KUALA LUMPUR – Ancaman liberalisme dan ekstremisme antara cabaran yang UMNO perlu menangani bagi mengekalkan kekuatannya, kata Naib Presiden parti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO berkata parti itu menghadapi cabaran mendepani politik negara, liberalisme dan pentafsiran demokrasi, penentuan UMNO terus relevan, kesatuan memperkukuh parti, pengislahan radikalisme dan extremisme, kepedulian sosial, kesejagatan ummah dan penanganan digitalisasi.
Beliau berkata kejayaan negara bukan sahaja dicemburui pihak luar tetapi juga dari dalam kerana sedar hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia yang maju, aman dan sejahtera yang diketuai kepimpinanan Islam serta bergandingan dengan bangsa terdiri daripada pelbagai agama.
“Keadaan ini ternyata telah mencetuskan rasa kecemburuan sehingga mereka merencanakan pelbagai asakan terhadap pemimpin parti dan kerajaan. Mereka tidak akan puas selagi tidak melihat negara ini menjadi huru-hara, tersungkur dan rakyat menderita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan bertajuk ‘Dasawarsa Politik Mencabar’ semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pembangkang menggula-gulakan rakyat dengan propaganda bahawa negara ini akan bankrap serta pelbagai lagi dakwaan dan cerita-cerita palsu yang digembar-gemburkan.
“Sesungguhnya, kita seharusnya merasa risau dan gayat apabila melihat perubahan seperti ini yang berlaku kepada masyarakat kita. Perubahan yang bukan sahaja melibatkan perubahan strata sosial malah lebih membimbangkan kita ialah perubahan dari segi pola dan kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada timbulnya budaya politik kebencian,” katanya.
Ahmad Zahid berkata anggota UMNO dan rakyat keseluruhan juga tidak seharusnya mudah termakan dengan fahaman liberalisme yang semakin menghampiri dan mendekati negara ini.
Beliau berkata mereka perlu sentiasa jelas bahawa demokrasi bagi negara ini adalah suatu kebebasan yang beralaskan perlembagaan serta bersulamkan undang-undang.
“Maka, saya seru kepada semua sayap-sayap UMNO untuk bersama-sama berdiri teguh bersama presiden dan saya untuk terus memperbetulkan keadaan ini. Kita tolak Open Society yang membiayai negara-negara yang dihasratkan untuk dikuasai demi kepentingan pembiayanya,” katanya.
Beliau juga berkata pengislahan radikalisme dan ekstremisme perlu dilakukan bagi menangani semua elemen aliran negatif yang boleh menggugat keamanan negara.
Ahmad Zahid mengingatkan cabaran dalam mengekalkan kuasa yang dimiliki UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana dikhuatiri ramai pemimpin akan terbuai alpa sedangkan ‘rumah agam’ yang diduduki pada masa ini sedang berada di ambang cukup kritikal.
Beliau berkata 198 daripada 222 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-11 merosot kepada 140 kerusi pada 2008 dan menurun kepada 134 kerusi pada 2013 sebelum tinggal 132 kerusi pada masa ini selepas Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) meninggalkan parti itu.
“Bagi rakan-rakan BN janganlah bergundah-gulana dengan semangat kesetiakawanan UMNO. Marilah kita bertekad untuk bersama-sama berjuang dan mempertahankan BN dalam menghadapi PRU14 akan datang,” katanya.
Dalam ucapan yang turut diselang seli dengan petikan ayat al-Quran itu, Ahmad Zahid juga menekankan kepentingan penyelesaian masalah kos sara hidup yang menghimpit masyarakat khususnya di kawasan bandar.
Beliau bimbang jika permasalahan itu tidak didepani dengan baik, ramai akan berjauh hati dengan kerajaan dan seterusnya boleh berubah menjadi ‘pembunuh senyap’ terhadap kerajaan.
“Oleh itu, dalam usaha merungkai permasalahan ini, kita sebagai parti yang menunjangi kerajaan, perlu sentiasa berusaha bagi memperjelaskan kepada rakyat bahawa agenda utama kerajaan begitu jelas dan berstruktur rapi dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini termasuk kehidupan rakyat di bandar,” katanya.
Ahmad Zahid meminta anggota sayap UMNO supaya bijak menguasai ruang siber dalam menangkis pelbagai fitnah, tohmahan, kritikan dan serangan daripada pihak seteru politik UMNO.
Katanya angkatan ‘cybertrooper’ atau ‘tentera siber’ perlu bersatu dalam menyusun strategi menentang musuh dan bukannya sering berbalah sesama sendiri.
Malah, beliau mendedahkan terdapat dalam kalangan mereka yang terjebak dengan agenda mempromosikan saudagar politik yang menjenamakan tokoh-tokoh tertentu, katanya. – BERNAMA
1 comment:
Yg dpn mata bertapok tak nampak ka Datuk.
Pemimpin yg Rasuah..
Pemimpin yg penipu..
Pemimpin yg perompak...
Pemimpin yg pembunuh...
Pemimpin yg ganster..
Itu patut didahulukan...dan menjadi cabaran utama
Post a Comment