Dr. Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berkata, bagi prakajian EIA itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah membayar sebanyak RM135 juta daripada jumlah keseluruhan RM138.9 juta setakat ini.
Malah, beliau turut mempersoalkan apa kesudahan ke atas kos yang sudah dilaburkan itu sekiranya hasil akhir kajian EIA tersebut merumuskan projek berkenaan tidak sesuai dijalankan.
“Katakan jika prakajian untuk projek terowong itu tidak lulus, contohnya kerana ada kerja pemotongan bukit untuk bina tiga lebuh raya, sedangkan kita sudah membayar kos sebanyak RM138.9 juta untuk pemajuan projek,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Dalam pada itu, Norlela turut mempersoalkan sama ada menjadi amalan kepada kerajaan negeri menggunakan konsep mengambil sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan kos sesebuah projek sebagai kos untuk kajian pra-EIA.
Sedangkan kata beliau, secara kebiasaannya kos kajian EIA itu ditentukan berdasarkan faktor seperti yuran profesional dan kos pelaburan semula.
Sementara itu, berhubung isu sama, Lim Hok Seng (DAP-Bagan Jermal) mengesahkan projek terowong dasar laut itu tidak memerlukan kajian secara mendalam ke atas impak alam sekitar (DEIA) sebaliknya memadai hanya kajian pra-EIA.
Menurut beliau, kos keseluruhan bagi kerja-kerja EIA oleh konsultan itu adalah sebanyak RM138 juta yang dibayar menerusi pemberian tanah bernilai RM135 juta dengan kerajaan negeri masih berhutang RM3 juta.
Projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini bukan sahaja mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk negeri ini, malah turut dipertikaikan oleh wakil rakyat kerajaan negeri sendiri khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR.
Antara yang dipersoalkan adalah kelewatan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri berhubung projek itu yang belum didedahkan sehingga kini.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) pula berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan bagaimana kos pembinaan terowong dasar laut yang dirancang boleh menjadi lebih mahal sehingga 250 peratus daripada projek jalan terowong dan pengurusan air banjir (Smart).
Katanya, perbandingan itu berdasarkan perbezaan kadar kenaikan harga setahun bagi kedua-dua projek itu seperti dilakukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Menurut beliau, kos keseluruhan pembinaan terowong Smart hanya RM1.93 bilion berbanding RM3.6 bilion yang diperlukan untuk melaksana terowong dasar laut.
Malah katanya, terowong Smart juga adalah lebih panjang iaitu 9.7 kilometer berbanding terowong dasar laut iaitu dijangkakan hanya 7.2 kilometer.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Ishak berkata, projek itu bukan satu keperluan mendesak, sebaliknya banyak lagi isu lain yang lebih penting perlu diberikan keutamaan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Antaranya, kata beliau, ialah mencari mekanisme bagaimana untuk menangani masalah penghijrahan penduduk miskin ke negeri lain yang mungkin disebabkan oleh faktor kegagalan kerajaan negeri membela nasib golongan berkenaan dari sudut perumahan dan ekonomi mahupun soal kebajikan.
‘‘Adalah tidak praktikal sebuah kerajaan negeri lebih menitikberatkan soal projek mega sedangkan pada masa yang sama, nasib rakyat berpendapatan sederhana dan miskin diabaikan akibat pembangunan yang mendapat restu pihak kerajaan yang lebih berkonsepkan ‘mesra pemaju’,” katanya.
“Kerajaan negeri perlu sedar dan faham bahawa kedua-dua projek berkenaan bukanlah kehendak majoriti rakyat Pulau Pinang, sebaliknya ia adalah ilham dan kehendak segelintir individu yang bernaung di bawah payung kerajaan negeri sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Rahmad, ironinya mengapa perlu dibangunkan terowong bawah laut sedangkan dua jambatan sedia ada sudah memadai menjadi penghubung kepada rakyat mahupun logistik dari Seberang Perai ke kawasan pulau.
Jelasnya, persoalan sama turut dibangkitkan tentang apakah wajar mewujudkan tiga buah pulau hasil tambakan laut seluas 1,659 hektar semata-mata bagi mendapatkan modal RM27 bilion yang kononnya bagi menampung kos projek aliran trafik di negeri ini.
Selain itu, katanya, jika kerajaan negeri mempunyai kepakaran dan berhasrat menaik taraf sistem trafik di negeri ini, ia mampu dilaksanakan secara berskala kecil dan berperingkat-peringkat tanpa peruntukan berbilion ringgit serta tidak perlu menggadai tanah rakyat negeri ini dengan cara menjual tiga buah pulau berkenaan kepada pihak ketiga.
“Kita juga ingin mempersoalkan bilangan rumah mampu milik, sederhana dan ke bawah yang akan dibina di atas tanah-tanah tambakan laut berkenaan bagi mengisi keperluan rakyat miskin negeri ini.
“Justeru itu, PAP meminta agar agensi kerajaan Pusat tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak dan segera mengambil tindakan susulan sebelum projek itu diluluskan,” ujarnya. – Utusan Malaysia