Saturday, February 25, 2017

Jom Selami Realiti Masyarakat Gelandangan Kota..














 Pegawai-pegawai PPZ-MAIWP dan Baitulmal MAIWP berserta Sahabat Zakat mendekati seorang gelandangan wanita di Jalan Perdana, baru-baru ini.

“Tolong mak cik, nak. Mak cik takut. Semalam mak cik tidur di kaki lima (di Jalan Hang Lekiu), sedar-sedar esoknya seorang lelaki gemuk tidur berdekatan.
“Bahayakan? Malam ini mak cik terpaksa beralih ke sini pula.”
Itu luahan seorang wanita berusia 49 tahun yang ditemui bergelandangan bersendirian di ibu kota kepada sekumpulan anggota Sahabat Zakat, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini. Ditemui di Jalan Perdana, Kuala Lumpur, wanita yang kelihatan sugul itu agak terasing daripada puluhan gelandangan lelaki lain.
Wanita berasal dari Kedah itu memberitahu, dia telah berkeliaran di ibu kota sejak hujung Januari lalu. Dia mendakwa sebelum ini bekerja di Johor. Setelah mendapat tahu adanya kerja kosong sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur, dia mencuba nasib.
Namun, dakwanya, malang menimpa, kerja yang dikatakan itu tidak wujud. Wanita itu mahu pulang ke Johor namun tidak mempunyai wang yang cukup lalu dia bergelandangan.
Wanita itu amat berterima kasih kepada kumpulan Sahabat Zakat bersama pegawai-pegawai PPZ-MAIWP dan Baitulmal-MAIWP kerana menyantuni golongan gelandangan sepertinya. Pegawai-pegawai Baitulmal menyarankan wanita itu ke kaunter Baitulmal berhampiran untuk mendapatkan bantuan tiket bas.
Begitulah secebis daripada kisah masyarakat di kota Kuala Lumpur. Di saat kita tidur lena di dalam rumah, ada sebahagian manusia yang kesusahan tidur di kaki-kaki lima atau di jalanan berbumbungkan langit malam.
Orang awam
Dalam program Jejak Gelandangan Bersama Sahabat Zakat PPZ-MAIWP itu, seramai 34 orang menyertainya yang terdiri daripada Sahabat Zakat, pegawai-pegawai PPZ dan Baitulmal MAIWP.
Sahabat Zakat terdiri daripada orang awam yang menyertai Pogram Sahabat Zakat PPZ-MAIWP. Ia mengumpulkan seberapa ramai prospek zakat dari pelbagai lapangan dan umur agar bertukar menjadi pembayar zakat.
Antara objektif program jejak gelandangan itu bagi memberi peluang Sahabat Zakat memahami fungsi dan matlamat penubuhan PPZ-MAIWP yang berperanan mengutip zakat dan Baitulmal-MAIWP yang berperanan dalam pengagihannya.
Kumpulan ini mendekati golongan gelandangan ibu kota dengan menyelami permasalahan mereka serta memberikan sumbangan peralatan pembersihan diri seperti ubat gigi, berus gigi dan tuala.
 Pemandangan di sebatang kaki lima yang menyaksikan beberapa gelandangan lelaki bermalam di ibu kota baru-baru ini.



Seorang pegawai Baitulmal MAIWP, Mohd. Zulhilmi Mohd. Zamberi menerangkan, pihaknya turun menyantuni gelandangan untuk mengesan golongan asnaf dua kali atau lebih dalam sebulan.
“Selain itu, kami mengedarkan makanan tengah hari setiap hari kepada gelandangan. Kami juga memberikan bantuan tambang dan keperluan diri untuk mereka yang terkandas di jalanan. Ia merupakan waran tiket bas yang membolehkan mereka menukarkannya kepada tiket bas di kaunter-kaunter syarikat bas selain wang poket maksimum RM50,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Mohd. Rais Alias dan Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan.
Selain membina ikatan ukhuwah,Mohd. Rais berkata, program ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada Sahabat Zakat untuk mengetahui lebih dekat isu gelandangan.
“Kita lihat ada antara mereka golongan gelandangan sebenar yang perlu dibantu, yang sengaja memilih hidup bergelandangan dan gelandangan yang membantu gelandangan yang lain,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Rais berpandangan, perspektif isu gelandangan perlu diperhalusi memandangkan bukan semua gelandangan ibu kota melakukannya kerana desakan hidup. Ia dikhuatiri bagai memperlihatkan sikap mengambil kesempatan atas kebaikan manusia.
Simpati
“Saya juga nampak rata-rata mereka sudah menerima bantuan, tetapi mereka masih berada di situ. Mereka sudah menjangka ada pihak yang akan memberi sumbangan pada waktu tertentu, jadi mereka bergelandangan,” katanya.
Seorang Sahabat Zakat yang merupakan suri rumah, Noriah Surgi, 50, berasa simpati kepada mereka yang benar-benar terpaksa menjalani hidup bergelandangan.
“Saya ingin mengingatkan masyarakat jangan mudah untuk menularkan tentang isu gelandangan kerana saya lihat ada juga sebilangan gelandangan yang telah mendapat bantuan namun berada di jalanan. Mungkin jiwa mereka suka hidup begitu,” katanya.
Sahabat Zakat yang baru menganggotainya beberapa hari lalu, Mohd. Hairi Alias, 34, merasakan program itu mencetuskan keinsafan kepadanya.
“Kita mungkin selama ini alpa bahawa ada sebilangan orang yang tidak ada tempat tinggal. Ia membuatkan saya lebih bersyukur,” katanya. (Kosmo!)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails