TEL AVIV – Meskipun sering berbeza pendapat, ada satu perkara yang mendapat respons sama daripada masyarakat Islam dan Yahudi, iaitu isu larangan memakai burkini (pakaian menutup aurat) di pantai Perancis.
Ia susulan Mahkamah Tinggi Perancis pada 26 Ogos lalu tidak meluluskan perintah larangan terhadap pakaian mandi yang menutup seluruh tubuh wanita beragama Islam oleh beberapa bandar di negara Eropah tersebut.
Tindakan datuk bandar di beberapa daerah yang mempunyai pantai menegaskan bahawa mereka tidak akan mematuhi arahan tersebut turut dikecam pelbagai badan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Dasar pelik tersebut menarik perhatian ramai dengan sebahagiannya menyokong meskipun ia turut mencetuskan kemarahan dan ejekan oleh masyarakat antarabangsa khasnya negara jiran, Britain yang jauh lebih terbuka.
Malah, usaha pengharaman burkini di Perancis menarik perhatian kepada ironi konon sebuah negara liberal tetapi mencabar ajaran agama Islam dengan menentukan apa yang tidak boleh dipakai kaum wanita penganutnya pula.
Di Israel, mungkin wujud perbezaan ideologi dan politik ketara antara penduduk Yahudi dengan hampir 20 peratus masyarakat Islam di sana, namun pakaian yang melambangkan keagamaan seseorang tidak pernah menjadi isu.
“Agak pelik memandangkan Perancis berpegang kepada liberalisme dan bersikap terbuka namun tidak boleh bersikap sedemikian terhadap agama lain dan perasaan orang lain,” kata seorang wanita Israel, Ruti Solomon.
Dia yang sedang menikmati cuaca nyaman di pantai di ibu kota Tel Aviv ketika diwawancara oleh agensi berita antarabangsa Reuters turut menyerlahkan sifat toleran terhadap Muslimah berbukini sebagai bukan isu baharu.
Secara kebetulan, tidak jauh di belakang Ruti, seorang wanita Muslim yang bertutup lengkap di balik pakaian renang burkini kelihatan sedang seronok bermain air serta beristirahat di tepi pantai dengan ahli keluarganya sendiri.
“Saya pernah dengar tentang apa yang belaku di Eropah,” kata Shams al-Duha Alayyan, seorang wanita muda Muslim yang berasal dari Baitulmaqdis, dan berpakaian menutup aurat ketika mengunjungi pantai Israel.
“Ini adalah hak kebebasan peribadi. Jika saya mahu menutup tubuh saya, mengapa tidak boleh?” tambah beliau lagi. Meskipun begitu, warga majmuk Israel masih mempunyai keunikan tersendiri berbanding di negara lain.
Penduduk Yahudi ultra-ortodoks boleh menikmati keindahan pantai seperti orang lain, namun mereka bukan sahaja memastikan kaum lelaki dan wanita berada di pantai yang berasingan, malah silih berganti hari untuk berenang.
Anat Yahav, Ketua Eksekutif SunWay UV Clothing, sebuah syarikat Israel yang membekalkan pakaian renang gaya sopan bagi kaum Yahudi dan umat Islam di Israel selain di serata dunia menceritakan perbezaan pakaian tersebut.
Kaum wanita Muslim lazimnya selesa memilih untuk memakai pakaian renang yang menutup bahagian kepala, manakala wanita Yahudi pula memilih pakaian yang serupa namun tanpa menutup bahagian kepala, kata beliau.
Tidak kira pakaian yang bagaimana dipilih wanita Muslim dan Yahudi, perniagaan beliau begitu laris bahkan Anat tidak memahami mengapa Perancis perlu memperbesarkan perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu besar pun.
“Apabila saya lihat apa yang sedang berlaku di Perancis, saya rasa kami di Israel masih waras,” tambah beliau dengan gelak ketawa sambil merujuk perdebatan pemakaian burkini di negara Eropah itu sejak awal tahun ini.
Pemerintah Perancis pada mulanya melarang burkini susulan beberapa insiden serangan berdarah oleh kumpulan militan Daesh yang membuat penduduk di negara tersebut berasa tidak senang dengan komuniti Muslim tempatan.
Meskipun pengunjung di pantai Israel menyokong pentingnya tahap keselamatan diperketatkan pihak berkuasa, mereka juga memberi amaran jika Perancis tersilap sasaran hanya kerana burkini dianggap busana pengganas.
“Di Perancis, ia adalah satu masalah besar sekarang,” kata Shiran Rokban, salah seorang pengunjung pantai di Tel Aviv yang kurang bersetuju dengan kempen larangan pemakaian burkini sebagai sesuatu yang agak keterlaluan.
Beliau secara sinis menambah: “Mereka (Perancis) perlu menangani perkara yang betul, bukan setakat dengan melarang burkini atau apa-apa yang ada kaitan dengan suasana pantai.” – Agensi
1 comment:
Di Malaysia kita ada walaunta...
Post a Comment