Sunday, July 03, 2016

Hentikan Candu Hiburan! Petani, Penoreh Yang Sukar, Selamat Hari Raya..


LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar PAS (LATAS) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat yang sedang menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini.


Meskipun hari raya adalah saat untuk kita bergembira, suasana itu wajib dijalani dengan pedoman syariat. Harus disedari bahawa kita menyambut hari raya pada tahun ini dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, harga komoditi pertanian terlalu murah, dan kegiatan perniagaan berjalan suram mungkin berlarutan beberapa tahun mendatang.



Raya tahun ini, para petani, khususnya penoreh dan keluarga mereka tentunya menghadapi suasana yang sukar, menambahkan jumlah rakyat miskin yang menjadi dhaif di negara kita.

Walaupun kerajaan memberikan pelbagai alasan dan jaminan kepada masa depan sektor pertanian, mengumumkan bantuan one-off dan mengumumkan insentif khas dalam belanjawan negara, keadaan petani terutama penoreh tidak bertambah baik. 


Semakin lama, jaminan dan program kerajaan kelihatan mempunyai tujuan lain, bukannya bermaksud memperbaiki kedudukan harga dan meningkatkan taraf sektor pertanian. Warga petani kian terhimpit.



Suasana seperti ini haruslah menjadikan kita warga Malaysia sentiasa berwaspada dan peka dengan masyarakat di persekitaran kita. Apakah kegembiraan berhari raya tahun ini dapat dinikmati oleh semua, ataupun sebahagian daripada kita sedang terasing dalam kesempitan.






Berhari raya secara berlebihan dalam semua aspek harus dihentikan. Persediaan hari raya sama ada jamuan, pakaian, hiburan dalam acara-acara individu, pertubuhan, jabatan kerajaan dan pemimpin negara patut mengambilkira Aidilfitri ini turut disambut oleh warga petani yang serba kekurangan. Keinsafan menjalani Ramadhan sewajarnya membuahkan perubahan, natijahnya adalah taqwa.


Perlu diinsafi bahawa, Aidilfitri adalah satu ibadat ummat Islam yang dipandu oleh syariat, bukanlah satu acara komersial atau pesta kebudayaan.

Pihak media terutama stesen TV tidak patut menghidangkan candu hiburan berlebihan untuk rakyat melupakan maksud sebenar hari raya.

LATAS mengajak semua pihak yang terbabit dan bertanggungjawab dalam sektor pertanian- Menteri, pegawai kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun, GLC, pengilang dan penguasa dalam industri, supaya menyedari dan bertindak menghasilkan penyelesaian memperbaiki kesuraman hidup rakyat yang bergantung kepada komoditi pertanian.

Senario ini dikatakan berpunca daripada kemerosotan harga di pasaran antarabangsa, tetapi mungkin juga turut disumbangkan oleh faktor lain - kepincangan keputusan pemimpin negara, kesilapan meletakkan keutamaan kerajaan, kehilangan kecekapan pelaksana dasar, kemerosotan prestasi pihak berkuasa dalam melaksanakan tanggungjawab dan ketamakan taukeh-taukeh besar dalam industri.

Sepanjang krisis harga getah dan komoditi pertanian ini terjadi, belum ada pengilang dan pengeksport terpaksa gulung tikar, belum ada agensi kerajaan maupun GLC yang terbabit dengan pertanian komoditi tidak bergaji, malah mendapat bonus tahunan dan bonus raya. 

Sedangkan di medan sebenar, kehidupan rakyat sebagai pengeluar semakin hari semakin dhaif dan terperosok. Bukankah ini satu petunjuk yang jelas untuk kita semua pertimbangkan semasak-masaknya.

Kepada jutaan warga petani, penoreh dan pekebun kecil, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesederhanaan, hari raya yang menyuburkan kesedaran dan keinsafan. 

Negara kita ini perlukan perubahan, masa depan kita dalam sektor ini juga boleh diubah. Kitalah agen perubahan itu. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi 
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails