KOTA BHARU - Peluang parti Amanah untuk mencapai kemenangan di Kelantan dalam PRU14 sangat tipis berdasarkan kepada perkembangan semasa dalam parti itu.
Pengurus Besar Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Dr Mohd Fauzi Shaffie berkata, cara berpolitik Datuk Husam Musa dan Datuk Wan Rahim Abdullah juga sudah lapuk dan tidak diterima pengundi.
"Awal 80-an hingga awal 90-an dulu saya pernah aktif dalam Pas dan cukup masak dengan cara berpolitik Husam dan Wan Rahim, khususnya di Kelantan, nampaknya cara dan pendekatan mereka masih sama sedangkan zaman telah berubah.
"Politik cuba memperbodohkan rakyat seperti menyatakan 10 wakil rakyat Pas akan menyertai Amanah tetapi kemudiannya menyatakan yang dimaksudkan ialah nilai seorang wakil rakyat Amanah sama dengan nilai 10 wakil rakyat Pas, sudah lapuk.
"Begitu juga politik mewarwarkan kononnya ramai pemimpin dan ahli Pas akan menyertai Amanah sedangkan hakikatnya jumlah yang berbuat demikian tidak seperti digambarkan juga tidak akan membawa Amanah ke mana,” katanya kepada Sinar Harian.
Fauzi berkata mengulas mengenai Majlis Perisytiharan bekas ahli Pas yang menyertai Amanah membabitkan Husam dan Wan Rahim di Salor, baru-baru ini.
Menurutnya, amat pelik apabila pemimpin Amanah mengumumkan kononnya nama-nama tertentu sudah menyertai Amanah sedangkan tuan punya badan sendiri tidak kelihatan dalam majlis tersebut.
Begitu juga dengan bangunan tertentu yang diberikan nama Wisma Tok Guru yang memberi gambaran pemimpin Amanah tiada kekuatan sendiri dan terpaksa meminjam nama Tok Guru untuk bernyawa.
“Semua ini memberi gambaran bahawa Amanah hanya indah khabar dari rupa dan tidak mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk membolehkan ia menang di Kelantan dalam PRU14.
“Barisan kepimpinan Amanah Kelantan juga bermasalah, tidak hairanlah jika jumlah ahlinya terlalu sedikit bagi sebuah parti politik yang berhajat memenangi pilihan raya walau telah setahun Amanah ditubuhkan.
"Husam dan Wan Rahim adalah pemimpin yang diseliputi kontroversi, mereka mempunyai agenda peribadi tertentu maka pemimpin lain yang tidak selari dengan mereka tentu saja akan diketepikan,” katanya.
Menurutnya, bagaimana sebuah parti baru boleh mendapat kepercayaan rakyat jika awal-awal lagi telah berlaku krisis kepimpinan, tambahan pula dengan kewujudan pemimpin tertentu yang dipercayai penganut fahaman Syiah.
“Ia menyebabkan makin sukar untuk Amanah diterima rakyat Kelantan yang berpegang kuat kepada ajaran agama.
"Sebab itu kita berharap pemimpin Amanah akan kembali mengikuti jalur Islam sebenar dan tidak membiarkan diri dipergunakan oleh golongan yang tidak menerima Islam seperti DAP,” katanya. (IH)
No comments:
Post a Comment