Sunday, July 10, 2016

Perkauman Kulit Putih/Hitam Di AS Terus Memuncak, 5 Terbunuh..


GAMBAR menunjukkan reaksi penunjuk perasaan di Plaza Justin Herman, i San Francisco, California kelmarin.

DALLAS – Beribu-ribu penunjuk perasaan keluar ke jalan raya di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) kelmarin selepas seorang pelampau kulit hitam menembak mati lima anggota polis semasa satu demonstrasi aman bagi membantah kekejaman polis kulit putih di Texas.
Presiden AS, Barack Obama berkata, beliau akan memendekkan lawatannya ke luar negara dan melawat Dallas pada minggu depan. Kata Obama, kejadian amuk oleh veteran tentera kulit hitam itu memerlukan usaha untuk memulihkan hubungan kaum di AS dilakukan dengan segera.
Orang ramai berarak di jalan raya di beberapa bandar di AS termasuk Atlanta, Houston dan San Francisco, manakala berpuluh-puluh penunjuk perasaan mengadakan bantahan di luar White House.
Bercakap pada majlis memperingati anggota polis yang maut itu, Datuk Bandar Dallas, Mike Rawlings berkata, rakyat perlu meningkatkan usaha untuk menyembuhkan luka akibat konflik perkauman di AS.
“Kita tidak malu untuk berkata bahawa kita semua kini bergelut dengan isu perkauman,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Obama memerintahkan bendera negara di bangunan-bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang selama lima hari bagi memperingati mangsa yang terkorban.
Polis dalam pada itu menemui bahan-bahan untuk membuat bom berserta sejumlah senjata api di kediaman penyerang, Micah Johnson di Dallas.
Johnson, 25, terbunuh dalam insiden tembak-menembak dengan pihak berkuasa.
Lima anggota polis maut dalam kejadian amuk Khamis lalu termasuk seorang polis transit Dallas, manakala tujuh anggota polis lain dan dua orang awam cedera.
White House menolak kaitan penyerang dengan mana-mana pertubuhan pengganas, namun laman Facebook Johnson mengaitkannya dengan beberapa gerakan kulit hitam yang radikal.
Lelaki itu merupakan seorang askar simpanan sejak enam tahun lalu dan pernah berkhidmat di Afghanistan. Sebelum mati, Johnson memberitahu polis bahawa dia mahu membunuh polis kulit putih untuk membalas dendam perbuatan polis menembak mati dua lelaki kulit hitam baru-baru ini. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails