Ia merujuk kepada insiden perobohon gerai Adam Tomyam dan gerai Afiq Bawal Goreng di hadapan Kuaters Polis Lebuhraya Thean Teik, Air Itam, Pulau Pinang.
“Makin hari makin menjadi !
“Gerai siapa pula yang bakal menjadi mangsa selepas ini ?, “soalnya.
Menurut
Penang kini, kedua-dua gerai peniaga kecil Melayu itu dirobohkan pagi semalam.
“Kami menerima maklumat pemilik kedai Bawal Goreng menangis hiba melihat gerai diruntuhkan dan barangan kedainya dirampas. Kesian melihat depa sukar nak cari rezeki.
“Kalau penguatkuasa ada hati perut dan ruang diplomasi, barangan di kedai seperti TV LCD, peti ais, kipas angin dan barangan memasak tak payah la angkut naik trak.
“Cukuplah mungkin sekadar kerusi, meja dan dapur sahaja kalau nak rampas pun,”lapornya.
Sementara itu,
Penang Kini turut melaporkan sebahagian struktur bangunan warisan yang dikenali sebagai Hotel Runnymede, iaitu bangunan kolonial berusia 208 tahun itu turut dirobohkan dipercayai bagi memberi laluan kepada pembinaan hotel bertaraf lima bintang di situ.
“Ini baru betul-betul UBAH !
“Runnymede sebelum dan selepas Tahun Baru Cina 2016,” lapornya sambil membandingkan dua keping gambar (di atas) sebelum sebahagian struktur bangunan warisan itu diroboh dan selepas diruntuhkan.
Hmetro.com turut melaporkan tiada sebarang papan tanda pemberitahuan diletakkan.
Jurucakap Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT) berkata, pihaknya menerima maklumat kerja perobohan bangunan warisan itu dijalankan pada Isnin lalu iaitu ketika sambutan Tahun Baru Cina.
“Kami mahu penjelasan daripada kerajaan negeri, mengapa kerja perobohon dijalankan pada hari cuti umum, seolah-olah mereka mahu menutup sesuatu,” katanya.
Bangunan warisan itu terletak di atas tanah seluas 0.8 hektar berhampiran pesisiran pantai, sekali gus menjadikan ia antara hartanah yang paling bernilai di Pulau Pinang.
Hotel Runnymede pernah didiami Sir Stamford Raffles pada 1805 ketika Raffles bertugas sebagai Penolong Setiausaha kepada Gabenor Pulau Pinang, Robert Townsend Farquhar.
Selepas itu, Hotel Runnymede mengalami banyak perubahan termasuk pernah dijadikan sebagai hospital tentera British ketika zaman Perang Dunia Kedua.
Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas, dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah mengeluarkan Pelan Kebenaran Merancang (PKM) kepada pemaju terbabit.
“Bagaimanapun, PKM itu tidak membabitkan Hotel Runnymede. Kerja perobohan hanya dijalankan di beberapa struktur kawasan sekitar tapak hotel berkenaan sahaja.
“Selain itu, kita akan menyiasat bagaimana kerja perobohon itu boleh dijalankan pada hari cuti umum,” katanya.
ekoran insiden itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang kerana terus menerus menghapuskan tapak warisan di negeri itu dengan alasan pembangunan.
Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, bangunan sampingan dalam kawasan hartanah Runnymede telah dirobohkan sedangkan permohonan kebenaran merancang untuk projek pangsapuri dan hotel di kawasan itu telah dibatalkan pada 24 November 2015.
“Kami tidak pasti sama ada pemaju telah mengemukakan semula permohonan dan kemudiannya diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang memandangkan tidak terdapat kemas kini di dalam laman sesawang.
“Adakah ini bermakna pihak pemaju kini dibenarkan untuk meneruskan dengan semua pembangunan ini. Apakah yang telah berlaku kepada garis panduan yang mengehadkan ketinggian bangunan di kawasan tapak warisan.
“Apakah daya tampung kawasan ini. Apakah justifikasi untuk tambahan bangunan komersial dan Apakah pengurusan trafik di kawasan yang sesak?” katannya dalam satu
kenyataan media.
S.M. Mohamed berkata, seolah-olah perobohan berlaku di Pulau Pinang tanpa kawalan dari bukit, laut hingga ke bangunan warisan.
“Kerajaan negeri perlu menjelaskan perobohan dan kelulusan yang telah diberikan. Apakah tindakan yang akan diambil terhadap pemaju? Sekadar mengenakan denda yang tidak seberapa seperti mana dalam kes Bukit Botak (Relau) adalah tidak bermakna.
“Nampaknya tiada apa yang dibiarkan di Pulau Pinang, dari bukit ke laut dan kini bangunan warisan. Seolah-olah tiada had kepada perancangan dan kelulusan yang diberikan dan pemaju mendapat manfaat paling besar dalam arus pembangunan yang dikejari,” katanya. (AIDCNews- 12/2/16 )