Thursday, December 15, 2016

Panel Suu Kyi, Akui Penduduk Islam Tidak Dianiaya?


 AFP - BEKAS Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan yang menganggotai suruhanjaya penasihat Myanmar melawat komuniti Islam Rohingya di Kampung Kyatyoepyin di Maungdaw, Negeri Rakhine pada 3 Disember lalu.
YANGON – Sebuah suruhanjaya bebas yang ditubuhkan oleh pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi bagi menyiasat sera­ngan di pos sempadan dan kekejaman tentera dalam tindak balasnya terhadap etnik minoriti Islam Rohingya di Negeri Rakhine mendapati pasukan ke­selamatan negara itu mematuhi undang-undang.
Suu Kyi menubuhkan suruhanjaya tersebut selepas menerima tekanan antarabangsa supaya menyiasat dakwaan bahawa tentera Myanmar membunuh dan merogol penduduk awam serta membakar kediaman mereka.
Panel 13 anggota suruhanjaya itu menyatakan dalam satu kenyataan bahawa, “Pihak berkuasa mematuhi undang-undang dan bertindak berlandaskan undang-undang dalam tindak balasnya terhadap penyerang.”
Rumusan awal itu mencetuskan kesangsian sama ada suruhanjaya yang diketuai oleh Timbalan Presiden Myanmar, Myint Swe itu akan mengemukakan keputusan yang bebas dan telus dalam laporan penuhnya menjelang 31 Januari depan.
Myint Swe merupakan seorang jeneral dan sekutu bekas ketua junta tentera Myanmar, Than Swe.
Suruhanjaya itu menamatkan lawatan tiga harinya ke Maungdaw di Rakhine kelmarin.
Seramai 86 orang terbunuh di Maungdaw sejak tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan susulan serangan pemberontak ke atas beberapa pos sempadan negara itu pada 9 Oktober lalu.
Operasi tentera itu memaksa kira-kira 27,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Etnik Rohingya yang merupakan penduduk majoriti Maungdaw telah dinafikan hak kerakyatan oleh kerajaan Myanmar. – Reuters
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pihak tertuduh disuruh menghakimi kes, sama dengan 'pencuri' dilantik jadi hakim dalam kes kecuriannya. Bagaimana bisa adil?

No comments:

Post a Comment