Friday, November 18, 2016

Amy Search Naik Vespa?


TAHUN 2017 Amy menyifatkan tahun 2017 sebagai ‘tahun sibuk’ kerana beberapa projek besar seperti album, buku biografi dan galeri miliknya akan dilancarkan

HALAMAN HIBURAN  

PELANTIKAN duta bagi sesebuah produk sering kali dikaitkan dengan pemilihan golongan selebriti yang kukuh pengaruh dalam kalangan peminat.
Seperti jambatan yang bersifat menghubungkan, golongan tersebut juga dianggap sebagai perantara yang mampu mempromosikan produk secara terus kepada khalayak, sekali gus meningkatkan kuasa pembeli dalam arena pemasaran.
Bagi vokalis rock tersohor, Amy Search, melaksanakan tanggungjawab sebagai suara mewakili sesebuah produk tidak hanya tertakluk kepada proses jual beli atau kempen promosi.
Sebaliknya, seseorang artis perlulah diisi dengan pengetahuan dan informasi mengenai sesuatu produk dan pada masa sama bijak mengolah dan mengadaptasinya ke dalam rutin harian.
“Bergelar duta memerlukan seseorang artis itu mengenali produk yang diwakilinya dengan lebih dekat.
“Ia bukan sahaja akan kelihatan lebih realistik tetapi mampu memberikan impak yang besar kepada khalayak,” katanya.
Pernah bergelar duta untuk kenderaan pikap LMG Trekker dan wajah bagi kempen jenama seluar jean Levi’s, We Are Original untuk edisi Malaysia, penyanyi yang dahulunya popular dengan gayaan fesyen eksentrik itu mengaku tidak terlalu cerewet dalam menilai lamaran yang menginginkannya menggalas tugas sebagai duta.
Penyanyi berusia 58 tahun itu bagaimanapun bertegas, biarlah jenama yang ingin diwakili benar-benar bersesuaian dengan stail dan kariernya sebagai seorang penghibur.
“Saya tidak kisah bergelar duta untuk sebarang produk asalkan kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kolaborasi tersebut,” katanya yang turut menyumbangkan suara bagi kempen promosi telefon bimbit Samsung siri J baru-baru ini.
Vespa
Selari dengan sifat keterbukaannya itu, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman kini dilantik sebagai duta jenama skuter popular buatan Itali, Vespa.
Berkongsi lanjut mengenai pelantikan tersebut Amy berkata, beliau sememangnya meminati jenama skuter yang cukup popular dalam kalangan orang muda.
Tutur beliau, selain rekaan yang malar segar dan klasik, jenama tersebut juga mengingatkannya kepada skuter Vespa pertama yang pernah ditunggang suatu ketika dahulu sebelum bergelar penyanyi.
“Sebelum menceburkan diri dalam industri seni, saya pernah memiliki beberapa buah motosikal dan salah satu daripadanya adalah skuter jenama Vespa.
“Jadi, apabila ditawarkan untuk bergelar duta bagi motosikal jenis ini, saya terus menerima tawaran tersebut tanpa berfikir panjang,” kongsi Amy.
Sungguhpun secara luarannya, vokalis kumpulan rock legenda, Search itu terkenal dengan imej rock yang begitu tekal, namun kecintaan Amy terhadap jenama yang membawa maksud penyengat dalam bahasa Itali tersebut telah melarutkan skeptikal khalayak terhadap perwatakan sebenar beliau.
“Bagi saya, Vespa merupakan jenama skuter vintaj yang masih relevan untuk ditunggang pelbagai lapisan masyarakat. Tidak kira remaja mahupun orang dewasa, skuter ini masih digilai kerana nilai ikonik yang ada pada rekaannya.
“Tambahan pula, saya tidak suka menunggang kenderaan secara laju. Jadi, Vespa merupakan tunggangan yang paling sesuai untuk saya buat masa ini,” katanya.
Sempena pelantikan tersebut, pelantun lagu Kerja Gila itu menerima sebuah skuter keluaran khas model PX150 berwarna biru firus. Model yang turut hadir bersama beg silang kulit berona coklat gelap tersebut merupakan keluaran edisi terhad bagi meraikan sambutan ulang tahun Vespa ke-70 pada tahun ini.
Selain model khas yang hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit dengan 36 unit dijual di Malaysia, Amy turut dijadualkan menerima sebuah lagi skuter jenama Vespa bersempena dengan pelantikan tersebut dalam masa terdekat.
Berkongsi mengenai perancangan yang bakal dijalankan menerusi kontrak setahun sebagai duta, Amy berkata, jenama Vespa bakal dijadikan sebagai pelengkap bagi setiap acara yang bakal dijayakan kelak.
“Bersesuaian dengan rekaannya yang klasik, saya mengimpikan sebuah acara piknik ala vintaj yang diadakan di sebuah padang terbuka bersama beberapa model Vespa.
“Mungkin pelancaran album baharu saya nanti boleh diadakan mengikut konsep tersebut. Ia barangkali jarang dibuat orang tetapi sangat menarik untuk direalisasikan,” katanya. (Suntingan dari Kosmo!)

1 comment:

  1. Nak promo jap....kepada semua yang berkesempatan dan teringin mencuba masakan western, sila kunjung ke restoran Amy Search di Subang Bestari. Restoran yang diberi nama "Wood and Steel". Pengunjung boleh lihat dan rasa sendiri samada restoran itu halal atau tidak. Jual arak tu haram kan?

    ReplyDelete