Thursday, June 02, 2016

Pengganas Sasar Euro 2016 -Amaran AS

AFP - MENTERI Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier (depan, tiga dari kanan) menghadiri acara promosi Euro 2016 di Berlin kelmarin.

SUKAN
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya kelmarin tentang kejohanan bola sepak Euro 2016 dan acara berkaitan di Perancis dan Eropah berisiko diserang pengganas.
Kejohanan selama sebulan di Paris itu yang akan memulakan sepak mula pada 10 Jun ini menarik kehadiran pasukan antarabangsa terbaik dari serata Benua Eropah dan ratusan ribu peminat bola sepak.
Jurucakap Jabatan Negara, John Kirby berkata, amaran itu bukan sengaja untuk menghalang rakyat AS daripada berkunjung ke Eropah tetapi sebagai peringatan agar mereka sentiasa berwaspada.
“Saya tidak mengetahui secara spesifik tetapi ancaman pengganas dipercayai sekitar acara ini (Euro 2016). Amaran ini berdasarkan maklumat terkumpul dan berdasarkan apa yang kami tahu, kumpulan pengganas akan terus menjadikan Barat terutamanya AS sebagai sasaran,” katanya.
Menurutnya, ancaman itu bukan sahaja melibatkan stadium tuan rumah di Perancis, malah turut merangkumi lokasi di seluruh Eropah di mana peminat bola sepak akan berkumpul untuk menonton kejohanan itu.
“Stadium perlawanan, tempat berkumpul peminat dan acara hiburan berkaitan kejohanan ini di Perancis dan seluruh Eropah berisiko menjadi sasaran pengganas,” kata Kirby.
Beliau mengingatkan rakyat AS agar berhati-hati semasa berada di lokasi pengangkutan dan tempat perhimpunan awam di Eropah.
“Kami mahu rakyat AS berwaspada terhadap risiko serangan pengganas di seluruh Eropah yang menyasarkan acara utama (Euro 2016), tempat pelancongan, restoran, pusat komersial dan pengangkutan,” katanya.
Kerajaan Perancis telah menolak permintaan untuk membatalkan acara berprestij itu yang dijangka menarik kehadiran dua juta peminat bola sepak ke Paris.
Paris bagaimanapun mengetatkan pemeriksaan di sempadan untuk memastikan kejohanan Euro 2016 berlangsung dengan selamat. Kota raya itu pernah menjadi sasaran sera­ngan pengganas pada November tahun lalu. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails