Thursday, February 09, 2017

4 Jam Cetak Senaskhah Al-Quran Braille













 Al-quran Braille diberi secara percuma kepada ahli Pertis selain diwakafkan di masjid dan surau mengikut sistem penajaan individu persendirian serta badan korporat.

LANGKAH wanita bertongkat putih itu disusun cermat mendaki anak tangga menuju tingkat dua sebuah premis bernombor 42 yang terletak di Jalan Padang Belia, Brickfields, Kuala Lumpur.
Usai tiba, Nor Bainun Zakaria, 40-an, meraba-raba dinding mencari suis loceng dan memicitnya. Kemudian seorang petugas datang lalu memimpinnya duduk di satu sudut bagi menanti kehadiran penyelia di tempat itu.
“Bahagian ini ada silap sedikit Haji,” tuturnya sebaik seorang lelaki datang bertemunya seraya menghulurkan kitab Munyatul Musolli versi Braille karangan Sheikh Daud Abdullah Al-Fattani yang dikeluarkan dari beg sandangnya. Dengan tenang, lelaki yang dipanggil Haji itu atau nama lengkapnya Muhammad Lee Abdullah, 50, menyentuh barisan titik-titik timbul pada satu helaian naskhah tersebut dan ‘membacanya’ buat seketika.
Kemudian, beliau mengeluarkan halaman dikatakan tersalah taip itu dan masuk ke dalam sebuah bilik yang dipenuhi tujuh mesin percetakan dan mula mengetik papan kekunci komputer untuk membuat salinan baharu.
Beroperasi antara deretan rumah kedai dua tingkat, premis tersebut merupakan Unit Penerbitan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang baru berpindah ke situ awal tahun lalu.
Menurut Muhammad Lee, kesilapan sebegitu kadangkala terjadi pada salinan teks yang dibuat pertama kali dan diketahui jika pengguna tidak dapat membaca perkataan atau suatu istilah yang ditulis dalam sistem Braille.
Katanya, Pertis merupakan pertubuhan pertama menghasilkan al-Quran Braille dalam bentuk data komputer atau soft copy di negara ini dan mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 1997. Dari situ, Pertis mula menyalin semula kitab seperti Hadis 40 Imam Nawawi, Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman, buku panduan haji, umrah, tajwid, Iqra di samping buku-buku motivasi.
Buku teks
 SITI NAJIHA menggunakan perisian JAWS yang boleh mengeluarkan suara untuk membantu dalam kerja-kerja menaip.

Pertis turut diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan untuk menerbitkan buku teks untuk pelajar sekolah pendidikan khas sejak tahun 2011.

Muhammad Lee yang menyelia aktiviti percetakan dan penerbitan di Pertis bercerita, beliau merupakan individu terawal di negara ini menukarkan kod aksara papan kekunci komputer pada kod Braille menggunakan perisian Terjemahan Duxbury Braille (DBT).


“Saya mula memasukkan kod Braille al-Quran kepada kod Braille berkomputer dari November 1994 hingga Mac 1995. Jika tidak silap, al-Quran digital Braille belum ada lagi pada waktu tersebut. Jadi saya niatkan untuk beri salinan itu kepada Pertis.
“Selepas itu, kami mengambil masa empat tahun untuk menyemak bacaan dan hukum tajwid. Kami turut menghantarnya kepada pelbagai pihak untuk tujuan semakan,” ujarnya.
Bagi memudahkan tugas, komputer yang digunakan Muhammad Lee turut dilengkapi satu lagi perisian dikenali sebagai JAWS yang boleh mengeluarkan suara dan membaca satu persatu ayat yang dipaparkan di skrin.
Muhammad Lee memeluk Islam pada usia 20 tahun. Namun, sebenarnya, anak kelahiran Banting, Selangor itu telah mempelajari subjek Pendidikan Islam semasa menuntut di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor.
“Seingat saya, semasa itu saya darjah tiga. Selepas memeluk Islam, saya mempelajari al-Quran Braille di Darul Kifayah Kuala Lumpur,” katanya yang pernah bertugas sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) selama beberapa tahun.
Proses mencetak
MUHAMMAD LEE terlibat dalam usaha percetakan al-Quran Braille sejak 1994.

Sementara itu, Pembantu Penerbitan Pertis, Siti Najiha Abdul Rahman, 25, berkata, proses mencetak senaskhah al-Quran menggunakan mesin pencetak yang dipanggil embosser mengambil masa kira-kira empat jam.
Tambahnya, tidak seperti buku biasa, al-Quran dibahagikan kepada enam jilid dengan setiap satu mengandungi lima juzuk. Hal ini kerana kertas Braille agak tebal. Paling banyak setiap jilid menggunakan sehingga 197 helai kertas.
Biarpun tidak dapat melihat, gadis yang memiliki perwatakan ceria itu kelihatan selesa melakukan tugas-tugasnya termasuk menaip, menjilid dan mengendalikan embosser.
“Butang-butang yang terdapat mesin pencetak embosser turut dilengkapi tulisan Braille untuk kami mengetahui fungsinya. Setiap butangnya juga boleh mengeluarkan suara apabila ditekan.
“Di sini, hanya ada tiga orang bertugas termasuk saya. Kami tidak sepanjang masa mencetak al-Quran kerana ia dibuat mengikut permintaan sahaja,” ujar anak jati Melaka itu.
Tambah Siti Najiha, dalam menyediakan bahan bacaan Braille, adakalanya, mereka perlu meminta bantuan sukarelawan untuk membacakan buku-buku yang ingin disalin setelah mendapat kebenaran daripada penerbit atau penulisnya.
“Namun ia akan mengambil masa yang lama. Mungkin juga bukan keseluruhan teks boleh disalin kerana kami biasanya perlu mempertimbangkan maklumat yang perlu diberi prioriti untuk mempercepatkan proses itu.
“Bagi pihak penerbit biasanya mereka mudah memberi keizinan kerana kami tidak berorientasi keuntungan. Namun lebih mudah jika kami boleh mendapatkan salinan soft copy sesuatu naskhah untuk menukar kod Braille dengan lebih pantas,” katanya.
Kelas al-Quran
 SISTEM tulisan Braille pada asasnya mempunyai enam titik.

Naib Yang Dipertua Pertis, Zamzuri Ghani berkata, al-Quran Braille tersebut diberi percuma kepada ahli-ahli mereka mengikut sistem penajaan oleh individu persendirian atau badan korporat selain diwakafkan di masjid dan surau memandangkan ia tidak dijual di kedai-kedai buku.

Menurutnya, Pertis turut menganjurkan kelas pengajian al-Quran dua kali sebulan melibatkan 70 peserta bertempat di Pertubuhan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields.
“Cepat atau lambat belajar al-Quran Braille ini bergantung kepada tahap sensitiviti jari. Kalau tidak, jadi masalah kerana mereka tidak dapat merasa sistem tulisan dan mengenal huruf.
“Masalah ini biasanya berlaku pada mereka yang baru hilang penglihatan akibat penyakit tertentu atau kemalangan. Dalam hal ini kita bersedia mengajar mengikut kesesuaian tahap pelajar,” katanya.
Katanya, terdapat empat guru yang mengajar di kelas pengajian al-Quran tersebut secara separuh masa. Lantaran itu, Pertis turut bercadang melatih individu celik mempelajari al-Quran Braille supaya lebih ramai yang mempunyai kemahiran membacanya,” ujarnya.
PERTIS
  • Ditubuhkan pada 1996
  • Mempunyai 1,600 ahli di seluruh negara
  • Membuat penyelidikan terutamanya mengenai tulisan al-Quran Braille khasnya yang digunakan di peringkat antarabangsa
  • Mengembangkan pengetahuan Teknologi Komunikasi Maklumat dalam kalangan ahli
  • Alamat Unit Penerbitan Pertis No. 42, Jalan Padang Belia, Brickfields, Kuala Lumpur
  • Telefon: 03-2276 2634
(Disebarkan oleh IH/Kosmo!)

PERHATIAN
Peluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails