Seorang rakyat Malaysia yang disabitkan melakukan jenayah seks terhadap 30 wanita di Kanada lebih 2 dekad lalu akan ditemani 3 pengawal semasa dihantar pulang ke Kuala Lumpur hujung minggu ini, menurut media Kanada.
Selva Kumar Subbiah, kini berusia 56, memberitahu sesi pendengaran pihak berkuasa sempadan Kanada, dia sudah bersedia pulang ke Malaysia.
“Saya bersedia berlepas, tuan,” katanya pada sesi dipengerusikan Andrew Laut, Isnin lalu.
Pada sesi itu, peguam berkata Subbiah dipercayai turut menyerang beratus-ratus wanita lain.
“Sejumlah 500 hingga 1,000 wanita mungkin diserang,” kata Naima Karimullah, peguam mewakili Agensi Khidmat Sempadan Kanada (CBSA), dipetik akhbar Toronto Star semalam.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa Malaysia sudah meluluskan penerbangan untuk Subbiah.
Pada sesi itu juga, Subbiah cuba mendapatkan perintah supaya media dilarang menerbitkan gambarnya. Bagaimanapun, akhbar Toronto Star berkata penting wajah terkini Subbiah ditunjukkan kepada orang ramai di samping butiran jenayahnya.
Subbiah merupakan penganut agama Yahudi, dan sebelum ini pernah berkata dia bakal berdepan diskriminasi di Malaysia.
Dia ditahan sejurus selepas dibebaskan Ahad lalu, selepas 24 tahun menjalani hukuman penjara, atas 19 kesalahan serangan seks, 28 kesalahan dadah, serta 10 kesalahan melibatkan pelbagai jenayah lain termasuk peras ugut.
Subbiah tiba di Kanada pada 1980 tetapi tidak pernah mendapat taraf penduduk tetap. Dia diberikan visa pelajar dan pelawat, dan mendakwa menuntut di Universiti McMaster dan Universiti Ryerson dalam jurusan agama.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Subbiah bebas seperti individu lain dan tidak ada undang-undang tempatan yang membolehkan pihak berkuasa memantau pergerakannya.
“Tetapi apa pun, pihak polis ada cara memantau mereka yang terlibat dengan jenayah sedemikian,” katanya.
Toronto Star melaporkan, ketika pendengaran mengenai pembebasannya pada Jun tahun lalu, pegawai penjara berkata Subbiah masih tidak kelihatan insaf atau rasa berdosa atas jenayahnya. (TKO)
No comments:
Post a Comment