Tuesday, December 06, 2016

Beri Rasuah Pada Polis.. Ini Hukum Dalam Islam.


Hairulnizam (tengah) dibawa oleh pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Kompleks Mahkamah Ayer Keroh semalam.

MELAKA – Seorang bekas juruteknik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) Melaka dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah memberi suapan RM500 kepada pegawai polis berpangkat Inspektor pada Ogos lalu.

Hakim Mohd. Nasir Nordin mengarahkan tertuduh, Hairulnizam Abdul Hamid, 44, dihukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Hukuman penjara itu diarahkan berjalan semalam dan tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Hairulnizam yang kini me­nganggur didakwa memberi suapan RM500 kepada Inspektor Mudzaffar Shah Zulkefli di tingkat dua sebuah premis kedai, No 41-1 Jalan SP 1, Taman Semabok Perdana di sini pada pukul 6.45 petang, 23 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa memberikan suapan itu sebagai dorongan supaya dia tidak mengambil tindakan atas kesalahan bermain judi dalam talian di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sabit kesalahan, bapa dua anak itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mohd. Nasir dalam penghakimannya berkata, perbuatan memberi dan menerima rasuah merupakan kesalahan serius dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimana Takrif Dan Hukum Rasuah?


Dalil Al-Quran Mengenai Rasuah.

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

  • "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." Al-Baqarah: 188 

Dalil dari hadis Nabi SAW tentang rasuah :
Dari Ai'syah r.a., katanya: 

  • "Rasulullah S.A.W. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."  HR al-Bazzar & Abu Ya'la.
Di dalam sebuah hadis lain: 

  • Dari Thauban katanya, "Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya," (HR Ahmad & Hakim).
Rasulullah s.a.w. pernah mengutus Abdullah bin Rawahah ke tempat Yahudi untuk menentukan jumlah cukai yang mesti dibayar. Kemudian mereka menyogok sejumlah wang kepadanya. Lalu Abdullah berkata kepada orang-orang Yahudi itu: 

  • "Wang suap yang kamu sogokkan kepadaku itu adalah haram. Oleh itu kami tidak akan menerimanya." (HR Malik)
Takrif rasuah:

"Iaitu sesuatu yang disogokkan kepada penzalim kepada penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya, atau untuk menghilangkan hak dari yang empunya samada atas motif dendam atau penipuan dengannya, dan untuk mendapatkan satu kedudukan yang tidak sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakkan." (Lihat al-Feqhul Wadhih, vol 2, Dr. Muhmad Bakr Ismail, hal.610)

"Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." (Lihat al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof al-Qardhawi)


Begitulah huraian dan penjelasan yang menyentuh tentang perihal rasuah yang diharamkan oleh Islam, dan lebih jelas dari itu Rasulullah S.A.W. dalam hadis sahih menyebut yang bermaksud: "Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka."

Panduan dari ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dari Malaysia tentang perbezaan rasuah dan hadiah:

1. Adanya perbezaan antara rasuah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian samada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwitiyyah ditakrifkan, “apa yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. (lihat:, 22/220)

Adapun hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan. Al-Imam al-Mawardi merumuskan “rasuah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan”. Ertinya, pemberi rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang dia tidak dapat memperolehinya tanpa sogokan tersebut. 

Dengan pemberian tersebut menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya; samada dihilangkan, atau dikurang, atau dilambat atau akan ada pihak yang dikenakan suatu tindakan yang tidak adil. Maka, rasuah merupakan pemberian bersyarat, sementara hadiah bukan pemberian bersyarat dan tidak menyebabkan kezaliman kepada pihak lain. Rasuah dikeji oleh Islam, sementara hadiah digalakkan.

2. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka orang yang paling dapat mengesan sesuatu pemberian itu rasuah atau hadiah ialah pemberi itu sendiri. Hanya dia yang tahu bagi setiap pemberian yang dihulurkan. Adakah dia mengharapkan sesuatu pada masa tersebut, atau pada masa hadapan dari pihak yang diberikan, sedangkan apa yang harapkan itu dia tidak layak memperolehinya sedemikian rupa?

Selepas itu, pihak yang mengambil juga amat mengetahui bahawa pemberian itu memberikan kesan kepada urusannya atau tidak. Adakah pemberian tersebut akan menyebabkan dia terasa untuk akan membalas ‘budi’ pihak berkenaan dengan memberikan kepadanya apa yang bukan haknya, atau menzalimi hak orang lain?

Sabda Nabi s.a.w:
  • “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat” (Riwayat al-Bukhari).
Juga sabda Nabi s.a.w:
  • “Kebaikan itu apa yang menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia memberi fatwa kepadamu ( ianya baik)” (Riwayat Ahmad dan al-Darimi dengan sanad yang hasan).
Ertinya, sekalipun jika ada yang berfatwa untuk menghalalkan yang salah, namun jiwa mukmin yang ikhlas akan tetap teragak-agak dan ragu mengenainya. Justeru, jika pemberi dan penerima mempunyai perasaan takutkan azab Allah, mereka sendiri dapat memutus apakah nilai pemberian yang diberi atau diterima tersebut.

3. Ertinya, jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tiada kaitan sama sekali dengan jawatan dan kedudukan yang dipegang, maka itu adalah hadiah. Jika ia diberikan kerana jawatan dan kedudukan yang boleh memutuskan sesuatu hak, maka itu adalah rasuah. Perkara ini pernah diingatkan oleh Nabi s.a.w mengenai pegawai atau petugas kerajaan yang mengambil hadiah yang kononnya diberikan kepada mereka. 

Sabda Nabi s.a.w:
  • “Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).
Maka, seseorang penguasa atau pegawai atau petugas hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya atau tidak. Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah rasuah.

Kesan itu samada secara langsung atau secara tidak langsung. Jika pemberian itu atas dasar sahabat dan kenalan, ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, dan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah. Ini seperti kita memberikan hadiah kepada sahabat kita sekalipun dia seorang pegawai besar dalam sesuatu urusan. Namun pemberian itu bukan kerana atau untuk penyalahgunaan kuasa maka itu dianggap hadiah.

4. Rasuah boleh muncul dalam berbagai bentuk; samada harta atau manfaat tertentu yang diberi atau dijanjikan. Juga dengan rasuah hak pihak lain itu boleh dicemari atau dizalimi dalam pelbagai cara. Ini seperti pemberian itu akan menyebabkan disegerakan urusan kita, sehingga menyebabkan terlewatnya urusan pihak lain. Atau jika dalam bentuk persaingan tender seperti zaman sekarang, pemberian rasuah boleh menafikan hak pihak lain untuk dinilai, atau menghapuskan persaingan yang adil antara pihak-pihak yang terlibat.

Rasuah juga boleh menzalimi majikan seperti pegawai mengabaikan kualiti kerja disebabkan habuan yang disuap. Juga rasuah juga boleh menyebabkan ada pihak yang akan dihukum secara tidak adil. Firman Allah: (maksudnya)
  • “dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
5. Rasuah atas nama hadiah boleh merosakkan rakyat dan negara. Lihat sahaja negara seperti Mesir yang setiap kerja yang sepatutnya berjalan dengan baik terbengkalai kerana setiap urusan akan menuntut wang saguhati atau tips. Bermula dari driver bas di Airport Kaherah sehinggalah ke pihak-pihak yang lebih atas. Apabila keadaan ini berlaku orang miskin susah hendak berurusan kerana mereka tidak mampu memberikan ‘hadiah’ kepada pegawai-pegawai yang bertugas.

Kualiti kerja menjadi rosak. Perasaan tanggungjawab terhadap tugas diukur dengan hadiah yang pernah diberikan atau yang akan diberikan. Maka rasuah merangkumi kesalahan berbohong dan khianat.

6. Adapun pemberian untuk mengelakkan kezaliman seperti memberikan suapan kepada sesuatu pihak bagi melepaskan diri dari kezaliman atau memperolehi hak yang sepatutnya. Ini seperti merasuah petugas kepada penguasa yang zalim demi melepas sesuatu kezaliman kepada diri sendiri atau pihak tertentu, atau mengembalikan sesuatu hak yang diambil dengan cara yang zalim...

Maka Dr. Al-Qaradawi berpendapat bahawa jika keadaan seperti itu berlaku, seseorang hendaklah berusaha dengan cara yang tidak merasuah sesiapa. Namun jika tiada jalan dan terpaksa, maka dosa tersebut ditanggung oleh pihak yang mengambilnya, tidak atas pihak yang memberikan suapan tersebut (lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m.s 300, Beirut: al-Maktab al-Islami).

7. Perbuatan rasuah adalah dosa yang besar. Sabda Nabi s.a.w:
  • “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
Apa tidaknya, rasuah boleh meruntuh keseluruhan sistem keadilan dalam sesebuah masyarakat. Kata Saidina Ali bin Abi Talib:
  • “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).
8. Hadiah yang ikhlas adalah digalakkan oleh Islam. Sabda Nabi s.a.w:
  • “Berilah hadiah nanti kamu akan sayang menyayangi” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).
Ya, hadiah yang jujur kepada kawan atau sesiapa sahaja akan menimbul kenangan dan ingatan. Kasih-sayang tanpa kepentingan itu amat tinggi nilainya dalam kehidupan insan. Hadiah satu jalan mengeratkan hubungan antara kita atas kejujuran dan keikhlasan jiwa.

Wallahu 'aklam. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails