Tuesday, July 12, 2016

Portugal Juara Euro 2016


SUKAN
PORTUGAL muncul juara Euro 2016 selepas menewaskan Perancis 1-0 pada perlawanan akhir di Stade de France Saint-Denis, Perancis awal pagi semalam.
Pemain gantian, Eder yang masuk menggantikan Renato Sanches pada separuh masa kedua muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat Portugal pada kejohanan utama di pentas antarabangsa.
Lebih menarik, kemenangan tersebut diperoleh tanpa sumbangan Cristiano Ronaldo yang terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-20 gara-gara kecederaan.
Begitupun, Portugal terpaksa menunggu sehingga minit ke-109 pada masa tambahan untuk mengesahkan status mereka selaku pasukan terbaik di bumi Eropah tahun ini selepas rembatan dari luar kotak penalti oleh Eder gagal diselamatkan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.
Pada perlawanan tersebut, Perancis lebih banyak menguasai perlawanan, namun gagal menembusi pertahanan Portugal yang diterajui Pepe, malah kelebihan mereka selaku tuan rumah juga tidak dipergunakan sebaik mungkin untuk melakar kemenangan.
Portugal tidak pernah disenaraikan sebagai pasukan pilihan pada Euro kali ini selepas aksi yang agak hambar pada peringkat kumpulan yang menyaksikan mereka mencatat tiga keputusan seri sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas Croatia pada pusingan kedua.
“Kemenangan ini adalah hasil semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain walaupun kami bermula agak teruk pada peringkat kumpulan.
“Namun, kami telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan akhirnya muncul juara. Kami turut membuktikan bahawa Portugal juga mampu melakar kejayaan tanpa bergantung pada Ronaldo,” jelas jurulatih, Fernando Santos.
Portugal pernah layak ke final kejohanan ini pada 2004 ketika mereka menjadi tuan rumah, namun tewas kepada Greece. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails