“JIKA pelarian etnik Islam Rohingya benar-benar ditempatkan di Pulau Thengar Char yang terpencil itu, ia adalah satu perbuatan yang teruk serta tidak masuk akal,” ujar seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya kepada stesen berita Amerika Syarikat, Cable News Network (CNN), Selasa lalu.
Tambah sumber itu lagi, keadaan pulau itu yang jauh dari pekan-pekan kecil selain sering dilanda banjir menyebabkan ia bukanlah tempat tinggal yang sesuai buat manusia.
Pada Oktober tahun lalu, seramai 69,000 pelarian etnik Islam Rohingya melarikan diri dari keganasan yang berlaku di Rakhine, barat Myanmar ke Dhaka, Bangladesh. Mereka menetap di kem-kem pelarian selepas tidak diakui sebagai rakyat Myanmar.
Mengharap kasih di bumi orang, pelarian etnik Islam Rohingya itu juga tidak diterima di Bangladesh kerana kerajaanya bimbang ketenteraman akan tergugat apabila golongan pelarian itu bergaul dengan masyarakat tempatan.
Minggu lalu, kerajaan Bangladesh memberitahu, mereka bercadang untuk menempatkan kumpulan etnik Islam Rohingya itu di sebuah pulau yang dikenali sebagai Thengar Char.
Bangladesh pertama kali mengusulkan untuk menghantar kumpulan pelarian etnik Islam Rohingya ke Pulau Thengar Char yang dibanjiri air laut ketika air pasang sekali gus mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia pada tahun 2015.
Berita itu menimbulkan rasa marah dalam kalangan orang ramai kerana pulau penuh becak itu cukup terasing dari dunia luar, malah ia sering dilanda banjir teruk lebih-lebih lagi pada musim hujan.
Etnik Islam Rohingya yang disifatkan sebagai golongan paling teraniaya di dunia itu berdepan ‘pengasingan’ apabila bakal dihantar untuk menjalani kehidupan di pulau terpencil itu.
Thengar Char
Pulau Thengar Char terletak sejauh 60 kilometer dari ibu negara Bangladesh, Dhaka dan merupakan sebuah pulau yang dipenuhi paya.
Dalam bahasa Sanskrit, ‘Thengar’ bermaksud sejenis kayu, manakala ‘Char’ pula bermaksud kepelbagaian.
Menurut sejarah, ia merupakan sebuah pulau baharu dan terbentuk di kawasan Teluk Benggala berdekatan Pulau Hatiya kira-kira lapan tahun lalu.
Memiliki keluasan sekitar 30,000 hektar, ia secara rasminya tidak berpenghuni ekoran keadaannya yang tidak selamat untuk diduduki.
Menurut seorang pegawai perhutanan Dhaka, Amir Hossain Chowdhury, Thengar Char langsung tidak memiliki sistem kawalan banjir mahu pun jalan raya.
“Biarpun satu per tiga daripada tanahnya sudah ditanam dengan pokok-pokok bakau sebagai benteng semula jadi yang baik, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk tumbuh dan buat masa ini, ia masih tidak selamat untuk dihuni.
“Menempatkan mereka di sana seperti ‘membuang’ golongan tersebut,” katanya.
Selain itu, pulau tersebut juga dikatakan amat sukar untuk dijejaki sepanjang tahun. Lokasinya juga tidak dilabelkan dalam kebanyakan peta dunia, menyebabkan ia dikenali sebagai pulau terbuang oleh masyarakat tempatan.
Lebih buruk lagi, Thengar Char akan tenggelam serta-merta setiap kali dilanda ribut taufan. Tanahnya juga telah terhakis sejak beberapa tahun lepas dan ia memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk pulih dan kembali stabil.
Pihak polis di Pulau Hatiya yang merupakan pulau paling hampir dengan Thengar Char juga memberitahu, proses memindahkan begitu ramai pelarian Rohingya ke sana juga sukar dan tiada jaminan mereka akan selamat tiba ke destinasi memandangkan pulau itu mudah tenggelam.
Menurut wakil agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Dhaka, Stina Ljungdell, golongan pelarian itu tidak menyambut baik cadangan penempatan mereka ke Thengar Char kerana tidak diberitahu tentang tempat tinggal mereka di sana.
“Kerajaan Bangladesh tidak memaklumkan secara terperinci di manakah penempatan mereka di Thengar Char sekiranya mereka benar-benar ditempatkan di sana kelak,” ujarnya.
Penuh sengsara
Tiada sesiapa pun dapat membayangkan keperitan hidup sebagai pelarian Rohingya. Biarpun sudah menetap di Myanmar begitu lama, golongan itu tidak dianggap sebagai warganegara dan perkampungan mereka di Myanmar dibakar tentera tanpa belas kasihan.
Zafor Alam yang merupakan seorang pelarian Rohingya kini hidup sebatang kara selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa, isteri serta dua orang anak lelakinya yang mati lemas selepas bot yang dinaiki mereka dari Myanmar menuju ke Bangladesh tenggelam Disember tahun lalu.
“Saya cukup sedih setiap kali memikirkan insiden tersebut.
“Saya sudah tiada sesiapa lagi dalam dunia dan terpaksa melalui hidup begini (sebagai pelarian). Kadangkala saya fikir lebih baik mati sahaja,” ujar Zafor.
Sitara Begum, 21, pula terpaksa melarikan diri selepas suaminya dibunuh di depan matanya sendiri.
“Suami saya dibunuh oleh tentera kerajaan Myanmar dan saya bersama dua anak terpaksa lari menyelamatkan diri. Saya benar-benar tidak mahu mengingati insiden tersebut,” ujarnya yang kini menetap di kem pelarian di Cox Bazar, Bangladesh.
Penganut agama Buddha di Myanmar menganggap lebih satu juta pelarian etnik Muslim Rohingya sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh, biarpun mereka sudah begitu lama menetap di Myanmar.
Golongan tentera Myanmar mengambil langkah mengusir etnik Islam Rohingya dari negara itu bagi tujuan ‘pembersihan etnik’. Kerakyatan mereka tidak diakui di kedua-dua negara menyebabkan mereka kini hidup terpinggir di kem-kem pelarian di Bangladesh. (Kosmo)
PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.
No comments:
Post a Comment