Tuesday, November 29, 2016

Sepakat RUU 355?


Hasil carian imej untuk Sepakat RUU 355?
BERIKUTAN isu pembentangan usul Rang Undang-undang (RUU) 355 baru-baru ini, banyak pihak telah menunjukkan penolakan dan pertentangan mereka terhadap usul tersebut.
Secara jelasnya, kebanyakan mereka dalam kalangan Ahli Parlimen (MP) bukan Islam sendiri seperti MCA, DAP dan AMANAH. Walaupun tidak dinafikan terdapat juga segelintir MP Melayu yang menolak.
Soalnya, mengapa perkara ini berlaku, sedangkan RUU 355 hanya dikhaskan hukumannya kepada masyarakat yang beragama Islam?
Hakikatnya, masih ramai dalam kalangan MP dan rakyat sendiri yang tidak memahami dengan jelas mengenai RUU 355 ini dan mereka sengaja mempergunakan isu ini bagi menyekat Islam terus berkembang di Malaysia.
Secara literalnya, menurut Timbalan Presiden Isma, Tuan Haji Aminuddin, “RUU 355 merupakan sebuah Akta Mahkamah Syariah bahagian Jenayah yang mana, ianya mengkhususkan kepada hal-hal yang berkaitan qazaf, zina, minum arak dan murtad.
“Ditegaskan bahawa ianya bukanlah berkaitan dengan hukum nikah cerai, hadhanah dan sebagainya yang sering disalah fahami oleh masyarakat kita hari ini. Bukan juga hukum hudud yang digembar-gemburkan oleh media massa.”
Justeru, ianya bukanlah suatu hal yang perlu ditakuti oleh orang bukan Islam malah ianya merupakan satu tuntutan yang wajar dibuat bagi memartabatkan Islam di negara ini.
Jika kita soroti pindaan RUU 355 yang telah dibuat 32 tahun lepas pada tahun 1984 menunjukkan, banyak kekurangan dan kelompongan yang berlaku dalam hukum kanun jenayah syariah.
Sebagai contoh, hari ini, statistik pembuangan bayi, murtad dan sebagainya berlaku semakin menular dalam masyarakat Melayu. Berdasarkan hukum yang sedia ada, kita melihat, kurangnya perlaksanaan dan hukuman itu sendiri terhadap sesuatu kes yang berlaku.
Apa yang kita bimbangkan, apabila isu ini terus menerus ditentang oleh bukan Islam, ianya akan menjejaskan ketinggian maruah agama kita sendiri.
Salah satu, faktor penting yang mengangkat akta ini untuk dibentangkan adalah bagi menjadikan akta-akta jenayah syariah diperakui dalam undang-undang persekutuan. Ianya supaya, sesuatu kes yang berkait dengan jenayah syariah tidaklah hanya terhad kepada kuasa di bawah negeri semata-mata.
Walaupun hakikatnya, menurut Datuk Zainul Rijal, Presiden Peguam Muslim Malaysia (PPMM), “RUU 355 yang diusulkan oleh MP Marang ini masih lagi belum mencapai peringkat bacaan pertama. Ianya masih lagi pada usul yang belum menerima apa-apa perbahasan dalam Parlimen.
“Jadi, penangguhnya adalah sesuatu yang wajar dan perjalanannya untuk dapat dilaksanakan amatlah panjang prosesnya.”
Tuntasnya, RUU 355 sememangnya merupakan akta yang wajar dan wajib disokong oleh masyarakat Islam dan bukanlah isu politik yang sengaja dibuat.
Sebagai umat Islam yang mencintai agamanya, hendaklah menyatakan sokongan yang padu terhadap usul RUU 355 ini bagi menjamin kemaslahatan umat Islam sejagat.
 Jika tidak mahu berbicara soal bangsa, apa yang kita bicarakan ini adalah soal agama Islam dan kedaulatan Islam di bumi Malaysia tercinta.
Sama-sama kita fikirkan, jika pada peringkat seawal ini, umat Islam sendiri tidak bersatu untuk bersepakat menyokong usul pindaan ini, bagaimana hukum-hukum Islam yang wajib dijalankan oleh sebuah negara Islam itu dapat dicapai?
Nurul Hajjar Attan
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails