Tuesday, June 14, 2016

Rogol Di P/Tioman: Ayah Mangsa Tuntut Keadilan, Perogolnya Pegawai Kastam?

 Pelancong wanita bawa lelaki tempatan di bilik Pulau Tiomaan, ini kes lain.

AYAH kepada seorang gadis bawah umur yang mendakwa dirogol bergilir-gilir dan didera secara seksual oleh lima lelaki berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan terperinci sehingga membawa semua suspek ke muka pengadilan.

"Kami hanya mahu keadilan dan harap kami dilayan dengan sewajarnya. Sekiranya pihak berkuasa tidak ambil berat kes ini, anak saya dan ahli keluarga akan terus terima pelbagai tekanan dan pandangan serong daripada masyarakat umum," katanya ketika ditemu bual oleh Sin Chew Jit Poh, semalam.

Kelmarin, seorang penjawat awam telah menyerah diri kepada polis berhubung kes remaja dirogol secara berkumpulan di Pulau Tioman, Pahang itu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintanden Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, suspek berusia 26 tahun itu menyerah diri pada jam 10.30 malam Sabtu lalu di Balai Polis Pulau Tioman, selepas diarahkan pegawai atasannya untuk berbuat demikian.

Polis telah menahan lelaki terbabit dan memohon perintah reman tiga hari untuk membantu siasatan.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan memastikan tiada sebarang unsur ‘cover up’ dalam kes-kes jenayah yang membabitkan pegawai kerajaan, termasuk kes rogol tersebut.

Beliau berjanji akan memastikan tiada sesiapa yang akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya terdapat bukti jelas mereka melakukan jenayah. Enam individu, termasuk seorang wanita sebelum itu telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes itu, namun menafikan pembabitan anggota Kastam dalam kes berkenaan.

Pada 9 Jun lalu, mangsa yang berusia 17 tahun itu ditemani bapanya membuat aduan dengan mendakwa minumannya telah dicampur ubat sebelum dia dirogol secara bergilir-gilir antara Mac hingga Mei lalu di jeti Pulau Tioman dan salah seorang daripada suspek itu adalah anggota Kastam.

Gadis itu kemudiannya mendakwa dirogol anak jirannya serta dirakam gambar dan video bogelnya sebelum dimuat naik ke laman media sosial. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Kuantan buat kali kedua dengan mendakwa seorang daripada perogolnya adalah anggota Kastam yang membawanya masuk ke dalam pejabat untuk diurut dan dirogol pada waktu pejabat 18 Mac lalu.

Selepas terbongkarnya kes tersebut, kata ayah mangsa, beliau rasa lega kerana terdapat ramai orang yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan kepada anaknya, termasuklah menyediakan tempat penginapan, peluang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Beliau yang berasal dari Kulai, Johor turut terharu dengan kata-kata semangat dan perasaan simpati diberikan oleh orang ramai kepada beliau dan anaknya.

Semalam, Timbalan Menteri Wanita, keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, pihaknya mengutuk keras berlakunya kes rogol berkenaan dan kementeriannya telah menghantar pegawai bagi menemui dan mengetahui nasib yang menimpa gadis tersebut.

OBT

"Buat masa ini, pihak kementerian masih menunggu laporan lengkap dan bersedia memberikan bantuan kaunseling kepada mangsa, jika perlu.
"Kementerian turut meminta pihak polis mengambil langkah yang lebih drastik dengan menjalankan siasatan lebih terperinci agar dapat menahan semua suspek dan didakwa ke mahkamah," kata Mei Fun.

Beliau berpendapat, mangsa dan ayahnya berhak membuat aduan serta membuat rayuan kepada mangsa-mangsa rogol agar tampil ke depan untuk menuntut keadilan.

"Perogol biasanya dapat melepaskan diri daripada hukuman kerana mangsa tidak mempunyai bukti yang mencukupi. Oleh itu, saya menasihatkan mangsa tidak perlu rasa malu dan takut kerana mereka berada di pihak yang benar. Mereka perlu menyimpan bukti supaya dapat mendakwa si pelaku," katanya lagi.

Selain itu, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Sai Kie berkata, Wanita MCA bersedia memberikan khidmat guaman percuma kepada mangsa melalui Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia (LAWA).

"Penubuhan LAWA ialah sedia memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan wanita tanpa mengira kaum dan agama, terutama sekali mangsa rogol dan mangsa penganiayaan," kata Sai Kie. (SH)

Sila lihat..
Pekerja M'sia Di Australia Diucapkan Selamat Menyambut Ramadhan. -Ibnu Hasyim.

No comments:

Post a Comment