Lebih sedekad meninggalkan dunia seni, Sahara membuat kemunculan semula menerusi sebuah konsert yang bakal diadakan pada Ogos tahun depan.
HALAMAN HIBURAN
Sahara Yaacob bahagia tanpa glamor
SEBAIK kaki melangkah masuk ke teratak milik penyanyi popular era 80-an, Sahara Yaacob atau digelar Tina Turner Malaysia, kedengaran riuh rendah suaranya menyambut kedatangan penulis dan jurugambar. Biarpun kediamannya itu pada asalnya hanyalah sebuah bilik stor yang dijadikan tempat berteduh sejak 10 tahun lalu, tidak sekelumit perasaan malu terukir pada wajahnya.
Bagi Sahara, bilik stor dibina bersambung dengan kediaman arwah kakaknya pada tahun 1985 untuk menyimpan barangan peribadi itu umpama istana meskipun pada pandangan kasar orang lain, ia tidak sempurna. Tanpa wang ringgit dan barangan mewah lain yang dimiliki ketika zaman kegemilangannya, akui dia, kehidupan kini terasa lebih lengkap dan tenang.
Hari itu dalam pertemuan kami, penyanyi yang terkenal dengan imej rambut kerinting menggerbang, solekan tebal berkilau dan pakaian seksi kelihatan cukup berbeza.
Apa yang pernah penulis tatap di dada media massa atau kaca televisyen ternyata tidak melekat pada sosok wanita kelahiran Kuala Lumpur itu.
Sahara yang berdiri di hadapan kami kelihatan seperti wanita separuh usia biasa, selesa berjubah dan berselendang.
Bintang glamor Sahara telah pudar, malah sengaja ditinggalkan. Di bilik stor berkenaan wanita berusia 60 tahun itu menumpahkan cerita hidupnya pada masa lalu dan kini.
“Saya jenis manusia dicampak ke mana sekalipun boleh hidup. Walaupun pada mata orang lain kediaman ini tidak sempurna, saya tidak kisah kerana kehidupan sekarang cukup tenang. Dahulu saya ada semuanya, tetapi kehidupan tidak gembira. Adakalanya, apabila pulang daripada persembahan pentas saya sedih dan menangis sendirian sebab terasa sunyi.
“Waktu senang, sukar untuk dapat sahabat sejati dan orang yang sayangkan saya sepenuhnya. Sebab industri hiburan bukan semuanya indah, ada yang tikam daripada belakang dan ada berlakon dengan baik, umpama kehidupan fantasi. Saya sendiri tidak tahu mana yang benar dan palsu,” kata Sahara mengimbas kembali kenangan lalu.
Justeru, apabila bernikah dengan suami kelimanya, seorang jejaka Arab, Hosam Mohamed yang berusia 20 tahun lebih muda daripadanya pada tahun 2002, beliau mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi. Pada tahun sama, Sahara dan suami berhijrah ke Mesir selama lima tahun sebelum kembali ke Malaysia. Pasangan ini bercerai dua tahun lalu.
Berhenti menyanyi dan tinggal di Mesir memberi kebebasan serta kehidupan normal yang tidak pernah dirasai sebelum itu. Masakan tidak, beliau mula menjadi perhatian masyarakat sejak kecil apabila mula menyanyi pada usia sembilan tahun.
“Selepas lari daripada dunia glamor, baru saya sedar betapa seronoknya jadi orang biasa dan jalani kehidupan normal. Itulah yang saya hilang sepanjang jadi penyanyi. Sewaktu di Mesir, saya bebas untuk memakai pakaian mengikut keselesaan tanpa perlu memuaskan hati pihak lain. Tidak perlu kelihatan cantik dan paling penting bebas menjadi diri sendiri.
“Orang biasa tidak tahu betapa bertuahnya mereka berbanding seorang artis. Artis sentiasa menjadi perhatian daripada hujung rambut hingga hujung kaki, jika tidak kuat boleh berdepan dengan tekanan emosi. Apapun saya bersyukur dengan jalan kehidupan diatur Allah, semuanya cukup cantik,” tuturnya yang berkahwin kali pertama pada usia 15 tahun.
Tidak mampu beli ayam, ikan
Melihat sejarah hidup anak kesembilan daripada 10 adik-beradik itu, banyak pahit berbanding manis telah dilaluinya. Orang tersayang meninggal dunia satu persatu termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya. Perkahwinan sebanyak lima kali tidak kekal lama, malah tidak dikurniakan cahaya mata kerana beliau mempunyai masalah rahim terbalik.
Aset dikumpul ketika menyanyi juga telah habis dijual ketika di Mesir untuk membiayai bil perubatan arwah ibunya, Umi Kalsom Mohd. Nusi yang meninggal dunia lima tahun lalu pada usia 90 tahun. Kini, peninggalan harta hanyalah sebuah bilik stor, keratan akhbar zaman kegemilangan serta anak-anak saudara buat menumpang kasih.
Disebabkan tidak bekerja dan tiada pendapatan, beliau menyara kehidupan melalui belas ihsan anak-anak saudara. Mi segera dan oat menjadi makanan ruji sejak dua tahun lalu akibat kesempitan wang.
“Saya sudah biasa makan mi segera dan oat. Salah satu sebabnya, gigi tidak boleh mengunyah makanan keras dan kedua saya tidak mampu untuk membeli makanan sempurna kerana tiada wang. Makan mi segera lebih jimat, harga ayam dan ikan mahal, saya tidak mampu. Kadangkala anak saudara turut membantu, tetapi mereka pun bukan orang senang,” ujarnya yang mempunyai penyakit asma, darah tinggi, batu karang dan gout.
Sungguhpun begitu, beliau tidak pernah merungut melalui dugaan hidup, sebaliknya bersyukur kerana secara tidak langsung ujian tersebut mematangkan serta mendekatkan dirinya dengan Allah. Jika dikenang semula kehidupannya waktu dahulu, beliau cukup sarat dengan kontroversi. Bukan sahaja kerana pakaian seksi, tetapi juga pernah digam sebuah stesen televisyen kerana aksi berani matinya di atas pentas persembahan sehingga digelar simbol seks.
Tidak terhenti di situ, beliau juga pernah menggegarkan industri hiburan dengan kontroversi menyertai sebuah pergerakan diharamkan pada tahun 1983, selain cedera parah akibat ditetak seorang ahli perniagaan di kawasan hutan Gombak, Kuala Lumpur pada tahun 1992.
“Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Semuanya datang dan pergi, tiada yang kekal. Mungkin sebab itu sebelum ini saya lebih selesa untuk tidak muncul di media massa kerana dalam proses merawat, mengenal diri sendiri dan mencari hala tuju hidup.
“Arwah ibu, tidak suka saya jadi penyanyi, apatah lagi berpakaian seksi. Dahulu saya berpakaian seksi untuk mendapat banyak tawaran nyanyian. Disebabkan jadi penyanyi, pakai seksi dan bekerja di kelab malam, persepsi orang luar adalah saya wanita jahat serta liar. Namun, jiwa saya tidak jahat, tidak pernah melupakan Allah,” katanya yang mula berhijab sejak 14 tahun lalu.
Konsert terakhir
Sahara bersama salah sebuah albumnya berjudul Jawapan dalam versi kaset yang masih berada dalam simpanannya.
Selepas lebih sedekad hilang secara mengejut daripada dunia seni, kini penyanyi yang pernah popular melalui lagu Peronda Jaket Biru itu bakal membuat kemunculan semula dengan sebuah konsert pada Ogos tahun depan.
Bagaimanapun, beliau tidak berniat untuk aktif seperti dahulu, sebaliknya mahu mengadakan konsert sebagai persembahan selamat tinggal secara rasmi kepada peminatnya.
“Dahulu saya hilangkan diri secara mengejut dan tidak perasan mempunyai ramai peminat. Selepas berfikir panjang dan jika diizinkan Allah saya mahu mengadakan sebuah persembahan yang sempurna sebagai ucapan selamat tinggal buat peminat. Mungkin itu bakal menjadi persembahan terakhir sebelum bersara terus sebagai penyanyi,” katanya.
Sebelum itu, sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, beliau memerlukan masa selama setahun untuk melakukan persiapan. Baginya tiada erti jika melakukan persembahan yang tidak memberi impak kepada penonton.
“Saya mahu membuat persembahan terakhir yang tidak akan dilupakan peminat. Disebabkan sudah lama tidak menyanyi, saya perlu bersiap sedia daripada segi vokal dan stamina. Saya perlu kembali bersenam dan paling penting membetulkan kembali gigi palsu, jika tidak memang tidak boleh menyanyi. Apapun saya tidak lagi muncul dengan imej seksi, tetapi sopan sesuai dengan usia sekarang,” tuturnya.
Berbicara tentang konsert, beliau amat berharap dapat bekerjasama dengan orkestra di bawah pimpinan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail. Sepanjang kerjayanya, beliau tidak pernah mengadakan persembahan dengan iringan orkestra. Justeru, bagi konsert terakhir, beliau mengharapkan impian tersebut menjadi kenyataan.
“Saya teringin buat persembahan dengan iringan orkestra pimpinan Datuk Mokhzani. Pihak saya belum berbincang dengannya lagi, tetapi harap beliau akan bersetuju,” luahnya yang turut mendapat bantuan daripada rakan pemuzik untuk konsert tersebut.
Dalam pada itu, sejak kisah duka Sahara didedahkan di media massa, rezekinya mencurah-curah apabila menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Karyawan, Seniman, Yayasan Artis 1 Malaysia dan Pusat Zakat Selangor yang dijangka akan memberi bantuan daripada segi belanja bulanan kepadanya bermula bulan depan.
Bukan itu sahaja, beliau juga mendapat bantuan dalam bentuk kediaman daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Ogos ini.
“Alhamdulillah, inilah pertolongan Allah. Saya percaya setiap dugaan dan kejadian ada hikmahnya. Walaupun tinggal seorang diri, tanpa disangka hari ini saya menerima kasih sayang dan perhatian yang datang entah dari mana. Terima kasih, hanya Allah dapat membalas jasa semua yang menghulurkan bantuan,” kata Sahara menggulung bicara. (Kosmo!)