Monday, September 26, 2016

RUU 355 Pemangkin Transformasi Mahkamah Syariah -Presiden Persatuan Peguam Syarie .


tuan musa
TITAH Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan Parlimen ke-13, Penggal ke-4 pada tanggal 7 Mac 2016 lalu menggesa supaya memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah.

Persoalannya, bagaimanakah hendak memperkasakan kedudukan mahkamah syariah sekiranya ia masih di bawah belenggu bidangkuasa yang kecil dan minimum? Bidangkuasa jenayah mahkamah syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman maksimum denda RM5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan (syariah) tidak melebihi 6 kali sebatan.

Apakah yang menjadi rantai yang mengikat mahkamah syariah daripada memperkasakan bidangkuasanya? Jawapannya ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355. Akta inilah yang menjadi tali kekang kepada mahkamah syariah selama lebih tiga dekad untuk dipacu lebih jauh, dan menghadkan mahkamah syariah dalam bidangkuasa yang masih di takuk lama.

Dengan cadangan pindaan kepada Akta 355 (RUU355), ia bukan sahaja memberi peningkatan kepada bidangkuasa jenayah di mahkamah syariah, tetapi pada masa yang sama kelompangan-kelompangan yang terdapat dalam pentadbiran perundangan mahkamah syariah dapat diisi dari semasa ke semasa.

Mempertingkatkan bidangkuasa mahkamah syariah bermakna akan mempertingkatkan hierarki mahkamah syariah yang ada hari ini yang hanya ada tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, berbanding mahkamah sivil ada lima peringkat, iaitu masing-masing Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Cadangan mempertingkatkan bidangkuasa mahkamah syariah melalui RUU355 berkenaan akan membantu mempertingkatkan taraf perjawatan hakim mahkamah syariah dan pegawai-pegawainya yang masih jauh ketinggalan berbanding dengan perjawatan di mahkamah sivil.


Hakim-hakim mahkamah syariah hari ini di bawah skim perkhidmatan gunasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), atau di bawah penjawat awam negeri bagi negeri yang tidak menyertai skim gunasama berkenaan, dan jaminan perjawatan hakim mahkamah syariah tertakluk kepada prosedur perkhidmatan awam.

Berbeza dengan pelantikan hakim mahkamah sivil, dilantik di bawah suatu akta peringkat persekutuan iaitu Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) dan jaminan perjawatan hakim mahkamah sivil tertakluk di bawah Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45). Bukanlah suatu yang mustahil suatu masa nanti hakim-hakim mahkamah syariah juga boleh dilantik mengikut suatu akta peringkat persekutuan dan mempunyai tingkatan gaji dan saraan sama seperti di mahkamah sivil.

Apabila cadangan RUU355 berkenaan diluluskan oleh Parlimen, maka sudah pasti akan berlaku peningkatan jumlah pendaftaran kes-kes jenayah syariah akan bertambah, memandangkan kadar hukuman yang telah dipertingkatkan. Maka, secara tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada perkembangan institusi penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah di negara ini.

Bilangan tenaga dan perjawatan di kalangan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) yang lebih cekap dan efisien akan berlaku pertambahan dari semasa ke semasa, sesuai dengan nisbah pertambahan penduduk Melayu beragama Islam, terutama di negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk termasuk warga negara asing yang beragama Islam.

Dari sudut perlakuan jenayah syariah yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam, walaupun pelaku bukan Islam tidak akan dikenakan dakwaan mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah, akan tetapi, pelaku di kalangan orang Islam yang berhasrat melakukan kesalahan jenayah syariah dengan bukan Islam sudah tentu akan berfikir dua atau tiga kali sebelum melakukan jenayah, lantaran kadar hukuman yang telah dipertingkatkan berbanding kadar hukuman yang sedia ada hari ini.

Sebagai seorang peguam syarie, usul pindaan RUU355 ini adalah suatu lonjakan yang akan turut memperkasakan bidang profesional peguam syarie. Dengan had hukuman denda bagi kesalahan jenayah syariah yang tidak melebihi RM5000.00, pelaku jenayah syariah lebih rela membayar denda yang rendah berbanding melantik peguam syarie untuk membela dirinya, walau pun bukti menunjukkan dia tidak bersalah.

Mereka sanggup mengaku bersalah disebabkan bersedia membayar denda yang sedikit, bukan kerana mereka betul-betul bersalah. Maka prinsip mencari keadilan sebenar yang diajar oleh Islam tidak dapat dimanifestasikan dan prinsip perundangan jenayah syariah yang pernah dibahaskan oleh para ulama terdahulu menjadi terbantut perkembangannya.

Usul pindaan RUU355 sudah pasti tidak akan menjadi tongkat sakti atau magik yang akan dapat menyelesaikan segala masalah dan kelompangan sedia ada dalam sekelip mata, tetapi setidak-tidaknya ia akan menjadi pemangkin kepada memperkukuhkan institusi mahkamah syariah, agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam di negara ini.

Secara peribadi, saya berpandangan bahawa pihak-pihak yang tidak menyokong RUU355 ini sebenarnya tidak mahu atau khuatir melihat institusi mahkamah syariah dan institusi lain disekitarnya, diperkasakan. Jika anda tidak berfikiran sedemikian, kenapa anda tidak menyokong RUU355 ini, sedangkan usul tersebut bukanlah suatu perkara yang buruk atau merosakkan atau membawa bencana kepada masyarakat Islam.

Tuan Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

1 comment:

Anonymous said...

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah - hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azab-Nya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang telah kamu lakukan). Oleh itu, jika mereka berpaling engkar, maka Kami Tidak Mengutusmu (Wahai Muhammad) Sebagai Pengawas terhadap mereka; TUGASMU TIDAK LAIN HANYALAH MENYAMPAIKAN (Apa Yang DiPerintahkan Kepadamu).
- Surah Asy-Syura 42: 47-48

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails