GAMBAR yang dirakam Tentera Laut Itali pada 25 Mei lalu menunjukkan detik cemas imigran semasa bot yang mereka naiki karam di perairan Libya.
GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, ejen-ejen telah mengambil kesempatan dengan meningkatkan aktiviti penyeludupan golongan imigran bagi mengaut keuntungan menjelang Ramadan minggu depan.
Keadaan itu menyebabkan imigran berkenaan bersesak-sesak di dalam bot mengakibatkan sekurang-kurangnya 880 orang terbunuh ketika cuba merentasi Laut Mediterranean pada minggu lalu, kata Suruhanjaya PBB Bagi Pelarian (UNHCR) kelmarin.
“Sepanjang tahun ini 2,510 orang hilang nyawa di dalam kapal dan bot yang karam, berbanding 1,855 orang dalam tempoh sama pada 2015,” kata jurucakap UNHCR, William Spindler.
Hampir 204,000 orang pula telah selamat sampai ke Eropah selepas bergadai nyawa merentasi lautan setakat ini, katanya.
Spindler berkata, berdasarkan laporan mangsa yang disoal siasat di Itali, penyeludup berusaha memaksimumkan pendapatan mereka sebelum Ramadan bermula apabila umat Islam perlu berpuasa dari subuh hingga senja. Bulan Ramadan dijangka bermula pada 6 atau 7 Jun ini.
“Pada masa ini, penyeludup bertindak menyumbat ramai orang di dalam bot walaupun mereka bukannya mahu merentasi lautan. Jadi, apa yang berlaku ialah sebaik sahaja mereka belayar dari pantai, mereka akan meminta bantuan dari pasukan penyelamat.
“Hakikatnya, insiden bot karam dan pelarian mati lemas adalah perlumbaan mengejar masa sebelum bot tersebut tenggelam dan dalam beberapa kejadian, penyelamat sampai ke sana terlalu terlambat,” kata Spindler.
Tambahnya, pengawal pantai Itali telah menyelamatkan 14,000 orang serta menyelaras operasi mencari dan menyelamat dengan kapal negara-negara lain.
Jumlah itu telah menurun sejak satu perjanjian dicapai dengan Turki untuk membantu menghentikan imigran tidak sah sampai ke Eropah sebagai balasan untuk mempercepatkan rundingan EU, liberalisasi visa dan bantuan kewangan.
Bot-bot yang belayar dari pantai di barat Tripoli, Libya sering membawa lebih daripada 600 orang dan kadang-kadang ditarik oleh bot nelayan yang lebih besar sekali gus merupakan satu amalan yang berbahaya, jelas Spindler. – Reuters
No comments:
Post a Comment