Tuesday, November 29, 2016

Penghapusan Bangsa, Suu Kyi Patut Diseret Ke Pengadilan.



RAKHINE: Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi patut diheret ke muka pengadilan atas kesalahan menghalalkan penghapusan bangsa etnik Islam Rohingya di negeri Rakhine.
Pendakwaan terhadapnya perlu dibuat sebagaimana kekejaman oleh pemimpin Khmer Rouge sewaktu rejim Pol Pot antara tahun 1975 sehingga 1979 dan ketua tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic yang melancarkan perang pembersihan etnik Bosnia semasa perang 1992-1995.

Pengasas Pertubuhan Dictator Watch, Roland Watson yang dipetik oleh Arakan News Agency berkata, Suu Kyi perlu dipertanggungjawabkan kerana mengetuai pembunuhan Rohingya serta menanam sentimen dalam kalangan rakyat negara ini bahawa etnik Islam itu perlu dihapuskan.

Katanya, asas ideologi rejim Myanmar yang bersifat perkauman dan memperlihatkan penduduk Buddha diletak pada pe­ringkat paling tinggi masyarakat, membenarkan etnik minoriti lain diperlakukan sesuka hati dengan apa cara sekalipun.

“Bagi pembunuhan beramai-ramai, pihak berkuasa telah menghasut serta menggalakkan etnik Rohingya dihapuskan dan membuka jalan kepada serangan ke atas komuniti itu,” katanya.

Pada masa sama kata Watson, satu siasatan oleh pakar perundangan dari International State Crime Initiative di Universiti Queen Mary London merumuskan bahawa etnik Rohingya menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai dan Suu Kyi meningkatkan lagi penyeksaan me­reka.

Laporan siasatan itu menyatakan, Suu Kyi membisu tentang perkara itu sebaliknya menggunakan taktik penafian dan melarang sepenuhnya pemantauan antarabangsa, mengehadkan bantuan kemanusiaan selain menyenarai hitam dan mengusir aktivis hak asasi manusia dari Myanmar.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John McKissick pula berkata, tindakan Suu Kyi yang berdiam diri menguatkan cengkaman kuku besi tentera dan pengikutnya yang bersifat perkauman.

Ketika Myanmar mendapat desakan negara ASEAN untuk bertanggungjawab atas kekejaman Rohingya, Suu Kyi dilapor menangguhkan kunjungan ke Indonesia yang sepatutnya dibuat Rabu hingga Ahad ini.

Pegawainya, Aye Aye Soe tidak menyebut alasan keselamatan sebagai punca lawatan kerja itu dibatalkan, namun memetik tentang kekacauan di Rakhine dan negeri Shan sebagai faktor utama.

“Kunjungan ke Indonesia akan ditangguh ke satu masa yang akan diumumkan kelak,” katanya.

– AGENSI

No comments:

Post a Comment