Tuesday, December 06, 2016

Coli Jadi Tempat Mencuri Produk Kosmetik. Apa Jalan Selesai?



BATU PAHAT – Gelagat tiga orang gadis yang mencuri produk kosmetik termasuk menyorokkan barangan itu ke dalam coli dalam kejadian di sebuah butik di Parit Raja dekat sini menjadi viral di laman Facebook semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang pada Rabu lalu itu, salah seorang daripada mereka berpura-pura membeli barang dengan menarik perhatian seorang pekerja ke bahagian lain sementara rakan-rakannya me­lakukan perbuatan itu.

Namun, tindakan kumpulan gadis itu mengundang padah apabila aksi mencuri mereka telah dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di butik terbabit malah menjadi viral dalam media sosial.

Pengurus butik terbabit, Jalina Othman, 50, berkata, kejadian tersebut hanya disedari selepas sehari ketika pekerjanya memeriksa stok barangan butiknya yang didapati berkurangan.

“Setelah meneliti CCTV selama dua hari, akhirnya semalam (ke­lmarin) saya menemui rakaman yang memaparkan gelagat tiga daripada mereka menyembunyikan barangan dalam coli dan beg tangan.

“Memang sebelum ini sudah banyak kali butik saya kehilangan barangan, cuma kami tidak besar-besarkan, namun kali ini kami tidak boleh tahan lagi kerana terpaksa menanggung kerugian,” katanya kepada pemberita semalam.

Bagaimana Hukum Mencuri Dalam Islam?

Maksud mencuri dari segi syarak:

Mengambil harta milik orang lain secara sembunyi-sembunyi dari harta yang dijaga dengan syarat-syarat tertentu. Dari definisi mencuri di atas,mencuri adalah mengambil harta secara sembunyi-sembunyi. Oleh itu tidak dikatakan mencuri jika seseorang itu merompak,menggelap wang syarikat (pecah amanah),merampas dan meragut.

Dalil Wajib Potong Tangan Pencuri. Firman Allah:


وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ فَمَن تَابَ مِن بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ




  • Lelaki yang mencuri dan wanita yang mencuri,potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah.Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.Maka barangsiapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri,maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-Mâidah ayat 38-39)
Syarat-syarat Pencuri:

  1. Baligh : Jika pencuri itu kanak-kanak yang masih belum baligh maka dia tidak akan dikenakan hukum potong tangan.
  2. Berakal : Jika yang mencuri itu adalah orang gila maka dia tidak akan dikenakan hukum potong tangan.
  3. Tanpa paksaan : Jika dia mencuri kerana dipaksa oleh orang lain dengan ancaman yang membahayakan nyawanya maka dia tidak akan dikenakan hukum potong tangan.
  4. Pencuri itu tahu hukum mencuri dalam islam adalah haram.Jika si pencuri tidak mengetahui kerana jahil dalam agama maka dia tidak akan dikenakan hukum potong tangan tapi akan dikenakan hukum takzir dan wajib ganti barang yang dicuri.
Syarat-Syarat Harta Yang Dicuri:

1. Barang yang dicuri mencukupi nisab. Menurut jumhur Ulama termasuk dalam mazhab as-Syafie nisab pencurian itu adalah seperempat dinar atau 3 dirham. 

Dalil: Dari Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

  • “Tidak akan dipotomg tangan pencuri melainkan seperempat dinar atau lebih”
“Rasulullah s.a.w memotong tangan seorang yang mencuri perisai yang nilainya sebesar 3 dirham (Muttafaqun ‘Alaihi). Satu dinar adalah sama dengan 4.25 gram emas (24 karat). Perkiraan nisabnya adalah ¼ x 4.25g = 1.0625g.Katakanlah harga semasa emas sekarang ini ialah RM86.Jadi,1.0625g x RM86 = RM91.38.Maka,nisab kecurian adalah RM91.38. Pencuri yang mencuri barang-barang yang nilainya tidak sampai nisab dia tidak akan dikenakan potong tangan tapi dia akan dikenakan hukuman takzir.

2. Mencuri harta dari tempat penjagaan\simpanan. Harta yang dicuri itu mesti berada di dalam penjagaan,penyimpanan atau pengawasan pemiliknya.

Bentuk penjagaan ini terdiri dari dua kategori:

  • Tempat penjagaan khas seperti peti besi untuk menyimpan perhiasan dan wang, kandang untuk menjaga binatang dan stor untuk menyimpan barang-barang. 
  • Bukan tempat penyimpanan khusus tetapi dia termasuk barang yang dijaga contoh seseorang duduk/tidur di dalam masjid dan meletakkan beg di sisinya. Ini termasuk dalam penjagaan.
Tidak akan dipotong tangan pencuri yang mencuri harta yang tidak dijaga.Menurut Ulama feqh jika satu pintu stor atau kandang terbuka,atau bahagian dindingnya rosak maka ini akan menghilangkan sifat penjagaan,maka pencuri itu tidak akan dipotong tangan, namun mereka akan dikenakan hukuman takzir.

3. Harta yang dicuri adalah harta yang ihtiram (layak dimiliki disisi syarak)

Jika seseorang Muslim menyimpan arak atau babi atau anjing atau kulit bangkai yang belum disamak di rumahnya kemudian dicuri, hal ini tidak akan menyebabkan pencuri dihukum potong tangan kerana harta tersebut bukanlah satu pemilikan yang layak untuk orang Islam.

4. Harta yang dicuri itu adalah bukan miliknya

Tidak dikenakan hukum potong tangan ke atas orang yang mencuri hartanya sendiri seperti mencuri hartanya yang telah disewakan kepada orang lain atau mencuri hartanya yang dia beri pinjam kepada orang lain atau mencuri harta syarikat perkongsiannya. Dalam erti lain,harta yang dicuri tidak ada bahagian hak pencuri atau yang membolehkan pencuri itu memakannya.

Oleh itu tidak akan dipotong tangan hamba yang mencuri harta tuannya, ayah yang mecuri harta anaknya, anak yang mencuri harta ayahnya, salah seorang suami-isteri mencuri harta pasangannya, rakan kongsi yang mencuri harta syarikat.. Dan Seorang yang mencuri harta dari Baitul Mal juga tidak akan dipotong tangan kerana Baitul Mal adalah harta bersama orang islam, di mana di dalamnya terdapat hak si pencuri sebagai rakyat meskipun kecil bahagiannya.

Hudud akan tertolak (tidak akan dilaksanakan) jika berlaku syubhah..

Hikmah Had Potong Tangan Bagi Pencuri:

Untuk kita memahami hikmah dari pensyariatan hukum potong tangan bagi kesalahan mencuri, mari kita kongsikan di sini sejarah hukuman had mencuri di di Arab Saudi. Di Tanah Arab satu ketika dahulu,jenayah mencuri dan merompak jemaah haji lelaki dan wanita di Baitullah begitu berleluasa. Dengan itu,sebahagian jemaah haji tidak lagi mahu kembali ke Makkah kecuali untuk menunaikan nazar yang kecil.

Oleh itu Hijjaz (Kerajaan Saudi) telah melaksanakan hudud+qisas sehingga keamanan dapat distabilkan. Selepas itu,jenayah mencuri mula berkurangan dan kegiatan merompak lumpuh,sehingga negeri itu menjadi aman. Kejayaan menangani jenayah ini melalui pelaksanaan hukum hudud sangat mengagumkan dan memeranjatkan banyak pihak. Namun perkara paling menakjubkan ialah sepanjang 24 tahun hukuman ini dijalankan,hanya 16 orang dikenakan hukuman potong tangan.

Secara tersiratnya,Kerajaan Saudi berjaya menyelamatkan beribu-ribu ‘tangan’ yang tidak berdosa dengan 16 bilah tangan sahaja! Jelaslah ketegasan ini adalah rahmat kepada masyarakat umum. Malah kekerasan hukuman ini juga hakikatnya adalah rahmat kepada orang yang hendak melakukan jenayah, kerana ia menimbulkan ketakutan kepada orang lain untuk melakukannya.

Justeru,apabila seorang pencuri dipotong tangan atau seorang perompak dibunuh, ia sebenarnya menyelamatkan beribu-ribu bakal penjenayah lain. Islam melatakkan syarat yang amat ketat. Jadi apa yang hendak anda takut dan risaukan dengan hukuman hudud? Lagi pula anda bukannya pencuri..Hukuman Allah ini telah terbukti berkesan berjaya mengurangkan kadar jenayah kecurian berdasarkan perlaksanaan di Arab saudi.

Semoga tiada lagi suara sumbang menghina Islam dari orang yang mengaku Islam mengatakan 'curi telur ayam sebiji pun nak kena potong tangan!'. Na 'auzubillahi min zalik.


Ustaz Azhar Idrus-Potong Tangan.


2 comments:


  1. Perlaksanaan Syariah Islam berdasarkan Al-Qur'an, Sunnah, Qias, Ijmak boleh menyelesaikan atau mengurangkan jenayah di Malaysia.

    ReplyDelete
  2. Patutkah diviralkan gambar pencuri sebelum disiasat atau dihukum. Sepatutnya gambar ini diserah pada polis untuk tujuan penyesiasatan

    ReplyDelete