Antara individu terbaharu dalam deretan wanita yang mendakwa Trump memiliki tingkah laku pemangsa seksual.
WASHINGTON – Dua wanita termasuk seorang peserta program realiti The Apprentice yang dihoskan oleh Donald Trump kelmarin tampil dengan mendakwa calon Republikan itu pernah melakukan serangan seksual.
Mereka antara individu terbaharu dalam deretan wanita yang mendakwa Trump memiliki tingkah laku pemangsa seksual.
Summer Zervos yang merupakan seorang peserta musim kelima rancangan televisyen itu berkata, selepas Trump bertindak memecatnya daripada program berkenaan, dia masih berhubung kerana melihatnya sebagai seorang mentor.
Pada tahun 2007, Trump mengatur pertemuan dengan Zervos di Hotel Beverly Hills untuk makan malam selain berbincang mengenai pekerjaan.
Sebaliknya, sebaik dia muncul, Zervos telah dibawa ke sebuah banglo milik jutawan berkenaan menyebabkan beliau mula mencium dan menyentuhnya.
“Beliau mula mencium saya dengan agresif dan meletakkan tangannya pada payudara saya. Beliau kemudian memeluk dan saya cuba menolaknya.
“Saya menolak dadanya supaya terdapat ruang antara kami dan saya berkata, cuba menjadi lelaki sebenar,” katanya dalam satu sidang akhbar di Los Angeles.
Menurut Zervos, dia membuat keputusan untuk mendedahkan perkara itu selepas Trump menafikan perkara berkenaan dalam satu perdebatan baru-baru.
Dalam perkembangan sama, seorang bekas model, Kristin Anderson memberitahu akhbar The Post bahawa Trump pernah merabanya di sebuah kelab malam pada awal tahun 1990.
Trump dalam reaksinya menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan beliau menjadi mangsa kepada kempen kotor yang dicipta oleh media dan ahli politik ternama.
“Tipu, tipu, tipu... saya tidak tahu siapa wanita itu. Cerita-cerita tersebut rekaan semata-mata,” katanya kepada penyokong dalam siri kempen di Greensboro, Carolina Utara kelmarin. – AFP
No comments:
Post a Comment