AFP - Erdogan berucap pada satu perjumpaan di Istanbul kelmarin.
ANKARA – Turki memanggil utusan Belanda di sini semalam bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan polis ke atas penunjuk perasaan warganegaranya di Rotterdam kelmarin, kata sumber Menteri Luar.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mencari sokongan daripada penduduk dalam pungutan suara dan berhasrat untuk mengukuhkan kuasanya berkata, Belanda seolah-olah seperti ‘republik pisang’ iaitu merujuk kepada sebuah negara tidak stabil.
Menurutnya, negara itu perlu dikenakan sekatan kerana menghalang menterinya berucap dalam perhimpunan pro-Erdogan di Rotterdam.
Polis Belanda menggunakan anjing dan meriam air kelmarin untuk menyuraikan penunjuk perasaan daripada mengibarkan bendera Turki di luar konsulat Turki di Rotterdam.
Sejumlah penunjuk perasaan membaling botol dan batu, manakala beberapa yang lain dikatakan dipukul oleh polis dengan menggunakan kayu belantan, kata seorang saksi.
“Rakyat kita menerima layanan buruk, tidak berperikemanusiaan dan mereka menggunakan kaedah memalukan dalam campur tangan ke atas orang ramai yang berhimpun secara aman,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sumber berkenaan.
Menteri Luar Turki berkata, pihaknya mendesak permohonan maaf secara rasmi Belanda ekoran layanan terhadap Menteri Keluarga Turki, Fatma Betul Sayan Kaya dan beberapa diplomatnya. – Reuters
No comments:
Post a Comment