Monday, September 05, 2016

Masih Wujud, Orang Yang Baik Jujur Seperti Woralop Ini -Niity.

Hasil carian imej untuk Hidup berubah selepas pulangkan dompet
WORALOP kini merupakan salah seorang pekerja di kilang besi milik Niity.

NIITY PONGKRIANGYOS, 30, berjalan laju meninggalkan sebuah kedai di Bangkok, Thailand selepas selesai semua urusannya pada hari tersebut.
Usahawan itu sedikit pun tidak menyedari bahawa dompet jenama Hermes miliknya yang berat berisi wang tunai sejumlah 20,000 Baht (RM2,362) telah tercicir.
Woralop, 44, yang merupakan seorang gelandangan terlihat kejadian tersebut lalu bingkas bangun dari tempat dia sedang berbaring kerana mahu segera mengejar Niity untuk memulangkan dompetnya.
Biarpun hanya memiliki wang berjumlah 9 Baht (RM1.06) dalam poketnya pada ketika itu, tidak terdetik sedikit pun di hatinya untuk mengambil wang dan beberapa keping kad kredit dari dalam dompet tersebut.
Begitu pun, Niity begitu pantas hilang dari pandangan Warolap. Lelaki itu terus pergi ke sebuah balai polis berhampiran dan menyerahkan dompet tersebut kepada pegawai polis bertugas.
Tidak sedar
Pegawai tersebut kemudian menghubungi Niity dan memaklumkan bahawa beg duit berjenamanya telah tercicir dan ia kini berada bersama pihak polis.
Terkejut, lelaki muda itu memberitahu bahawa dia langsung tidak sedar dompetnya telah tercicir sehinggalah dihubungi polis.
Hasil carian imej untuk Hidup berubah selepas pulangkan dompet WORALOP (kiri) sewaktu memulangkan dompet milik Niity di sebuah balai polis di Bangkok, Thailand.

Saya terus bergegas ke balai polis tersebut dan setibanya di sana, saya memeriksa wang saya dan kad-kad kredit dan amat terkejut apabila mendapati bahawa tiada satu benda pun yang hilang” katanya.
Lelaki itu menambah, dia turut terkejut apabila mengetahui orang yang telah memulangkan dompet jenama Hermes miliknya itu merupakan seorang gelandangan.
“Selepas diberitahu tentang Woralop, saya tidak dapat menyembunyikan rasa terperanjat saya.
“Sejujurnya, sekiranya saya berada dalam situasi tersebut di mana saya merupakan seorang gelandangan yang langsung tidak mempunyai wang, sudah semestinya saya akan mengambil sahaja wang dan kad-kad kredit di dalamnya untuk kegunaan peribadi,” ujar Niity.
Ganjaran
Jumlah wang tersebut boleh digunakan Woralop untuk membeli bekalan makanan selama berbulan-bulan lamanya, namun lelaki jujur itu bertindak untuk memulangkan dompet itu kepada pemiliknya.
Tindakan itu nyata mengubah hidup lelaki bertubuh kurus itu. Mengagumi kejujuran Woralop, Niity menawarkan lelaki itu pekerjaan dengan gaji 11,000 Baht (RM1,297) di kilangnya yang terletak di Bangkok. Niity turut menghadiahkan sebuah rumah sewa yang cukup selesa untuk didiami gelandangan tersebut.
“Sebagai majikan, saya amat memerlukan insan jujur seperti Woralop untuk bekerja di kilang saya,” ujar Niity.
Woralop terlalu gembira setelah ditawarkan pekerjaan dan tidak menyangka dia diberi peluang kedua untuk mengubah hidupnya.
“Kini saya mempunyai katil yang bersih sebagai tempat tidur. Itu sahaja sudah amat menggembirakan saya,” kata Woralop yang mengakui amat berterima kasih dengan Niity yang begitu baik terhadapnya.
Nitty bersama teman wanitanya, Tarika menyifatkan bahawa mereka tidak menyangka orang yang baik dan jujur seperti Woralop masih wujud.
Mereka menambah, perbuatan baik sememangnya akan dibalas dengan kebaikan dan itulah apa yang mereka lakukan kepada Woralop. (Kosmo!)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails