JAKARTA – Seorang lelaki Indonesia yang ditangkap kerana menggodam sebuah papan iklan elektronik dan menyiarkan filem lucah semasa waktu puncak di Jakarta kini berdepan hukuman penjara sehingga enam tahun, kata polis semalam.
Filem porno Jepun itu disiarkan selama 10 minit di skrin iklan itu di sebuah persimpangan utama di Jakarta pada Jumaat lalu. Ramai pengguna jalan raya terkejut dengan kejadian itu dan tidak kurang pula yang menganggapnya sebagai lucu.
Sebahagian mereka sempat merakam aksi panas tersebut dan memuat naiknya di media sosial sebelum bekalan elektrik ke papan iklan itu dipotong.
Polis dan pakar-pakar jenayah siber melancarkan siasatan untuk memburu penggodam tersebut dan menangkap seorang penganalisis teknologi maklumat berumur 24 tahun di pejabatnya kelmarin.
Ketua Polis Jakarta, Mochamad Iriawan berkata, lelaki yang ditangkap dan tidak didedahkan identitinya itu mengaku bertanggungjawab melakukan jenayah itu.
“Dia melakukan ‘jenaka’ ini selepas melihat maklumat log masuk yang dipaparkan di papan iklan tersebut.
“Suspek mendakwa dia melakukan semua ini bersendirian,” kata Mochamad kepada wartawan.
“Namun, kami masih menyiasat sama ada suspek melakukan jenayah ini bersendirian atau sama ada dia mempunyai motif tertentu atau sama ada dia cuba berjenaka,” tambahnya. – AFP
No comments:
Post a Comment