Tuesday, January 31, 2017

Hari Ke 2, Ribuan Demo Di Beberapa Airport Utama AS.
















 AFP - SEORANG penunjuk perasaan memegang sepanduk menentang larangan imigresen Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles kelmarin.

NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin berdepan protes besar-besaran dan kemarahan seluruh dunia berhubung la–rangan perjalanan kontroversi terhadap penumpang dari tujuh negara Islam sekali gus cabaran getir pertama beliau sejak 10 hari mengambil alih pentadbiran negara.
Larangan itu dikecam oleh sekutu-sekutu AS, mencetuskan kekeliruan tentang pelaksanaannya dan merangsang parti lawan, Parti Demokrat untuk mencari jalan menjatuhkan Trump.
Malah, langkah tersebut turut mewujudkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli politik Parti Republikan sendiri.
Terdahulu, empat hakim persekutuan bertindak menghentikan pengusiran tersebut manakala kira-kira 300 orang dihalang atau ditahan seluruh dunia. Peguam-peguam hak asasi AS memberi amaran akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung.
Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri beberapa lapangan terbang utama AS pada hari kedua berturut-turut sebagai tanda sokongan kepada imigran dan pelarian yang terjejas akibat sekatan perjalanan tersebut.
“Saya berharap kami dapat melalui tempoh sukar ini,” kata Saif Rahman, warga AS kelahiran Iraq yang diminta menjalani pemeriksaan saringan tambahan selepas tiba di Lapangan Terbang Dulles, luar Washington.
Sementara itu, peguam-peguam yang diiringi jurubahasa membuka kios di lapangan terbang dan cuba untuk membebaskan penumpang yang ditahan semasa ketibaan.
Kebanyakan daripada mereka masih berada dalam pesawat ketika Trump menandatangani perintah tersebut.
Perintah Trump itu menyekat ketibaan semua pelarian selama sekurang-kurangnya 120 hari dan melarang rakyat Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen daripada memasuki AS selama 90 hari. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails