Sunday, January 29, 2017

RUU 355 Terus Menjadi Sasaran Untuk Ditolak.. Mengapa? -Abd Hadi.



RUU 355 terus menjadi sasaran untuk ditolak oleh sebahagian manusia di Malaysia sekarang, walaupun tujuannya khusus bagi penganut Islam sahaja untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang dihina dizaman penjajah dahulu setelah mereka merampas negara dan kuasa Raja-Raja yang melaksanakan Islam di zaman itu. 

RUU 355 juga menepati kedudukan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Malaysia dan konsep kebebasan beragama. Kajian para orientalis yang mengkaji Islam dan masyarakatnya menegaskan bahawa rahsia kemajuan umat Islam termasuk di rantau ini kerana berpegang dengan ajaran Islam yang sebenarnya secara menyeluruh termasuklah dalam aspek pentadbiran dan hukum syariat yang adil sehingga mewujudkan keamanan dan keselamatan, seterusnya berjati diri dengan iman, ilmu dan akhlak mulia.

Negeri Melaka yang bersejarah dicatatkan sebagai tempat pertemuan budaya dan ekonomi serantau dan banyak catatan dipadamkan dalam Sejarah Nusantara, sebahagiannya masih tersimpan dalam arkib di negara-negara  barat secara bertulis. Bahasa Melayu bertulisan huruf Al-Quran yang ditambah dengan huruf yang tidak mampu ditampung oleh huruf Bahasa Eropah yang dipaksa pada hari ini masih tetap ada pengaruhnya di seluruh rantau ini termasuklah Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Kaum Cham di Kemboja dan Vietnam. 

Ini menujukkan betapa pengaruh tamadun Islam itu bertapak sehingga segala surat perjanjian dengan semua pihak ditulis dengan Bahasa Melayu dan hurufnya. Barat yang datang menjajah melaksanakan agenda menghapuskan pengaruh Islam dalam masyarakat serantau dengan niat yang jahat sehingga hari ini. 

Walaupun mereka sudah keluar dan kita telah merdeka pada sebutan dan tulisannya, sedarlah bahawa kemerdekaan itu dirancang dan diatur supaya kita terus lemah dan bergantung kepada mereka dalam semua perkara. Dalam masa yang sama, mereka meninggalkan saki baki pengaruh melalui pendidikan dan pelajaran yang membentuk jati diri anak negeri yang dijajah supaya menjadi hamba kepada mereka secara halus, seterusnya boleh menjadi khadam meneruskan agenda yang diatur.

Penjajah itu telah mengatur strategi samada dijadikan rantau ini untuk terus digunakan untuk mendapatkan hasil dan rakyatnya dijadikan khadam atau mereka boleh dipanggil kembali menjadi penyelamat yang jahat dan tidak berperikemanusiaan.

Sedarkah bahawa segala gejala negatif yang berselerak seperti kezaliman sesama sendiri, salahlaku kuasa dan harta negara, merebaknya rasuah, jenayah, maksiat, arak, dadah, judi, pergaulan bebas dan semuanya kerana kelemahan ideologi, teori, undang-undang, sistem dan segala warisan peninggalan penjajah yang dikekalkan. 

Tidakkah sepatutnya kita membuang saki baki peninggalan penjajah bila kita sudah merdeka? Mana yang baik terus dikekalkan, mana yang buruk dibuang dan ditinggalkan.

Islam adalah petunjuk paling sempurna kepada manusia seluruhnya dalam semua urusan dan aspek kejadian kerana Islam ini ciptaan Allah Pencipta seluruh alam. Umat Islam wajib kembali kepada aqidahnya sendiri kecuali kalau aqidahnya sudah batal dan wajib dihidupkan semula secara ilmu dan ikhlas mencari kebenaran sebelum meninggal dunia kerana wawasan kita adalah wawasan akhirat, wawasan selepas mati.

Adapun orang bukan Islam tidak dipaksa menganut Islam, namun mereka mestilah membuat kajian secara jujur sepertimana mereka membuat kajian terhadap teori dan ideologi barat yang juga bukan berasal daripada China dan India. Pembacaan terhadap Islam hendaklah diambil daripada sumber yang asal, bukannya melalui penulisan orientalis barat yang tidak ikhlas terhadap Islam. 

Kalau penulisan orientalis itu menjadi rujukannya, penganut Islam juga boleh menjadi sesat dan salah faham terhadap agamanya sendiri. Sangat malang nasibnya kalau merasa megah kerana merujuk kepada bekas penjajah seperti penyakit yang disifatkan oleh Ibnu Khaldun dalam Kitab Al-Muqaddimah:

"أن المغلوب مولع أبداً بالاقتداء بالغالب" (مقدمة ابن خلدون ص: 73، بترقيم الشاملة آليا)


  • “Sesungguhnya bangsa yang dikalahkan seringkali tertarik dan terpengaruh dengan bangsa yang mengalahkan dan menjajahnya”

Bangsa Jerman dan Jepun yang kalah perang dunia bangkit bersama jatidiri bangsa dan bahasa masing-masing dan kembali menjadi kuasa besar yang tidak bergantung dengan kuasa besar yang mengalahkannya. Dua negara ini disaksikan kembali menjadi kuat.

Kita kembali kepada masalah mereka yang menolak RUU 355 adalah sebenarnya menghalang Islam kembali membangun umat. Mereka menghujahkan bukan tajuk asalnya RUU 355 tetapi mempersoalkan hukum Hudud, Qisas dan Takzir yang termasuk dibawah bidang kuasa negeri.

Sebenarnya, RUU 355 bertujuan memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya ditinggikan kerana kedudukan Islam adalah Agama Persekutuan mengikut Perlembagaan dan agama lain bebas diamalkan. RUU 355 juga dapat memperkenalkan sistem kehakiman Islam secara terperinci dan meluas dan memperkenalkan konsep hukuman bertujuan mendidik bukannya mendera yang khusus bagi umat Islam sahaja.

Ada yang menjadikan adanya dua sistem mahkamah sebagai alasan. Sebenarnya tidak menjadi salah adanya dua sistem mahkamah atau lebih dalam beberapa aspek kerana perbezaan agama dan budaya yang tidak harus dipaksa seperti contohnya undang-undang keluarga adalah berbeza diantara penganut Islam dan bukan Islam, bahkan sesama bukan Islam juga tidak sama agama mereka. 

Peraturan restoran Islam dan bukan Islam juga boleh berbeza kerana hukum halal dan haram yang tidak boleh dipaksa terhadap bukan Islam dan undang-undang pusaka turut berbeza.  Ada juga perkara yang tidak boleh dibezakan undang-undangnya seperti undang-undang jalanraya kerana tidak masuk akal kalau dibezakan. Maka janganlah kita kelirukan akal kerana perkara yang berbeza yang dapat diselesaikan melalui dua sistem mahkamah.

Pelaksanaan Islam juga memberi hikmah kepada semua pihak untuk membuat perbandingan diantara undang-undang Islam dan undang barat dalam perkara menyelesaikan masalah bersama yang tidak dapat diselesaikan seperti kadar jenayah, kemalangan jalanraya yang semakin meningkat dan gejala dadah yang tidak dapat di atasi sehingga kini di seluruh dunia.

Islam bersikap tegas dalam perkara nas iaitu ketetapan Allah dan Rasul yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia tanpa memaksa orang bukan Islam. Namun Islam terbuka dalam isu kemanusiaan seperti hak asasi manusia mengikut fitrah seperti perlindungan terhadap agama, nyawa, keturunan, maruah dan harta sehingga Islam mengiktiraf dalam persamaan undang-undangnya dan membenarkan perbezaan terhadap agama dan adat kaum tertentu. 

Adanya banyak mazhab dalam hukum cabang syariat Islam adalah disebabkan oleh perubahan tempat, masa, dan perbezaan masyarakat. Sejarah perundangan moden banyak dipengaruhi oleh syariat Islam melalui kajian orientalis dan pergaulan dizaman penjajahan apabila mereka menerima banyak kajian para ulama Islam. 

Contohnya, demokrasi moden berubah daripada demokrasi purba sehingga wujudnya pilihanraya, apabila mereka membaca sejarah pemilihan ketua negara dizaman awal Islam. Selain itu juga, teori kalangan ahli falsafah barat untuk menghapuskan peperangan terpaksa menyerah kalah kepada panduan Al-Quran. Terjemahan Al-Quran dijadikan rujukan utama ketika menggubal undang-undang antarabangsa diawal abad yang lalu. 

Al-Quran mengajar bahawa peperangan menjadi tabii manusia dan menjadi wajib bagi menentang pencerobohan yang melampau tetapi jangan melampau dengan menggunakan undang-undang antarabangsa. Perbezaan syariat Islam dengan perundangan moden barat adalah dari sudut aspek rohani (hubungan dengan Allah dan Hari Akhirat), adanya perhitungan dosa dan pahala yang tidak ada pada dasar, konsep dan sistem barat. 

Mereka tidak mengambil contoh pemerintahan Rasulullah S.A.W. yang mengarahkan supaya dibayar diat (ganti rugi) di atas kesilapan tentera Islam terhadap nyawa dan harta musuh dalam satu peperangan. Peristiwa itu berlaku di zaman tidak ada undang-undang antarabangsa seperti hari ini, sebabnya kerana aspek rohani yang tersebut.

Perbandingan di zaman kini adalah peristiwa pesawat MAS ditembak dan hilang, sebelumnya peristiwa pesawat Iran yang ditembak di Teluk, pesawat Libya dan Korea beberapa dekad yang telah berlalu, walaupun ada Mahkamah Antarabangsa dan berbagai-bagai pertubuhan antara negara, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, semuanya laksana sarang labah-labah  sahaja, boleh dirempuh oleh yang besar dan gagah mengikut undang-undang di hutan rimba. 

Kejayaan syariat Islam mewujudkan keadilan untuk semua dan keamanan sejagat kerana kehebatannya yang menawan hati manusia sehingga berjaya menjadikan rantau yang dikuasai Islam di Asia, Utara  Afrika dan Selatan Eropah sebagai tumpuan pedagang dan perkembangan sains dan teknologi yang bermanfaat daripada tamadun Islam yang memberi sumbangan kepada seluruh dunia. 

Kedengkian barat yang melihat kehebatan ini menyebabkan mereka mencetuskan Perang Salib dan Penjajahan Barat setelah mereka mencapai ilmu duniawi yang dicedok daripada tamadun Islam tetapi berkonsepkan sekularisma yang memisahkan cara hidup daripada agama dan mencetuskan imperialisma yang menindas.

Hari ini dunia barat sedang menerima padahnya apabila tercetusnya krisis nilai kemanusian, kemusnahan moral, politik, ekonomi dan sosial tetapi menyalahkan pihak lain khususnya Islam yang menjadi mangsa utama. Sudah banyak kenyataan menunding jari terhadap Islam daripada beberapa tokoh ilmuan dan politik barat.

Maka percayalah bahawa mereka yang menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam adalah khadam upahan yang dilantik di negeri masing-masing yang terperangkap dalam krisis nilai. Mereka boleh menerima negara yang bersih rasuah tetapi boleh kalau pemimpinnya pemabuk, mengamalkan seks bebas dan sebagainya yang lebih besar dosanya daripada rasuah. 

Mereka boleh menerima pemimpin yang bercakap benar dalam mengerjakan maksiat kerana bagi mereka berani berterus terang walaupun mengerjakan maksiat dan meneruskan maksiat yang lebih besar kerana tidak ada konsep bertaubat dalam kefahamamnya. PAS tidak boleh terpengaruh dengan mereka yang terperangkap dalam krisis nilai, apa lagi Islam berbeza menentukan nilai kemanusiaannya.

Islam meletakkan sifat yang menyeluruh terhadap fitrah manusia dari segi nilai baik buruknya merangkumi jasad, akal, roh, individu, keluarga, masyarakat, hubungan dengan Tuhan dan alam sekeliling yang tidak ada dalam teori barat yang mengalami krisis nilai sehingga terserlah tanda kejatuhannya.

Perbezaannya, Islam menjadikan segala amalan baik dan buruk laksana hubungan mata rantai yang tidak berpisah. Allah telah menyebut sebab keruntuhan tamadun terdahulu yang dipandang hebat pembangunan kebendaannya:

 أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14) الفجر.


  • “Apakah kamu tidak melihat (dengan mengambil iktibar) betapa Tuhan lakukan terhadap kaum Aad, kotanya bernama Iram punya bangunan yang teguh dan tinggi yang tidak pernah dibangunkan sepertinya di negeri lain. Kaum Thamud yang dapat membina bangunannya di batu besar dan bukitnya dilembah kediaman mereka. Firaun (Raja Mesir) yang mempunyai bala tentera ramai jumlahnya. Mereka semuanya melampau di negeri masing-masing, mereka juga banyak melakukan kejahatan dalam negeri masing-masing. Lalu Tuhanmu timpakan ke atas mereka hukuman azab yang membinasakan semuanya. Sesungguhnya Tuhanmu sentiasa melihat dengan nyata (apa-apa yang dilakukan).”


Sangat malang terhadap kalangan yang tidak senang dengan pertemuan dua parti UMNO, PAS dan NGO Islam kerana perbincangan perkara RUU 355, tetapi merasa senang kalau pertemuan DAP, MCA, GERAKAN dan sebagainya? Umat Islam sentiasa dianggap salah bila adanya sebarang usaha untuk melaksanakan Islam walaupun atas kepentingan bersama demi menyelamatkan semua.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
28 Rabiul Akhir 1438H / 27 Januari 2017M – HARAKAHDAILY 27/1/2017

4 comments:

Anonymous said...

Kalau penting sgt ruu355 knp tangguhkan sampai 2kali? Pastu terpekik terlolong salahkan org lain. Hadi dari Parti Ajaran Syiah perosak Islam, pemecahbelah ummah dan masyarakat. Mereng betul.

Anonymous said...

Mesri lah ada strategi..sebab jalau dibentang masa tu..ada wakil rakyat islam (khadam DAP) yg masih xmenyokong..nnt xcukup undi..TGHH bagi peluang pada mereka yg menentang masa yg cukup utk memikir mengkaji meneliti...nnt cakap xdiberi ruang utk perkara tersebut...jadi, tunggu lah masa nya dibentang nanti ye...insh Allah..moga dipermudahkan..awk pun kene tolong jugak lah utk berkempen mengenai RUU 355 ni..bukan apa..ia utk kebaikan ummat seluruhnya..selagi kita tak cuba kita tak tahu..mana lah tahu nnt bila dah diupgrade undang2 islam tu, org islam akan takut buat salah lagi..akhirnya kita akan jadi ummat yg baik..insha Allah..jgn sangka buruk2 ye wahai teman..sebagai org islam saya syg awk. Xpayah la nak ikut pemimpin yg lari dari perjuangan islam tu, terbukti dah mereka tiada asas perjuangan.mereka hanya nk jawatan.ingatlah wahai teman..akhirnya islam yg akan menang..itu janji Allah.tuhan yg menjadikan kita, yg sentiasa melihat perilaku hambanya..bersabar dan berdoalah supaya islam menang.moga2 semua wakil rakyat islam menyokong usaha ini..

Anonymous said...

Makin lama ditangguh ruu355 ni lg jelas orang nampak penipuan lebai2 penunggang agama Pas ni.

Hudud dah lebih 65thn habuk pun tarak. Ruu355 bkn hukum Allah. Hukum ciptaan manusia dgn menaikkan denda duit. Org miskin tetap kena. Org yg kaya mcm lebai2 jual agama akan terlepas sbb boleh kawtim sgn duit.

Anonymous said...

Parti Ajaran Syiah..PAS yg sesat dan menyesatkan org melayu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails