Wednesday, January 25, 2017

Trump Akan Halang China Rampas Perairan Antarabangsa.


AGENSI - KAPAL induk AS, USS Stennis (kiri) dan USS Ronald Reagan melakukan rondaan di Laut China Selatan pada tahun lalu.


WASHINGTON – Pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump berjanji bahawa AS akan menghalang China daripada merampas wilayah di perairan antarabangsa di Laut China Selatan, tindakan yang disifatkan media rasmi China sebagai memerlukan Washington untuk berperang.
Komen yang diutarakan pada satu taklimat oleh jurucakap White House, Sean Spicer kelmarin itu adalah berbeza dengan pendirian berhati-hati AS selama ini dalam menangani tuntutan wilayah secara agresif oleh China di Asia.
Kenyataan itu juga dikeluarkan beberapa hari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada Jumaat lalu.
“AS akan memastikan bahawa kami melindungi kepentingan kami di sana (Laut China Selatan,” kata Spicer ketika ditanya sama ada Trump bersetuju dengan kenyataan calon Setiausaha Negaranya, Rex Tillerson pada 11 Januari lalu.
Tillerson berkata, China sepatutnya tidak diberi laluan ke pulau-pulau yang dibinanya di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
“Persoalannya, adakah pulau-pulau ini sebenarnya berada di perairan antarabangsa dan bukan milik China, sekiranya benar, kita akan pastikan bahawa kita mempertahankan wilayah antarabangsa ini daripada dirampas oleh sebuah negara,” katanya.
China mengeluarkan kenya­taan balas semalam dengan menyatakan, AS bukannya pihak yang mempunyai pertikaian di Laut China Selatan.
“Kami menggesa AS supaya menghormati fakta, berhati-hati dalam percakapan dan tindakan untuk mengelak daripada menjejaskan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying dalam satu taklimat akhbar di Beijing.
Kenyataan Tillerson turut mendorong media pemerintah China untuk menyatakan bahawa AS perlu melancarkan perang bagi menghalang akses China ke pulau-pulau berkenaan di mana Beijing membina landasan dan menempatkan sistem persenjataan.
Mengulas kenyataan keras oleh Tillerson dan Spicer itu, beberapa penganalisis pula berkata, terdapat kemungkinan AS mengambil tindakan ketenteraan atau mengadakan sekatan laut.
Namun, kata mereka, tindakan sedemikian berisiko mencetuskan konfrontasi bersenjata dengan China.
Sementara itu di Beijing, Chunying mengulangi pendirian China untuk tidak menggugat kebebasan belayar di Laut China Selatan.
“China melindungi kebebasan belayar semua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa di samping melindungi keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan,” katanya.
– Reuters

No comments:

Post a Comment