JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam membuat lawatan di kepulauan terpencil berdekatan perairan yang berulang menjadi kawasan pertelingkahan antara kapal China dan Indonesia, ketika tekanan semakin meningkat antara kedua-dua negara di Laut China Selatan.
Lawatan tersebut dikatakan sebagai mesej jelas Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu mengenai kedaulatan Indonesia terhadap Pulau Natuna di pinggir barat laut gugusan kepulauan nusantara. Beliau disertai oleh delegasi tertinggi termasuk menteri luar dan ketua angkatan tentera.
“Natuna adalah kawasan jajahan Indonesia. Ia adalah muktamad. Sebagai ketua negara dan kerajaan, Presiden mahu memastikan Natuna adalah sebahagian daripada kedaulatan Indonesia,” ujar Setiausaha Kabinet, Pramono Anung.
REUTERS - GAMBAR fail pada 10 Julai 2014 menunjukkan hangar pesawat berdekatan Pangkalan Udara Ranai di Pulau Natuna Besar, Indonesia.
Minggu lepas, kapal tentera Indonesia merampas beberapa bot ikan dengan bendera China dan menahan nelayan berkenaan atas tuduhan menangkap ikan secara haram di zon ekonomi eksklusif Natuna, sekali gus mewujudkan suasana tegang ketiga melibatkan bot kedua-dua negara itu tahun ini.
Beijing membantah dan mendakwa salah seorang nelayannya tercedera selepas kapal Indonesia melepaskan tembakan amaran, namun ditolak oleh Jakarta dengan menyatakan tiada anak kapal yang ditahan mengalami kecederaan.
Berikutan daripada ketegangan itu, China menyatakan kedua-dua negara mempunyai hak dan kepentingan maritim di kawasan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan pemerhati bahawa Beijing secara terbuka mengakui pertikaian dengan Jakarta.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi kelmarin menegaskan bahawa Jakarta tidak mempunyai tuntutan bertindih di kawasan perairannya bersama China.
Berbanding negara-negara jiran yang lain, Jakarta tidak mempunyai sebarang pertikaian maritim dengan Beijing di Laut China Selatan dan mana-mana terumbu atau pulau-pulau kecil di kawasan berkenaan. – AFP
2 comments:
Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jokowi dan kerajaan Indonesia kerana keberanian mereka mempertahankan kedaulatan negara mereka dengan mengambil tindakan tegas ke atas lanun-lanun China yang bermaharajalela di Laut China Selatan.
Sebaliknya terdapat sebuah negara dalam ASEAN yang amat takut menghadapi lanun-lanun China yang mencerobohi perairan negara. Untuk menutup kelemahan pemimpin, mereka berdolak-dalih untuk menipu rakyat sendiri ! Amat memalukan!
Maklumat utk semua. Bahasa melayu penduduk pulau besar natuna berdialek trengganu. Tapi kenapa ia milik Indonesia pulak? Lemahnya malaysia menuntut haknya....
Post a Comment