Tuesday, February 07, 2017

Santuni Masyarakat Tiong Hua -Muslimat PAS Sarawak.


FEBRUARI 2017 - Seperti tahun-tahun yang lepas, Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (LPN, DMPNS) tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan setiap perayaan yang diraikan oleh pelbagai kaum khususnya di Negeri Sarawak. Ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama manusia di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan menurut kajian terdapat lebih dari 40 etnik di negeri Sarawak. 
LPN DMPNS adalah antara lajnah yang sangat komited menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan terutama tibanya musim perayaan. Ianya terbukti dimana LPN DMPNS sentiasa memastikan LPN di setiap kawasan di dalam negeri juga memainkan peranan dan tanggungjawab selari dengan program-program yang dijalankan di bawah LPN Negeri dengan istiqamah.

Tahniah dan syabas kepada LPN DMPNS yang telah dengan jayanya menganjurkan program Menyantuni Masyarakat Tiong Hua Sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini, dengan kerjasama juga daripada beberapa LPN Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) antaranya LPN DMPK Bintulu dan Miri (bergabung), LPN DMPK Sibu, LPN DMPK Kota Samarahan dan LPN DMPK Petrajaya. 




Antara aktiviti yang dijalankan disepanjang program tersebut ialah mengedar buah limau dan juga kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina 2017, dari rumah ke rumah kepada masyarakat Cina Tiong Hua di sekitar kawasan-kawasan yang terlibat. Tidak dinafikan ini merupakan antara pengalaman yang sangat manis buat para muslimat yang terlibat dalam program tersebut. 

Namun, di sebalik tabir terukir juga sebuah pengalaman yang mencabar yang mungkin tidak semua muslimat di luar sana mampu untuk mengharunginya iaitu pengalaman dikejar oleh anjing. Walaubagaimanapun, pengalaman tersebut tidak sedikitpun melunturkan semangat para mujahidah ini, malah ianya menjadikan para mujahidah ini menjadi lebih berani ke hadapan dan lebih kuat mengharungi cabaran-cabaran yang jauh lebih mencabar di masa hadapan demi menggapai redha Illahi. 

Selain itu juga, ianya telah membuktikan bahawa, sesuatu perkara itu, apabila dilakukan secara berjemaah, maka ianya dapat diharungi dengan mudah malah memantapkan lagi nilai ukhwah sesama ahli jemaah.




Bagi masyarakat Cina Tiong Hua yang telah diziarahi pula, sambutan mereka amat baik dan memberangsangkan. Sambutan mereka sangat mesra dan sudah pasti ianya menyemarakkan lagi semangat juang di hati para muslimat. Segala penat lelah, panas mentari, simbahan peluh keringat tiada lagi dirasai apabila melihat senyuman manis dan mesra terukir di wajah-wajah mereka yang menerima kehadiran para muslimat PAS di muka pintu rumah mereka. 

Sudah terang lagi bersuluh, sambutan yang amat baik dan mesra dari masyarakat Tiong Hua itu membuktikan bahawa PAS diterima oleh pelbagai kaum khususnya di Sarawak. 


Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dengan istiqamah tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dan yang paling penting ianya dilakukan tanpa mengira masa dan tidak bermusim (eg. musim pilihanraya), demi melahirkan negara yang harmoni dan rasa kasih sayang sesama insan. Selamat Tahun Baru Cina.

Allahu Ta'ala a'lam.... Siiru 'ala barakatillah. (IH/PAS Sarawak)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails