Tuesday, November 29, 2016

Siti Rahmah Tekad Buru Kejuaraan Dunia Kali Ke3.


Siti Rahmah (kiri) berazam untuk merangkul pingat emas buat kali ketiga berturut-turut pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali yang bermula 4 Disember ini. – Gambar hiasan


SUKAN
PESILAT negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir tidak menganggap cabaran pasukan tuan rumah, Indonesia menjadi penghalang buatnya untuk melengkapkan kemenangan hatrik pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali bermula pada 4 hingga 9 Disember ini.
Pesilat berusia 28 tahun itu menjadi sasaran utama apabila merangkul pingat emas dua kali berturut-turut pada kejohanan dunia di Chiang Rai pada 2012 dan Phuket, Thailand (2015).
Meskipun pernah berjumpa dengan wakil Indonesia sebelum ini, Siti Rahmah tidak pernah memikirkan soal lawannya malah hanya memikirkan soal maruah negara pada temasya berprestij di Asia Tenggara itu.
Katanya, selaku bekas juara, dia kini menjadi sasaran utama untuk ditumpaskan oleh pihak lawan namun dengan semangat serta latihan yang diberikan sudah cukup untuk menepis segala bentuk cabaran pada temasya itu nanti.
“Tekanan tentu ada namun itu tidak menjadi persoalan kepada saya. Apa yang penting adalah kekal fokus terhadap lawan. Selagi saya mewakili Malaysia, selagi itulah saya akan tetap berlawan sehingga tamat perlawanan.
“Meskipun menjadi sasaran utama untuk ditumpaskan, saya yakin dengan bimbingan jurulatih mampu menjadi senjata terakhir untuk melengkapkan kemenangan kejuaraan dunia buat kali ketiga,” kata Siti Rahmah yang kini sedang berlatih di Indonesia.
Dalam pada itu, pemegang pingat emas Sukan SEA 2015 ini juga menjelaskan dia tidak akan memandang rendah keupayaan mana-mana pesilat kerana setiap negara membawa atlet terbaik mereka.
“Saya tahu setiap kejohanan mereka pasti akan membawa atlet terbaik. Sudah pasti kejuaraan ter­sebut bukan mudah kerana saya semakin menjadi tumpuan pasukan lawan.
“Namun, ancaman utama pada perlawanan tersebut sudah pasti Vietnam yang dilihat mahu menebus maruah ketika saya menjulang pingat emas pada Sukan SEA di Singapura tahun lalu,” jelas Siti Rahmah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails