HALAMAN HIBURAN
BARU sahaja berjinak-jinak mempelajari ilmu agama Islam, pelakon Lindsay Lohan diduga apabila dia mendedahkan pengalamannya ditahan di Lapangan Terbang Heathrow di London hanya kerana dia bertudung.
Menerusi satu program bual bicara, Good Morning Britain Selasa lalu, pelakon Mean Girls itu menceritakan pengalamannya ditahan semasa dalam perjalanan ke New York oleh seorang kakitangan lapangan terbang.
Menurutnya, dia diperiksa beberapa kali dan apabila melihat nama ‘Lindsay Lohan’ pada pasport, kakitangan lapangan terbang itu meminta maaf tetapi mengarahkannya untuk menanggalkan tudung yang dipakainya.
“Saya diperiksa beberapa kali sebelum dia menyedari nama Lindsay Lohan dalam pasport.
“Ini sesuatu yang menakutkan dan pelik. Saya dari New York dan dilahirkan serta dibesarkan di sini,” katanya.
Jelasnya, perkara yang menakutkannya adalah bagaimana perasaan wanita lain yang akan berasa tidak selesa apabila diminta untuk menanggalkan tudung.
Kejadian itu dialami ketika dia baru sahaja kembali dari Turki, selepas melawat kem-kem pelarian Syria dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Lohan mendakwa tindakannya memakai tudung semasa berada di negara tersebut untuk menghormati masyarakat di sana.
Sebelum ini, tercetus spekulasi Lohan akan menukar agamanya kepada Islam, selepas gambarnya berjalan sambil membawa al-Quran menjadi tular selain postingnya di laman Instagram yang mencetuskan persoalan mengenai agama yang diamalkannya.
Lohan juga sebelum ini dilaporkan bimbang untuk kembali ke Amerika Syarikat kerana suasana politik semasa di sana.
Ini berikutan perintah eksekutif yang dikeluarkan presiden baru Amerika, Donald Trump yang melarang rakyat daripada tujuh negara majoriti Islam memasuki republik itu.
Sementara itu, The Guardian melaporkan jurucakap Lapangan Terbang Heathrow berkata; “Heathrow menghormati keperluan budaya dan agama semua penumpang yang menggunakan lapangan terbang. Kami bekerja keras untuk menyediakan perkhidmatan yang hebat di samping memastikan semua orang kekal selamat dan terjamin.” – (IH)
No comments:
Post a Comment