Sunday, June 26, 2016

Kisah Kampung Melayu Cocos Tawau, Asal-usul Australia...


CATATAN PERJALANAN IBNU HASYIM

Siri 1: Aku Di Pulau Sebatik, Sebuah Pulau Ganjil Antara 2...
Siri 2: Pulau Sebatik Dalam Bahaya, Sama Seperti Sipadan, ...

Siri 3: Pakai Kupiah Berjubah Putih, Balaci Pelacur Malam ...

"SAYA ingin melawat kampung Orang Melayu Cocos." Kata saya kepada pemandu teksi di Tawau, Sabah.

"Oh, boleh!" Dia terus memandu teksi dari bandar Tawau ke arah Lapangan terbang merentasi Lebuhraya Tawau-Kota Kinabalu, masuk ke Kampung Balung Cocos, di Tawau.

Sesampai di pintu masuk kampung tersebut, kami berhenti bertanya di mana rumah pengulunya. Kami pergi ke rumah pengulu seperti di gambar di atas dan di kanan ini. 

Kami memberi salam, isterinya menjawab, suaminya pergi ke hospital menghantar orang sakit. "Sudah lama dia pergi, kalau nak jumpa, tunggulah." Katanya sambil menjenguk dari atas rumah kepada kami yang di bawah.

Tidak menjemput kami naik ke rumahnya pun. Saya faham, kerana itu peraturan Islam yang melarang menjemput lelaki masuk ke rumah semasa suaminya tiada. Adab Islam itulah yang menjadi teras budaya Melayu.

Bangsa Melayu Cocos.

Saya mula kenal orang Melayu Cocos di Sabah dari dekat, apabila seseorang menelefon saya memohon 'khidmat runding' saya, bagaimana hendak pergi berkerja di Australia, beberapa bulan lalu. Dia ingin kerja di Australia, di samping dapat menyelusori asal-usul keluarganya di Cocos Island, Australia.

Lihat: 

Wanita saya sebutkan yang di kanan itu adalah orang Melayu Cocos bersama suaminya. Ditengah-tengah Ibnu Hasyim.

Orang Melayu Cocos merupakan komuniti masyarakat, membentuk kumpulan etnik terbesar menetap di Kepulauan Cocos (Keeling), yang kini menjadi sebahagian daripada wilayah milik Australia. Orang Melayu Cocos berasal dari keturunan peneroka Melayu dari bekas negeri tanah jajahan British seperti British Malaya (kini Malaysia), Singapura, Brunei dan Kepulauan Riau, yang dulunya di bawah pemerintahan Hindia Timur Belanda.

Pada asalnya Pulau Cocos tidak dihuni oleh manusia sehinggalah masyarakat Melayu membentuk komuniti utama disini. Golongan Melayu perintis yang dipercayai pertama kali tiba dan menetap di Kepulauan Cocos adalah dari kalangan 'harem' dan 'hamba abdi'.

Mereka dibawa masuk oleh Alexander Hare, petualang Inggeris pada tahun 1826. Pada tahun 1827 John Clunies-Ross menukar kehidupan para penduduk Melayu ketika beliau tinggal di Kepulauan Cocos bersama dengan keluarganya. Terdapat orang Melayu jumlah besarnya berasal dari Tanah Melayu bekerja dengan Clunies-Ross untuk membantu menanam pokok kelapa dan menuai hasil kelapa. 

Pada bulan September 1978, keluarga Clunies-Ross telah menjual Kepulauan Cocos kepada kerajaan Australia. Sejak itu, Ketua Negara ialah Ratu Elizabeth II, diwakili oleh Penyelia Gabenor Jeneral pada masa ini B. Cunningham. Ketua Dewan Kepulauan pula ialah Haji Wahin Bynie.

Orang Melayu Cocos Di Malaysia.
Sempat saya bergambar depan pintu masuk Kampung Balung Cocos, di Tawau

Teksi kami meluncur terus, bergerak perlahan supaya sempat kami melihat rumah-rumah Melayu yang ada sikit-sikit ciri-ciri tradisional.

Driber teksi itu pula bersuara menambah maklumat..

"Orang Melayu Cocos yang tinggal di kampung di Sabah ini dikatakan berasal dari Kepulauan Cocos, mereka menetap di kawasan ini pada tahun 1950 selepas dibawa oleh British.

"Bilangan orang-orang yang mengambil bahagian dalam penghijrahan pertama dianggap sekitar dua puluh orang, tetapi ia meningkat apabila mereka memperluaskan penempatan mereka di Lahad Datu. Budaya mereka berkait rapat dengan orang-orang Melayu di Malaysia

"..Mereka di Sabah ada sekitar 4000 orang, kira-kira lapan kali lebih besar daripada penduduk yang tinggal di Kepulauan Cocos. 

"Mereka diperuntukkan sebagai 'bumiputra'  dan juga sebahagian daripada Melayu Malaysia berstatus seperti kumpulan etnik yang terdapat di Sabah." Jelas beliau, pemandu teksi itu.

"Bagaimana agama mereka?" Saya dapat peluang mencelah.

"Kebanyakan orang Melayu Cocos mengikuti ajaran Islam berfahaman Sunah Waljamaah." Jelasnya.

Masjid Al-Firdaus Kg Balung Cocos Tawau.


"Bagaimana pakaian mereka?" Saya tanya lagi.

"Biasa saja, lebih kurang macam kita juga." Katanya. "Begitu juga dalam bahasa dan pertuturan."

Rumah ini agak tradisional..








Tempat tunggu bas, pintu masuk ke Kampung Balung Cocos.

Teksi kami terus bergerak, saya terus mengambil gambar-gambar rumah kampung. Perjalanan sampai ke hujung dan kami berpusing balik untuk keluar. Tiba-tiba seorang lelaki menahan teksi kami. 

"Kenapa kamu mengambil gambar rumah saya?" Dia tanya macam mengherdik. 

"Maaf, saya datang dari Kuala Lumpur untuk buat kajian mengenai Orang Melayu Cocos di sini. Yang mana rumah encik??" Saya tanya dia pula.

"Itu, arah sana! Rumah bertanda PKR, Parti Keadilan Rakyat." Jawabnya, sambil jarinya menunjuk arah ke rumah itu.

"Oh! Bagus.." Jawabku, sambil jariku mengisyaratkan, 'bagus kerana kita sama-sama pembangkang'.

Dia senyum terus mempersilakan laluan. Terima kasih, kalau kebetulan dia membaca tulisan ini. Assalamu 'alaikum!

Inilah rumahnya.


Bersambung..

Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com 
Jun 23, 2016
Kampung Balung Cocos, Tawau, 
Sabah.

1 comment:

Unknown said...

aku orang cocos 😁

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails