AFP - ASKAR Israel mengadakan pemeriksaan kenderaan di bandar Hebron, Tebing Barat semalam.
BAITULMUQADDIS – Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan kelmarin menuduh Facebook dan pengasasnya, Mark Zuckerberg tidak mengambil langkah secukupnya untuk mencegah hasutan terhadap Tel Aviv dan berkata, rangkaian sosial itu mensabotaj kerja polis Israel.
Israel sebelum ini menyatakan bahawa Facebook telah digunakan untuk menggalakkan serangan ke atas rejim Zionis, manakala Tel Aviv sedang menggubal undang-undang bagi membolehkan ia mengarahkan Facebook, YouTube, Twitter dan media sosial lain supaya membuang kandungan yang dianggap menghasut keganasan.
Namun, komen oleh Erdan agak lantang. Beliau berkata, Zuckerberg bertanggungjawab ke atas polisi Facebook dan menyeru seluruh rakyat Israel agar mendesak pengasas Facebook itu untuk memantau platform tersebut yang memberikannya pulangan berbilion dolar.
“Facebook mensabotaj tugas-tugas polis Israel. Laman sosial ini juga tidak menghapuskan hasutan dan kenyataan berunsur keganasan,” kata Erdan.
Jurucakap Facebook di Israel bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan balas terhadap tuduhan menteri tersebut.
Sejak Oktober tahun lepas, penyerang Palestin membunuh seramai 34 warga Israel dan dua rakyat Amerika Syarikat. Rejim Zionis pula menembak mati sekurang-kurangnya 201 warga Palestin. – AFP
No comments:
Post a Comment