Wednesday, July 20, 2016

Konsert Selena Gomez, Sama Saja, UMNO/BN, DAP, S'gor' Kecuali PAS

Selena Gomez


HALAMAN HIBURAN

 SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan kepada penganjuran konsert penyanyi dari Amerika Syarikat, Selena Gomez sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan. 

 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 Julai ini.

 

“Setakat minggu lepas, MBSA belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur konsert.
“Sebaik sahaja mereka (MBSA) terima tentunya mereka akan teliti (permohonan) dan kalau memenuhi semua syarat yang ditetapkan saya rasa tiada masalah untuk beri kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MBSA di perkarangan Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Mengenai bantahan daripada PAS yang menganggap konsert ‘Selena Gomez The Revival Tour’ itu mencemarkan kemuliaan Syawal, Mohamed Azmin menjawab semua bulan seharusnya dihormati.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS, Hafez Sabri sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi itu yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Hafez dalam satu kenyataan juga dilaporkan berkata, kedatangan Selena Gomez dianggap menghidupkan budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Turut membantah ialah Muslimat PAS yang menyifatkan artis barat itu berimej ‘seksi dan liar’. – BERNAMA


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dalam menangani masalah hiburan tanpa berteraskan Islam, sama saja UMNO/BN Malaysia, DAP Pulau Pinang dan Selangor kecuali PAS Kelantan.. Itulah bedanya antara PAS dengan parti-parti sekular lain. 


Monday, July 18, 2016

Perampaskuasa Turki Adalah Ahli Majlis Tertinggi Tentera, Pernah Bekerja Di Israel.

Hasil carian imej untuk Pembelot Turki pernah bekerja di Israel
Orang ramai mengibarkan bendera di Dataran Kizilay, Ankara untuk menunjukkan sokongan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

RAMPASAN kuasa tentera di Turki yang berakhir dengan kegagalan kelmarin diketuai oleh bekas komander tentera udara negara itu, Jeneral Akin Ozturk, 64, yang pernah menjadi atase tentera di Israel.
Ozturk berkhidmat dari tahun 1998 hingga tahun 2000 di Kedutaan Turki di Tel Aviv dan kemudian memimpin pasukan angkatan tentera udara sehingga bersara tahun lalu. Beliau kekal anggota Majlis Tertinggi Tentera Turki.

Sunday, July 17, 2016

Tumbangkan BN Bukan Bertelagah. Pas S'gor Sokong Tuan Ibrahim Gencatan Senjata.



SHAH ALAM - Kesemua wakil rakyat Pas di negeri ini menyokong kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abd Samad agar parti pembangkang menumpukan usaha menumbangkan BN bukannya bertelagah sesama sendiri.

Melalui satu kenyataan bersama, 13 wakil rakyat meliputi Adun dan Ahli Parlimen Selangor berkata, pihaknya berpendirian agar pendekatan atas nama ‘Pakatan Pembangkang’ dicari untuk mempertahankan kemenangan di negeri ini yang telah dicapai semenjak 2008.

“Parti parti politik pro blok pembangkang berhenti menyerang antara satu sama lain dan menghalakan serangan terhadap Umno dan BN Selangor.

“Mencari pendekatan terbaik untuk satu lawan satu menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti,” katanya.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim mendapat perhatian semua parti politik pembangkang selepas mengeluarkan kenyataan mengajak parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan dan menumpukan serangan kepada Umno-BN sahaja. 

Kenyataan itu kemudiannya disokong Iskandar. Kesemua Adun dan ahli Parlimen Selangor itu juga berpendirian untuk menumpukan pembelaan kebajikan rakyat dan pembangunan di Selangor selain mencari titik persamaan yang terbaik berdasarkan demografi di negeri itu dengan syarat menghormati prinsip yang dibawa oleh setiap parti yang berbeza.

Melalui kenyataan sama, kesemua Adun dan ahli Parlimen Selangor akan menyerahkan surat yang ditandatangani mereka kepada pimpinan pusat.

(SH)

Turki: Ideologi Erdogan Lwn Fethulah Gulen. Mampukah Pihak Luar Curi Kesempatan?

erdogulen1

INI jurang ideologi di balik keretakan Erdogan dengan Fethullah Gulen, dan tangan lama yang memanfaatkannya.

Hingar bingar dalam perpolitikan Turki saat ini yang melibatkan menteri kabinet Turki menyebarkan persepsi meluas di masyarakat bahawa adanya "krisis moral" pada tubuh AKP. Peristiwa ini masih hangat diperbincangkan kerana kesnya masih panas, bergolek ke sana ke mari. 

Selain melibatkan pihak kementerian, ia juga melibatkan pihak perbankan negara, pengusaha antarabangsa, bahkan pihak polis itu sendiri. Namun yang lebih ramai dan menjadi 'perkara yang baru' bagi masyarakat untuk diperbincangkan adalah adanya keretakan yang cenderung menjadi konflik terbuka antara AKP dengan Kumpulan Hizmet yang ditubuhkan oleh Fethullah Gulen. 

Sambil menantikan perkembangan terkini kes rasuah kanak-kanak 3 menteri Turki ini, banyak pihak mula dibedah siasat asal usul keretakan antara Erdogan dengan Gulen.

Siapa Gerakan Fethullah Gulen?

Gerakan Fethullah Gulen mengikuti ajaran sufi Islam terkemuka Turki, Bediuzzaman Said Nursi, dan pemimpin gerakan ini mengasingkan diri dengan tinggal di Pennsylvania sebuah negara bahagian dari AS. Kumpulan Gulen meraih pengaruh luar biasa di Turki dan luar negera kerana kegiatan pendidikan dan budayanya, dengan menjalankan sekolah-sekolah di seluruh dunia. 

Gerakan ini suka menyebut dirinya sebagai "Kumpulan Gulen" atau "gerakan Hizmet". Pada pandangan pertama, ia mungkin kelihatan bahawa konflik antara Gulen dan kerajaan Turki adalah kerana keputusan kerajaan untuk menutup beberapa pusat pendidikan swasta. Pada kenyataannya, alasannya lebih banyak dan lebih dalam, hakikat dari konflik ini lebih dari sekadar berkaitan dengan isu-isu politik, tetapi lebih disebabkan oleh perbezaan latar belakang pemikiran serta hubungan antar - komuniti.

AKP atau Parti Keadilan dan Pembangunan Turki

Parti berkuasa AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan Turki), yang dipimpin oleh Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, semenjak penubuhannya dan meraih kuasa pada tahun 2002, telah mampu menggabungkan kekuatan kumpulan liberalis dan gerakan Fethullah Gulen yang cukup berpengaruh. 

Selama sepuluh tahun terakhir, parti ini telah berjuang keras melawan puak sekular ekstrim seperti rangkaian Ergenekon, sebuah organisasi klandestin yang diduga mempunyai hubungan dengan tentera dan pasukan keselamatan Turki. 

Gabungan ini telah bekerja keras pula membina demokrasi dan nilai-nilai demokrasi, namun sejak pengaruh tentera merosot tajam akibat perwira seniornya diadili, ketiadaan musuh bersama menyebabkan parti kehilangan kekuatannya untuk menyatukan visi anggotanya.

Awal Konflik

Pada tahun 2012, pendakwa raya Turki mendedahkan bahawa seorang pegawai perisikan telah terlibat dalam pertemuan-pertemuan rahsia dengan PKK (Parti Komunis Kurdi), sebuah gerakan pembebasan Kurdi. Mencuatnya hal ini mula menyebabkan konflik antara AKP dan gerakan Gulen. Erdogan melihat langkah sebagai agen Gulen, yang secara langsung mensasarkan dirinya. 

Akibatnya, Parlimen meluluskan undang-undang yang mempersyaratkan persetujuan perdana menteri atas segala tindakan pegawai perisikan. Hubungan antara parti Erdogan dan kumpulan Gulen semakin berubah, apabila wartawan yang berafiliasi ke Gulen mengangkat dua tulisan mengenai perdana menteri sebagai "autoritarian" dan "diktator".

Mencari Kutub Baru atau Tangan Lama?

Dalam beberapa tahun terakhir, usaha kerajaan Erdogan menggunakan demokrasi untuk melaksanakan perlembagaan baru ada beberapa yang tercapai, namun banyak pula yang mengalami kegagalan. Hal ini sedikit banyak menghentikan usaha untuk bergabung dengan Kesatuan Eropah dan telah mereorientasi politik Turki untuk secara beransur-ansur merapat ke Timur Tengah.

Banyak 'liberal' menarik diri daripada pakatan untuk bergabung dengan barisan pembangkang dengan menuduh kerajaan "hanya mengheret kakinya" untuk melakukan reformasi yang diperlukan agar dapat masuk ke Kesatuan Eropah. Kerajaan membela diri dengan mengatakan bahawa kaum liberal ini ingin mendapatkan kuasa, melalui pandangan mereka dan pandangan politik yang menentang keyakinan konservatif yang dianuti parti yang berkuasa.

Sementara dari dalam negera..

Bagaikan dua sudut pada syiling yang sama.. Meski Kumpulan Gulen menyokong gagasan membuka diri terhadap PKK (Parti Komunis Kurdi), namun dirinya mempunyai banyak keberatan mengenai dasar Erdogan mengenai hal ini. 

Gulen berkata cenderung pada gagasan perdamaian politik, namun di sisi lain percaya bahawa Erdogan membuat konsesi tidak perlu dengan PKK, yang akan mendorong kumpulan tersebut untuk meneruskan propagandanya dan semakin menolak untuk menarik diri dari wilayah Turki.

Konflik Masakini.

Beralih ke masalah terkini, dalam menutup beberapa pusat pendidikan swasta, memang Erdogan kelihatan mensasarkan Kumpulan Gulen. Pusat-pusat pendidikan tersebut adalah produk budaya yang paling menonjol dari kumpulan tersebut dimana pendidikan merupakan falsafah intinya. Ahli Gulen sering dituduh mencari kekuasaan, tapi ini adalah tuduhan yang tidak mempunyai asas. 

Memang sangat diharapkan bahawa anggota sebuah kumpulan terkemuka seperti ini didaulat untuk mempunyai kedudukan di pemerintahan dan diberi kesempatan untuk melayani negara mereka. Kumpulan Gulen sering beretorika bahawa dirinya sentiasa berdiri melawan kecenderungan puak pemisah Kurdi dan penetrasi Iran di Turki, terutama di kawasan majoriti Kurdi. 

Jadi siapa yang akan mendapat keuntungan jika diri mereka menjadi sasaran Tetapi kerajaan Turki dan lingkaran dekatnya menolak retorik Gulen semacam ini. Mereka mencatat bahawa kumpulan Gulen memang mempunyai keinginan kuat untuk menyertai dan mempengaruhi pemerintah yang berkuasa namun tanpa ingin memikul beban tanggung jawab politik itu sendiri. 

Pemerintah yang melihat dirinya sebagai perwakilan dari kehendak rakyat tentu tidak akan dapat menyerahkan kuasa kepada pihak ketiga begitu saja, apalagi setelah rakyat Turki mengamanahkan kuasa pada AKP melalui kotak suara secara mutlak (lebih dari 50%), sementara gerakan Gulen tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya. 

Dalam sistem demokrasi, tidak dapat diterima jika ada sebuah negara dalam negara. Kerajaan berpendapat bahawa seharusnya Kumpulan Gulen (yang lebih mirip Parti) jika memang mencari pihak berkuasa perlu membentuk parti politik rasmi dan terbuka yang akan dapat mengambil bahagian dalam pilihan raya secara demokratik. Dan melaluinya meminta mandat daripada rakyat Turki.

Selama pemerintahan AKP sepuluh tahun terakhir ini, kumpulan Gulen mengalami hari-hari terbaiknya. Padahal, sebelum kenaikan Erdogan, banyak puak sekular berusaha melabeli kumpulan Gulen sebagai kumpulan pengganas, sebelum akhirnya perdana menteri ini menghalang perkara tersebut dengan mengubah undang-undang anti keganasan.

Keputusan kerajaan untuk menutup pusat-pusat pendidikan swasta sebenarnya tidaklah dimaksudkan untuk menyasarkan kumpulan tertentu. Itu adalah sebahagian kecil daripada reformasi komprehensif untuk mengubah sistem pendidikan secara general, yang diberi nama gerakan FATIH. Gerakan yang intinya adalah mengatasi kekurangan pengajar pendidikan negara dan sekaligus mengurangkan beban kos pada banyak keluarga tanpa mengorbankan kualiti dan mutu pengajaran. 

Namun, memang yang paling resistan terhadap dasar ini adalah kumpulan Gulen. Hal ini adalah aneh, mengingat pada tahun 1997 apabila tentera melakukan kudeta terhadap pemerintahan parti Refah, Fethullah Gulen sendiri yang menyarankan agar swasta menyerahkan tanggung jawab pengurusan universiti dan sekolah kepada kerajaan.. Namun mengapa kumpulan ini baru sekarang membela pengswastaan ​​sekolah bahkan seolah-olah hal ini adalah masalah hidup atau mati bagi negara?

Sikap Fethullah Gulen, sungguh sangat bertolak belakang dengan waktu ketika perahu Mavi Marmara yang berbendera Turki tergabung dalam Freedom Flotilla belayar ke Gaza dalam rangka menembusi benteng Israel pada tahun 2010. Beliau menyatakan bahawa pihak penganjur (termasuk negara penyokongnya) perlu berkoordinasi, tunduk dengan kekuatan dan peraturan kerajaan tempatan, yang jelas-jelas hal ini merujuk pada Israel dan bukan pada pemerintahan Gaza. 

Hal ini selaras dengan falsafah Gulen yang menyatakan bahawa tidak ada yang berhak bekerja di luar kerangka kekuatan penguasa tempatan. Mengapa ia sekarang justru menyokong habis-habisan bekerja di luar kerangka politik pemerintah yang berkuasa?

Sangat penting bahawa kerajaan mencari jawapan untuk soalan Kurdi demi masa depan Turki. Sementara Erdogan mungkin lebih suka 'main campur tangan tentera' berbanding penyelesaian politik (mengutip istilah dari kumpulan Gulen), tapi itu tidak bermakna suatu sikap yang a-nasionalistik dalam mencari penyelesaian dan menentukan langkah, seperti yang didakwa Gulen. 

Justeru mungkin tindakan campur tangan tentera boleh dikatakan sangat patriotik.

Partai Politik dan Kelompok Sosial

Parti-parti politik cenderung lebih telus daripada kumpulan agama yang mengkuduskan pemimpin mereka dan mematuhi mereka secara membabi buta. Hal yang tidak masuk akal untuk menuduh presiden yang terpilih secara demokratik dan selalu diawasi kerjanya oleh parlimen dengan mengatakan mempunyai kecenderungan diktator atau kuku besi. 

Kumpulan Gulen juga telah menuduh kerajaan menutup mulut media. Padahal dalam stesen televisyen yang bergabung pada kerajaan sekalipun, ada individu yang secara terbuka dan bebas mengkritik dasar kerajaannya, tidak seperti televisyen milik Gulen, yang tidak pernah dan seolah-olah tidak akan pernah menyiarkan berita kritis terhadap pergerakan atau dasar pemimpinnya.

Tidak ada asas untuk menuduh kerajaan sangat pro-Iran. Hal ini jelas kelihatan dalam pendekatan yang benar-benar bertentangan antara Ankara dan Tehran berkaitan dengan isu Syria. Justru sebaliknya, yang harus dipersoalkan adalah hubungan antara kumpulan Gulen dengan Amerika Syarikat. Mengapa Fethullah Gulen memilih untuk tinggal dan menetap di Pennsylvania daripada kembali ke tanah airnya?

Di tengah kritikan dan suasana saling tuding, ada hikmah yang dapat kita petik bahawa kerajaan ada kalanya masih mengalami ketidakseimbangan dalam memberi perhatian kepada keperluan elemen-elemen masyarakat, akibat terkurasnya tenaga birokrasi yang selalu diawasi kerjanya oleh parlimen. Sementara kita juga harus memahami bahawa kumpulan-kumpulan sivil ini mempunyai sifat terbatas dalam peranan mereka di ranah politik dan kebijaksanaan awam. Atau konflik melintang mahupun menegak sering disebabkan oleh masalah-masalah muncul di seputar komunikasi yang mampet seperti ini.

Jika perbezaan pendapat ini tidak akan ditangani dan masing-masing pihak tetap tidak setuju untuk bekerja dalam ranah masing-masing, konflik domestik antara kumpulan sivil dan parti politik ini tidak akan pernah berakhir. Hal ini terdedah dimanfaatkan oleh pihak luaran. Demi keselamatan Turki ke depan, menjadi sangat elegan jika kerajaan Erdogan pun mula menyusun, mengetatkan hubungan dengan pihak-pihak luar yang sesungguhnya mempunyai agenda ekspansionis-predatoris. 

Sudah menjadi tugas AKP dituntut untuk terus kreatif mencari hubungan dengan negara alternatif yang lebih mendatangkan kemaslahatan bangsa Turki jangka panjang.

(Ibnu Hasyim/Sumber. AlJazeera. Middle East Monitor)

Bagaimana PAS Nak Sokong Pakatan Dr M Yang Halang Hudud? Ini Buktinya..


PADA 15 Julai 1994, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah secara rasmi menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (EJKSII 1993) kerana menganggap ia adalah undang-undang yang zalim. 

Dr Mahathir mengirimkan surat rasmi kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memaklumkan pendirian Keajaan Pusat terhadap perlaksanaan hukum syariat di Kelantan. Terdahulu, pada 8 Jun 1994, Menteri Besar Kelantan telah menyerahkan surat rasmi Kerajaan Kelantan kepada Perdana Menteri untuk memohon kebenaran perlaksanaan syariah di Kelantan.

Semenjak PAS memerintah Kelantan pada Oktober 1990, PAS telah menyatakan komitmennya untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau lebih terkenal dengan hukum hudud. Pada 18 Oktober 1991, sebuah Jawatankuasa Semakan dan Perlaksanaan Undang-undang Negeri Kelantan telah ditubuhkan untuk menggubal undang-undang syariat di negeri tersebut. 

Setelah melalui pelbagai peringkat penggubalan, pada 13 Ogos 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf undang-undang hudud tersebut. Ia kemudiannya diseminarkan kepada pelbagai pihak, termasuk parti-parti pembangkang. Akhirnya, pada 25 November 1993, Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan oleh DUN Kelantan. 

Pada 15 Mei 1994, Sultan Kelantan telah memperkenankan enakmen ini untuk dilaksanakan. Ekoran kelulusan EKJSII 1993, Dr Mahathir pada 25 November 1993 telah mempertegaskan bahawa Kerajaan Pusat akan mengkaji undang-undang tersebut sama ada menepati syariat atau tidak. Pada 3 Mac 1994, dalam satu ucapan di Nilam Puri, Presiden Umno itu secara terbuka menolak EJKSII 1993 kerana didakwa tidak adil. 

Media massa pada 4 Mac 1994 melaporkan ucapan Dr Mahathir yang menyifatkan "hudud PAS tanpa ijtihad" dan "hukum hudud PAS tidak Islamik." Dr Mahathir juga dilaporkan mendakwa undang-undang yang digubal oleh PAS itu adalah untuk kepentingan politik PAS. 

Kerajaan Pusat menurut laporan akhbar akan menubuhkan badan khas yang melibatkan pakar-pakar agama dan undang-undang untuk mengkaji EKJSII 1993.
Dengan sikap keras Perdana Menteri yang bertegas untuk tidak membenarkan Kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah tersebut serta menuduhnya sebagai "Hudud PAS," pada 21 Mac 1994, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengunjungi Pejabat Perdana Menteri dan menyerahkan salinan enakmen tersebut kepada Dr Mahathir.

Apabila Sultan Kelantan memperkenankan enakmen tersebut pada 15 Mei 1994, Dr Mahathir pada keesokkannya mempertegaskan sikapnya untuk tetap menolak hudud. Pada 8 Jun 1994, Menteri Besar Kelantan menghantar permohonan kepada Perdana Menteri untuk membenarkan Kelantan melaksanakan EJKSII 1993.

Tetapi pada 15 Julai 1994, Dr Mahathir secara rasmi bukan sahaja menolak perlaksanaan hudud yang didakwa zalim itu, tetapi mengugut untuk mengambil tindakan ke atas Kelantan jika berkeras mahu melaksanakannya.

Itulah bukti Dr Mahathir begitu keras menghalang perlaksanaan 'hudud'. Bagaimana PAS nak diharapkan untuk menyokong tindakannya?
(Sumber: Mohd Fadli Ghani Head, House of Resources, Pusat Penyelidikan PAS 15 Julai 2016)

“Saya tak percaya pada kuasa lebih tinggi berbanding kuasa rakyat" -Erdogen


ISTANBUL – Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau bersedia untuk mati demi mempertahankan Turki daripada dimusnahkan oleh pihak yang cuba merampas kuasa semalam.
Katanya, pihak berkenaan perlu ‘membayar’ harga yang mahal di atas apa yang mereka lakukan bagi memusnahkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi itu.
“Kami tidak akan mening­galkan negara ini kepada penjajah. Bendera saya adalah maruah saya, negara ini juga adalah maruah kepada saya dan kerana itu saya sanggup mati. Saya bersedia mati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu siaran televisyen sejurus tiba di Istanbul selepas bergegas pulang daripada percutian berikutan rampasan tersebut malam kelmarin.
Erdogan yang memerintah Turki sejak tahun 2003 berjaya melakukan perubahan besar di Asia Barat dalam beberapa tahun ini.
Beliau dalam pada itu turut menggesa orang ramai supaya bangkit menentang rampasan kuasa berkenaan.
“Turki tidak akan dipe­rintah oleh tentera. Saya percaya rancangan untuk merampas kuasa tidak akan berjaya. Saya menggesa penduduk Turki supaya berkumpul di dataran awam dan beberapa lapangan terbang.
“Saya tidak percaya kepada kuasa yang lebih tinggi berbanding kuasa rakyat,” katanya di laman sosial, Facetime pula. – Agensi
 Cubaan Rampas Kuasa, Pelajar Malaysia Di Turki Ketakutan
 ASKAR Turki di Dataran Taksim, Istanbul. - Foto AFP
  Sekurang-kurangnya 60 orang maut di Ankara dalam cubaan rampasan kuasa di Turki yang bermula semalam.

Agenda Kita 'hendak ubah perangai kerajaan' -Presiden PAS


BERIKUT adalah transkrip penuh soal jawab Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama wartawan mengenai beberapa isu semasa di kediaman beliau, Kampung Rusila pada 15 Julai 2016.

Wartawan: Tun Dr Mahathir umum hendak tubuh parti baharu. Apakah PAS akan bergabung dengannya?

Tuan Guru Abdul Hadi: Tubuh parti baharu ini hak masing-masing dalam negara demokrasi, termasuklah jika kerajaan benar parti komunis pun boleh tubuh, jika kerajaan benar parti Komunis tetapi diluluskan oleh kerajaanlah. Kita tidak boleh halang, dari segi kitanya kita bekerjasama mengikut sempadan kitalah. 



Kerjasama dalam perkara yang adil, perubahan yang baik, jangan ‘sentuh’ (halang) Islam. Dasar PAS, matlamat perjuangan PAS, agenda perjuangan PAS jangan disentuh. Itu jika ada orang cuba halang kita akan lawan termasuk Umno ke, DAP ke, PKR ke, Tun Mahathir ke siapa? Itu sempadan dia. 

Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang akan dibentangkan itu menjadi ‘kayu ukur’ yang sangat baik. Kita tengok dia sokong atau pun tidak, Rang Undang-Undang ini untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah.



Itu hak orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Kalau ada yang menentang, kita (PAS) lawanlah. Termasuk Umno atau DAP atau PKR…itu kayu ukur yang paling dekat dan terkini.

Datuk Seri, Tun Mahathir kata dia tubuh satu pakatan baharu yang akan disertai oleh PAS, PKR dan PAN. Pendirian PAS macam mana, adakah akan turut serta pakatan baharu ini? 

Pendirian kita adalah mengikut sempadan parti kita. Kita tak terburu-buru dan kita akan bincang secara terperinci. PAS ada Jawatankuasa Politik, Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak (MSU). Jawatankuasa PAS Pusat itu secara umum, Jawatankuasa Politik itu dari segi strategi, Majlis Syura Ulamak pula melihat batas sempadan Islam. 

Saya tak boleh hendak kata lagi sebab parti (baharu) itu belum ditubuhkan lagi, dia punya dasar dan matlamat belum ditengok lagi, kena tengok dahulu. Terlalu awal saya hendak buat keputusan. 


Adakah Datuk Seri setuju dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS mengenai ‘gencatan senjata’ itu?


Gencatan senjata selama-lama, kita tidak pernah ‘tembak’ orang tapi orang yang tembak kita. PAS ada serang siapa dia, tak ada, orang lainlah. Desakan itu jangan serang PAS sudahlah.

Maknanya, apakah Datuk Seri bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden itu untuk PAS kembali berbaik dengan parti pembangkang lain?

PAS bukan sahaja berbaik dengan pembangkang termasuk dengan kerajaan, berbaik dengan semua. PAS tetap menjadi pembangkang tetapi pendekatan kita berbaik dengan semua. 

Jadi adakah PAS akan tetap dengan blok ketiga dan tidak termasuk dengan Pakatan Harapan?


Yang terkini, kita akan terus dengan blok yang sedia ada yang kita buat itu. Terus masih dengan blok ketiga, yang blok lain kita tidak tahu lagi. Belum ditubuhkan lagi dan benda yang andaian tidak boleh hendak buat penentuan. Banyak benda andaian, tubuh parti, jadi tak jadi kita tak tahu lagi, kerajaan lulus atau pun tidak. 



Dan tak ada guna kita beri pandangan benda tak lulus, kita tak tahu. Tengoklah, dasar dia, matlamat dia dan kena buat perbandingan dengan batas-batas PAS yang ada sempadan dia. 

Dengan kata lain, PAS lebih selesa sebagai parti yang bersendirian?

PAS ada jati diri sendiri dan sebarang kerjasama tidak menghalang perjuangan Islam dan tidak merugikan Islam dan umat Islam dan semua rakyat. Agenda kita bukan sahaja hendak ubah kerajaan tetapi hendak ubah perangai kerajaan. Ada kalangan pembangkang ini dia hendak ubah kerajaan sahaja, perangai tak ubah. 

Jadi Datuk Seri setujulah dengan parti baharu yang hendak ditubuhkan itu dan tujuan utama dia hendak menjatuhkan PM?

Saya tak boleh kata lagi kerana belum ditubuhkan lagi. Dia punya dasar, agenda dia tak tengok lagi. Kena tengok dululah. Terlalu awal saya nak buat keputusan. 


Datuk Seri, mengenai kenyatan ahli parlimen yang mengatakan duit raya sebagai ‘dedak’?

Saya rasa orang Islam beri duit itu kepada kanak-kanak kecil sahaja. RM1, RM2 tetapi yang beri ‘angpau’ ini beri kepada orang besar-besar. Mungkin ada juta pun kita tak tahu, beri kepada orang yang kelas tinggi. Kita beri kepada kanak-kanak sahaja. Kanak-kanak pun bukan rasuah, kanak-kanak mengundi pun tak boleh lagi, beli coklat sahaja. Kita semua tahu dan masyarakat kita beri kepada kanak-kanak, budak-budak dan tidak beri duit kepada orang tua, malulah.



Orang tua kita jamu sahaja, itu adat kita. Tetapi, kanak-kanak itu kita beri untuk menyukakan mereka. Beri duit kepada kanak-kanak tidak ada kepentingan lain melainkan untuk mendidik mereka dengan kasih sayang dan buat baik, hendak mengundi pun tak boleh lagi. 

Bagaimana dengan survival parti-parti pembangkang untuk sampai ke PRU14. Adakah dia akan kuat atau bagaimana?


Saya yakin pada Quran sebut tidak ada kerajaan yang kekal dalam dunia melainkan kerajaan Allah Taala sahaja. Perubahan mesti berlaku lambat laungnya. Cuma kita mahu perubahan yang baik dan bukan perubahan yang tak ada makna dan tak ada erti pada rakyat. 



Datuk Seri, jika Datuk Husam dia menyertai Parti Amanah Negara (PAN), adakah dia akan menggugatkan PAS?



Pilihan Raya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menjadi ukuran yang sangat baik. Amanah (PAN) adalah Dewan Himpunan Penyokong DAP. Jika kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), PAN pula Dewan Himpunan Penyokong DAP. 



Yang bekerja di PRK baru-baru ini DAP. Dan kita punya ‘post mortem’ pun kita dapati undi-undi itu pengundi orang DAP semua. Undi Melayu sokong PAN pun peratusnya kecil sangat dan tidak menggugat PAS. Bahkan, menjadi bebanan kepada mereka.

Cadangan Tun Dr Mahathir untuk tubuh pakatan baharu itu. Adakah Datuk Seri yakin Tun Mahathir mampu meraih sokongan yang padu daripada rakyat?

Saya kena baca secara teliti cadangan itu. Saya tengok awal-awal lagi sudah dalam keadaan yang kelam kabut. PAS tidak akan naik ‘bahtera’ yang kelam kabut. Apatah lagi kita dapati kerjasama dengan parti-parti yang menentang perjuangan kita, menentang Islam. -HARAKAHDAILY 15/7/2016

Artis Sahara Yaacob: Liku-liku Hidup Sedih. Akan Kembali Dengan Wajah Baru.. Syabas!

 Lebih sedekad meninggalkan dunia seni, Sahara membuat kemunculan semula menerusi sebuah konsert yang bakal diadakan pada Ogos tahun depan.
HALAMAN HIBURAN
Sahara Yaacob bahagia tanpa glamor
SEBAIK kaki melangkah masuk ke teratak milik penyanyi popular era 80-an, Sahara Yaacob atau digelar Tina Turner Malaysia, kedengaran riuh rendah suaranya menyambut kedatangan penulis dan jurugambar. Biarpun kediamannya itu pada asalnya hanyalah sebuah bilik stor yang dijadikan tempat berteduh sejak 10 tahun lalu, tidak sekelumit perasaan malu terukir pada wajahnya.
Bagi Sahara, bilik stor dibina bersambung dengan kediaman arwah kakaknya pada tahun 1985 untuk menyimpan barangan peribadi itu umpama istana meskipun pada pandangan kasar orang lain, ia tidak sempurna. Tanpa wang ringgit dan barangan mewah lain yang dimiliki ketika zaman kegemilangannya, akui dia, kehidupan kini terasa lebih lengkap dan tenang.
Hari itu dalam pertemuan kami, penyanyi yang terkenal dengan imej rambut kerinting menggerbang, solekan tebal berkilau dan pakaian seksi kelihatan cukup berbeza.
Apa yang pernah penulis tatap di dada media massa atau kaca televisyen ternyata tidak melekat pada sosok wanita kelahiran Kuala Lumpur itu.
Sahara yang berdiri di hadapan kami kelihatan seperti wanita separuh usia biasa, selesa berjubah dan berselendang.
Bintang glamor Sahara telah pudar, malah sengaja ditinggalkan. Di bilik stor berkenaan wanita berusia 60 tahun itu menumpahkan cerita hidupnya pada masa lalu dan kini.
“Saya jenis manusia dicampak ke mana sekalipun boleh hidup. Walaupun pada mata orang lain kediaman ini tidak sempurna, saya tidak kisah kerana kehidupan sekarang cukup tenang. Dahulu saya ada semuanya, tetapi kehidupan tidak gembira. Adakalanya, apabila pulang daripada persembahan pentas saya sedih dan menangis sendirian sebab terasa sunyi.
“Waktu senang, sukar untuk dapat sahabat sejati dan orang yang sayangkan saya sepenuhnya. Sebab industri hiburan bukan semuanya indah, ada yang tikam daripada belakang dan ada berlakon dengan baik, umpama kehidupan fantasi. Saya sendiri tidak tahu mana yang benar dan palsu,” kata Sahara mengimbas kembali kenangan lalu.
Justeru, apabila bernikah dengan suami kelimanya, seorang jejaka Arab, Hosam Mohamed yang berusia 20 tahun lebih muda daripadanya pada tahun 2002, beliau mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi. Pada tahun sama, Sahara dan suami berhijrah ke Mesir selama lima tahun sebelum kembali ke Malaysia. Pasangan ini bercerai dua tahun lalu.
Berhenti menyanyi dan tinggal di Mesir memberi kebebasan serta kehidupan normal yang tidak pernah dirasai sebelum itu. Masakan tidak, beliau mula menjadi perhatian masyarakat sejak kecil apabila mula menyanyi pada usia sembilan tahun.
“Selepas lari daripada dunia glamor, baru saya sedar betapa seronoknya jadi orang biasa dan jalani kehidupan normal. Itulah yang saya hilang sepanjang jadi penyanyi. Sewaktu di Mesir, saya bebas untuk memakai pakaian mengikut keselesaan tanpa perlu memuaskan hati pihak lain. Tidak perlu kelihatan cantik dan paling penting bebas menjadi diri sendiri.
“Orang biasa tidak tahu betapa bertuahnya mereka berbanding seorang artis. Artis sentiasa menjadi perhatian daripada hujung rambut hingga hujung kaki, jika tidak kuat boleh berdepan dengan tekanan emosi. Apapun saya bersyukur dengan jalan kehidupan diatur Allah, semuanya cukup cantik,” tuturnya yang berkahwin kali pertama pada usia 15 tahun.
Tidak mampu beli ayam, ikan
Melihat sejarah hidup anak kesembilan daripada 10 adik-beradik itu, banyak pahit berbanding manis telah dilaluinya. Orang tersayang meninggal dunia satu persatu termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya. Perkahwinan sebanyak lima kali tidak kekal lama, malah tidak dikurniakan cahaya mata kerana beliau mempunyai masalah rahim terbalik.
Aset dikumpul ketika menyanyi juga telah habis dijual ketika di Mesir untuk membiayai bil perubatan arwah ibunya, Umi Kalsom Mohd. Nusi yang meninggal dunia lima tahun lalu pada usia 90 tahun. Kini, peninggalan harta hanyalah sebuah bilik stor, keratan akhbar zaman kegemilangan serta anak-anak saudara buat menumpang kasih.
Disebabkan tidak bekerja dan tiada pendapatan, beliau menyara kehidupan melalui belas ihsan anak-anak saudara. Mi segera dan oat menjadi makanan ruji sejak dua tahun lalu akibat kesempitan wang.
“Saya sudah biasa makan mi segera dan oat. Salah satu sebabnya, gigi tidak boleh mengunyah makanan keras dan kedua saya tidak mampu untuk membeli makanan sempurna kerana tiada wang. Makan mi segera lebih jimat, harga ayam dan ikan mahal, saya tidak mampu. Kadangkala anak saudara turut membantu, tetapi mereka pun bukan orang senang,” ujarnya yang mempunyai penyakit asma, darah tinggi, batu karang dan gout.
Sungguhpun begitu, beliau tidak pernah merungut melalui dugaan hidup, sebaliknya bersyukur kerana secara tidak langsung ujian tersebut mematangkan serta mendekatkan dirinya dengan Allah. Jika dikenang semula kehidupannya waktu dahulu, beliau cukup sarat dengan kontroversi. Bukan sahaja kerana pakaian seksi, tetapi juga pernah digam sebuah stesen televisyen kerana aksi berani matinya di atas pentas persembahan sehingga digelar simbol seks.
Tidak terhenti di situ, beliau juga pernah menggegarkan industri hiburan dengan kontroversi menyertai sebuah pergerakan diharamkan pada tahun 1983, selain cedera parah akibat ditetak seorang ahli perniagaan di kawasan hutan Gombak, Kuala Lumpur pada tahun 1992.
“Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Semuanya datang dan pergi, tiada yang kekal. Mungkin sebab itu sebelum ini saya lebih selesa untuk tidak muncul di media massa kerana dalam proses merawat, mengenal diri sendiri dan mencari hala tuju hidup.
“Arwah ibu, tidak suka saya jadi penyanyi, apatah lagi berpakaian seksi. Dahulu saya berpakaian seksi untuk mendapat banyak tawaran nyanyian. Disebabkan jadi penyanyi, pakai seksi dan bekerja di kelab malam, persepsi orang luar adalah saya wanita jahat serta liar. Namun, jiwa saya tidak jahat, tidak pernah melupakan Allah,” katanya yang mula berhijab sejak 14 tahun lalu.
Konsert terakhir
Hasil carian imej untuk Sahara Yaacob bahagia tanpa glamor Sahara bersama salah sebuah albumnya berjudul Jawapan dalam versi kaset yang masih berada dalam simpanannya.
Selepas lebih sedekad hilang secara mengejut daripada dunia seni, kini penyanyi yang pernah popular melalui lagu Peronda Jaket Biru itu bakal membuat kemunculan semula dengan sebuah konsert pada Ogos tahun depan.
Bagaimanapun, beliau tidak berniat untuk aktif seperti dahulu, sebaliknya mahu mengadakan konsert sebagai persembahan selamat tinggal secara rasmi kepada peminatnya.
“Dahulu saya hilangkan diri secara mengejut dan tidak perasan mempunyai ramai peminat. Selepas berfikir panjang dan jika diizinkan Allah saya mahu mengadakan sebuah persembahan yang sempurna sebagai ucapan selamat tinggal buat peminat. Mungkin itu bakal menjadi persembahan terakhir sebelum bersara terus sebagai penyanyi,” katanya.
Sebelum itu, sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, beliau memerlukan masa selama setahun untuk melakukan persiapan. Baginya tiada erti jika melakukan persembahan yang tidak memberi impak kepada penonton.
“Saya mahu membuat persembahan terakhir yang tidak akan dilupakan peminat. Disebabkan sudah lama tidak menyanyi, saya perlu bersiap sedia daripada segi vokal dan stamina. Saya perlu kembali bersenam dan paling penting membetulkan kembali gigi palsu, jika tidak memang tidak boleh menyanyi. Apapun saya tidak lagi muncul dengan imej seksi, tetapi sopan sesuai dengan usia sekarang,” tuturnya.
Berbicara tentang konsert, beliau amat berharap dapat bekerjasama dengan orkestra di bawah pimpinan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail. Sepanjang kerjayanya, beliau tidak pernah mengadakan persembahan dengan iringan orkestra. Justeru, bagi konsert terakhir, beliau mengharapkan impian tersebut menjadi kenyataan.
“Saya teringin buat persembahan dengan iringan orkestra pimpinan Datuk Mokhzani. Pihak saya belum berbincang dengannya lagi, tetapi harap beliau akan bersetuju,” luahnya yang turut mendapat bantuan daripada rakan pemuzik untuk konsert tersebut.
Dalam pada itu, sejak kisah duka Sahara didedahkan di media massa, rezekinya mencurah-curah apabila menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Karyawan, Seniman, Yayasan Artis 1 Malaysia dan Pusat Zakat Selangor yang dijangka akan memberi bantuan daripada segi belanja bulanan kepadanya bermula bulan depan.
Bukan itu sahaja, beliau juga mendapat bantuan dalam bentuk kediaman daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Ogos ini.
“Alhamdulillah, inilah pertolongan Allah. Saya percaya setiap dugaan dan kejadian ada hikmahnya. Walaupun tinggal seorang diri, tanpa disangka hari ini saya menerima kasih sayang dan perhatian yang datang entah dari mana. Terima kasih, hanya Allah dapat membalas jasa semua yang menghulurkan bantuan,” kata Sahara menggulung bicara. (Kosmo!)