Saturday, September 17, 2016

Rawatan Islam Darul Syifa. Pengalaman Bersama Haron Din - Zainal Rashid Ahmad

Pengalaman Berharga Mengenali Pak Haron Din

Oleh: Zainal Rashid Ahmad


PADA September 1994, saya diminta mewawancara Datuk Dr. Haron Din mengenai Rawatan Islam di Darul Syifa.

Pada masa itu, nama Dr. Haron Din sangat popular kerana khidmat rawatan Islam yang disediakan di klinik berdekatan rumahnya.
Banglo dua tingkat itu mendapat reaksi kunjungan luar biasa masyarakat.
Ratusan orang menanti sejak awal dinihari walaupun proses rawatan bermula selepas subuh.

Mereka yang mahukan kaedah rawatan Islam sebagai alternatif atau berjalan seiringan dengan rawatan klinikal moden itu, datang sejauh dari Singapura dan Brunei.
Setelah mengadakan temu janji, Pak Haron (nama mesra) meminta saya hadir pada hari Selasa selepas subuh.
Saya hadir dan berjaya mewancara beliau dalam waktu 30 minit yang sangat berharga itu.
Masa sangat terbatas pada subuh Selasa, kerana pada hari itu Pak Haron akan mengetuai sesi rawatan di Darul Syifa.
Sebelum subuh, pengunjung sudah memenuhi seluruh ruang banglo yang dijadikan kliniknya di Bangi.
Wawancara satu muka penuh itu kemudian disiarkan pada Ahad 2 Oktober dalam akhbar Mingguan Malaysia.
Bermula dengan wawancara itu, serta tips surah Thoha yang digunakan untuk mendidik anak-anak, pembaca memberi respon mahukan ruangan tetap Haron Din Menulis.
Sepanjang mengisi kolum tersebut, saya mengadakan banyak pertemuan dengan Pak Haron di rumahnya dan di pejabatnya. Ketika itu Pak Haron mengajar di UKM.
Setelah berbulan-bulan kolum itu tersiar, sambutan amat menarik. Pembaca nampaknya dahagakan tips penggunaan ayat-ayat Quran secara asas dalam menangani pelbagai unsur kehidupan berkaitan dengan rawatan cara Islam.
Pengalaman Berharga Mengenali Pak Haron Din

Keratan wawancara siaran Mingguan Malaysia 22 tahun lalu (2 Oktober 1994)

"TAHUN ini saya nak ke Mekah." Kata Pak Haron.

Jadi hari itu sesi pertemuan jadi agak lama kerana jumlah artikel perlu disediakan lebih banyak. Pak Haron akan berada lama di Makkah. Masa berlalu. Satu hari Pak Haron menelefon saya di opis: 

“Minta datang segera. Saya ada perkara penting nak selesaikan.”

Saya pun bergegas ke Bangi. Tiba di rumahnya, Pak Haron nampak berseri-seri dan tersenyum pada subuh itu. Saya duduk di sofa seperti selalu. Dia datang dan duduk di sofa berdepan dengan saya.

“Sepanjang berada di Makkah, saya tidak senang hati,” katanya.

Saya hanya mendiamkan diri. Kata-kata seorang yang hebat dan banyak ilmu mengenai keadaannya di Makkah membuatkan saya terkedu. Pak Haron mengeluarkan envelope dari saku baju Melayu dan menghulurkan kepada saya. 

Dia tersenyum: “Ini bahagian awak.”

Saya pegang envelope dan saya tahu di dalamnya jumlah wang yang banyak. Pak Haron tahu saya terkedu dan pasti kehairanan.

“Ini duit Utusan bayar kepada saya untuk kolum. Sebab saudara menulis balik apa yang saya cakap, hak saudara mendapat separuh,” kata Pak Haron.

Saya menjawab: “Kerja saya memang begini Pak Haron. Tak perlu bayar. Ini sebahagian tugasan saya.”

“Jangan tolak. Ambil. Saya tak aman di Makkah hinggalah datang kesedaran saya belum menunaikan hak saudara,” kata Pak Haron.

Saya terdiam. Perbualan kami seterusnya ialah mengenai bahan yang akan diisi dalam kolum untuk minggu seterusnya. Balik pejabat saya bertemu dengan Bos Nombor Dua di Utusan. Orangnya garang dan sangat terkenal dengan disiplin serta amanah kerja. 

Saya masuk bilik dan tutup pintu. Saya tanya kepada orang yang garang ini mengenai kedudukan wang yang diberikan.

“Bersyukurlah. Ambillah. Ini sedekah orang alim,” katanya.

Saya lega. Itulah momen paling berharga kerana ia mengajar saya mengenai hak orang lain. Seorang ulama dan ilmuan pun boleh menjadi tidak aman selagi tidak ditunaikan hak orang lain.

Selagi saya mengingati pengalaman ini, ia makin mengingatkan saya: “Hormati hak orang lain.”

Al-Fatihah untuk Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din. Anda sentiasa dalam ingatan saya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails