailand.
Pelajar Sekolah Menengah Sungai Isap Murni, Kuantan itu berkata, dia telah berjinak-jinak dengan Muay Thai sejak berusia sembilan tahun lagi dan mula aktif dalam sukan tersebut pada usia 13 tahun dengan menyertai beberapa kejohanan peringkat kebangsaan.
“Sepanjang bulan Ramadan ini ada sedikit kekangan dari segi latihan, namun selepas berbuka puasa dan berehat seketika, saya akan mula berlari sebelum meneruskan latihan selepas solat tarawih.
“Pada mulanya saya menceburi sukan ini sekadar untuk mempertahankan diri sahaja, namun lama-kelamaan saya semakin berminat belajar secara lebih mendalam kerana teknik serta pergerakan yang digunakan adalah unik dan tidak ada dalam seni mempertahankan diri yang lain,” kata Nur Fadillah ketika ditemui di tempat latihannya di Kuantan baru-baru ini.
Jurulatih Fadillah, Mohd. Rashid Majid, 58, berkata, anak didiknya itu merupakan petinju terbaiknya setakat ini dan Persatuan Muay Thai Malaysia telah menyasarkan Fadillah untuk mara ke final pada kejohanan di Bangkok nanti.
Sasaran itu ada asasnya kerana Fadillah dilihat begitu dominan berbanding rakan seusianya terutama setelah berjaya menumbangkan dua orang lawannya dalam pusingan pertama pada peringkat separuh akhir dan akhir Kejohanan Muay Thai Antara Sekolah-Sekolah dan Remaja Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu.
“Saya ada lihat rakaman video petinju-petinju lain menerusi laman sosial YouTube dan meskipun lawan memiliki kebolehan dan teknik yang baik terutamanya bagi mereka yang berasal dari Rusia dan Thailand, saya yakin Fadillah mampu memberikan saingan,” katanya.
Rashid yang juga bapa saudara kepada Fadillah bagaimanapun berharap ada pihak yang prihatin untuk mengangkat nasib anak muda ini yang kini berlatih dalam keadaan serba kekurangan di pekarangan rumahnya di Taman Bukit Rangin Perdana, dekat Kuantan.
Dengan kemudahan serba ringkas seperti tayar lori dan karung tinju serta berlantaikan simen, latihan yang mampu dilakukan Fadillah agak terhad.
“Dia datang dari keluarga yang susah, jadi saya mengambil inisiatif untuk menjaganya ibarat anak sendiri. Saya amat berharap Fadillah dapat diterima masuk ke sekolah sukan yang pastinya mempunyai kemudahan latihan yang lebih baik untuk mengembangkan bakatnya,” katanya. (Kosmo!)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails